KOTA KINABALU: Sabah mengesan satu lagi kluster COVID-19 dipercayai berpunca daripada sebuah majlis pengebumian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kluster yang dikenali sebagai Kluster Tampasuk Kota Belud itu melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti.

"Kes indeks merupakan juruwang wanita, 32 tahun, di sebuah bank yang disahkan positif pada 26 Julai lalu setelah bergejala demam, sakit badan, sakit tekak, selsema dan batuk.

"Hasil pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 159 kontak mendapati 29 kes positif COVID-19 termasuk sembilan kes baharu hari ini," katanya.

Jelas beliau, kesemua 29 kes positif tersebut telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Hospital Queen Elizabeth dan PKRC.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 berkata para pemimpin masyarakat, ketua kampung dan ketua mukim digesa untuk terus mengingatkan penduduk di kawasan masing-masing agar tidak mengadakan sebarang majlis sosial atau kenduri tahlil.

"Hal ini mustahak bagi mengelakkan penularan jangkitan yang berpotensi mencetuskan kluster baharu yang semakin meningkat ketika ini khususnya berkaitan penganjuran majlis sosial.

"Orang ramai yang ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan majlis sosial ini, akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

Sabah mencatatkan pertambahan 949 kes hari ini, serta enam kes kematian dilaporkan.

Masing-masing dua kes kematian itu dikesan di Kota Kinabalu dan Tawau manakala satu kes di Papar dan Sipitang.

"Kontak rapat terus menjadi penyumbang utama iaitu sebanyak 570 kes (60.06%) kepada jumlah kes keseluruhan dan 201 kes (21.18%) datang daripada kategori saringan bergejala, yang berpunca daripada jangkitan sporadik.

"Sementara 74 kes lagi berpunca daripada saringan kluster sedia ada," katanya lagi.