Satu kluster baharu dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kes pertama kluster ini merupakan kes kematian COVID-19 yang telah dilaporkan pada 19 Julai 2020 (iaitu kes ke-8,770), dimana ujian saringan COVID-19 didapati positif.

"Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) telah dijalankan.

"Sehingga 20 Julai 2020 jam 12 tengah hari, 39 orang telah disaring yang terdiri daripada 14 kes positif COVID-19, 18 adalah negatif dan tujuh masih menunggu keputusan.

"Daripada jumlah kes positif ini, 13 kes adalah warganegara Malaysia dan satu warga Indonesia. Kes positif kluster ini turut melibatkan 11 warga emas iaitu penghuni rumah jagaan tersebut, seorang pekerja dan seorang ahli keluarga," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru jelas Dr Noor Hisham, Langkah pembendungan dan kawalan jangkitan telah dijalankan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di pusat penjagaan tersebut.

Sementara punca jangkitan kluster masih di dalam siasatan.