Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat satu pertambahan kluster baharu di Sarawak dikenali sebagai kluster Taman BDC di Kuching.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat 37 kes positif dilaporkan dari kluster tersebut.

Kluster tersebut juga dipercayai berpunca daripada perhimpunan tabligh Sri Petaling.

"Dan ingin dimaklumkan ada satu kluster baharu dikenal pasti di Kuching iaitu kluster Taman BDC melibatkan sejumlah 37 kes dan ini juga melibatkan perhimpunan tabligh iaitu kes indeks dan telah menjangkiti keluarga ahli masjid dan juga rakan sekerja iaitu melibatkan 3 generasi," katanya semasa sidang media harian KKM pada Isnin.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham turut menyatakan bahawa sehingga kini, bilangan sampel daripada kluster perhimpunan di Masjid Sri Petaling yang telah diambil adalah sebanyak 35,288.

Daripada jumlah tersebut, 2,266 kes didapati positif COVID-19 melibatkan lima genarasi.