ASKAR Wataniah berjaya meningkatkan kenyakinan pelajar dalam meniti dunia pada masa kini. Pendedahan kepada pelajar agar lebih berani berkomunikasi dan berdiri di hadapan orang ramai amat penting kerana mereka memerlukan keyakinan dan penumpuan dalam mengaplikasikan tindakan spontan menjawab pertanyaan.

Proses pembelajaran bukan sahaja memfokuskan kecemerlangan akademik semata-mata. Malah pembentukan jati diri amat penting di mana pelajar-pelajar hendaklah dilatih supaya mempunyai sifat bertanggungjawab dengan disiplin yang tinggi. Program-program dilaksanakan perlu diperhebatkan dan dimantapkan dari semasa ke semasa supaya keperluan dan masalah semasa dapat ditangani secara berkesan. Program pasukan berpakaian seragam berjaya menjana jati diri pelajar dengan mendedahkan dan mempraktikan ilmu kepimpinan dan komunikasi secara berkesan.

Seterusnya, mengenali dan memahami visi dan misi Askar Wataniah amat penting bagi memastikan setiap anggotanya memahami kehendak Askar Wataniah. Visi bagi Askar Wataniah ialah membangun Askar Wataniah yang seimbang dari segi jasmani dan rohani serta mencapai nisbah 1:1 dengan Angkatan Tetap manakala misi Askar Wataniah ialah untuk membantu ganti Angkatan Tetap semasa perang, darurat dan melaksanakan operasi ketenteraan selain peperangan.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan oleh Pasukan 509 Askar Wataniah bagi mendukung visi dan misi Askar Wataniah ialah Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) yang telah dilaksanakan selama sebulan bagi setiap tahun.  Elemen kursus ini melibatkan empat komponen utama iaitu teori medan perang, kawad kaki, pengendalian senjata dan latihan medan yang secara jelasnya memberi pengalaman baharu sebagai anggota tentera. Mental penuntut juga turut diuji sepanjang kursus berlangsung, iaitu mereka tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit dan perlu sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Aktiviti lain yang telah di jalankan ialah MaLPTAAC, merupakan satu latihan yang memperlihatkan kekuatan ketenteraan di dalam sistem Politeknik Malaysia di samping boleh digunakan sebagai membantu mencapai matlamat kerajaan bagi memperkukuhkan kekuatan anggota dalam pasukan simpanan. MaLPTAAC juga dilihat sebagai satu ruang penglibatan maksima pelajar dan kakitangan dalam pasukan simpanan.

Setiap siri latihan berjaya menggabungkan kerjasama antara dua elemen utama iaitu Politeknik Malaysia dan Rejimen Siri 509 Askar Wataniah. Kerjasama erat dalam pelbagai bentuk juga telah berjaya dijalin oleh dua Kementerian iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pertahan Malaysia. MaLPTAAC telah berjaya mencipta namanya yang tersendiri di peringkat nasional dengan konsep latihan yang disusun atur bersesuaian dengan keperluan anggotanya di kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). MaLPTAAC juga dikesan telah memberikan satu suntikan semangat kepada pelajar Politeknik Malaysia untuk menyumbang tenaga dan khidmat demi keselamatan negara apabila penyertaan pelajar ke dalam Angkatan Askar Wataniah bertambah setiap tahun.

Secara kesimpulannya, program pasukan berpakaian seragam khasnya Askar Wataniah  mampu menggalakkan para pelajar dalam membina kemahiran insaniah mereka sebelum mereka menceburi dunia pekerjaan. Secara amnya, perkara ini selari dengan slogan yang telah disebutkan oleh Perdana Menteri kita iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan Malaysia Madani.


Farah Wahida Rabu
Pensyarah,
Jabatan Perdagangan,
Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan,
Politeknik Seberang Perai