NATIONAL
[KOLUMNIS] Analisis kriminologi terhadap peningkatan jenayah seksual dan sumbang mahram di Malaysia
![[KOLUMNIS] Analisis kriminologi terhadap peningkatan jenayah seksual dan sumbang mahram di Malaysia [KOLUMNIS] Analisis kriminologi terhadap peningkatan jenayah seksual dan sumbang mahram di Malaysia](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2022-07/51658407048_Cabul.jpg)
Peningkatan kes jenayah seksual di Kelantan mencerminkan krisis nilai dalam masyarakat, dengan lebih 98% mangsa adalah kanak-kanak bawah umur. -Gambar hiasan
KENYATAAN Ketua Polis Kelantan baru-baru ini bahawa 252 kes jenayah seksual dilaporkan dalam masa setahun – peningkatan 22.3% berbanding tahun sebelumnya telah mengejutkan banyak pihak.
Ringkasan AI
- Peningkatan kes jenayah seksual di Kelantan mencerminkan krisis nilai dalam masyarakat, dengan lebih 98% mangsa adalah kanak-kanak bawah umur.
- Budaya penafian dan menjaga imej keluarga menghalang usaha pencegahan dan keadilan kepada mangsa, menyebabkan pelaku terus beroperasi dalam senyap.
- Cadangan untuk menangani masalah ini termasuk pendidikan seksual sejak prasekolah, peranan aktif institusi keagamaan dan sosial, polisi dan sistem kehakiman yang tegas, serta media yang bertanggungjawab.
Berdasarkan pelbagai kajian yang telah dilakukan, terdapat pendapat bahawa masalah sebenar terletak pada akar budaya masyarakat yang menolak untuk mengakui realiti penderaan seksual.
Ini merupakan satu bentuk penafian kolektif yang membolehkan pelaku terus beroperasi dalam senyap terutama apabila pelaku adalah ahli keluarga sendiri.
Budaya Menjaga Imej Berbanding Kebenaran
Dalam pelbagai komuniti terutamanya masyarakat konservatif, imej keluarga dan maruah dianggap lebih penting daripada keadilan kepada mangsa.
Dalam konteks ini, kes sumbang mahram disorokkan, mangsa dipersalahkan, dan pelaku dilindungi demi mengelakkan "aib" kepada keluarga.
Ada juga antara mereka yang telah membuat laporan polis akan berasa tertekan dan bertindak untuk menarik balik laporan polis.
Walaupun hak menarik balik laporan polis adalah berdasarkan keputusan dan budi bicara pendakwa raya, ia boleh menjejaskan kekuatan kes pendakwaan kerana saksi tersebut (terutamanya mangsa) mungkin tawar hati atau enggan bekerjasama secara penuh dengan pendakwa raya semasa perbicaraan.
Hakikat bahawa ramai pelaku merupakan bapa, bapa tiri, bapa saudara atau abang mangsa menambahkan lagi kerumitan situasi ini.
Dan kesemuanya adalah atas dasar menjaga maruah keluarga dan mengelakkan “aib” kepada keluarga.
Keengganan mengakui isu seksual dalam masyarakat mencerminkan budaya penafian kolektif yang bukan sahaja menafikan realiti penderaan yang berlaku, malah turut menyekat usaha pencegahan dan keadilan kepada mangsa, terutamanya apabila pelaku adalah individu yang dihormati dalam institusi keluarga atau komuniti.
Isu hipokrasi sosial dan budaya "in denial" juga merupakan satu masalah yang harus ditangani secara serius.
Perbincangan mengenai seksualiti dianggap taboo. Justeru, apabila berlakunya jenayah seksual, masyarakat tidak bersedia menangani isu ini secara matang atau objektif.
Kekurangan kefahaman serta ketakutan untuk berbicara secara terbuka menyebabkan banyak kes tidak dilaporkan dan mangsa terus menderita dalam diam.
Ada kalanya masyarakat dilihat seolah olah meremehkan jenayah seksual berbanding dengan jenayah lain serta mengabaikan suara wanita dan kanak-kanak.
Meremehkan jenayah seksual menunjukkan sikap tidak peka masyarakat terhadap penderitaan mangsa sekali gus menormalisasikan keganasan seksual sebagai isu remeh yang tidak memerlukan perhatian serius mahu pun tindakan tegas.
Keadaan seperti ini akan mewujudkan suasana yang tidak selamat untuk mangsa tampil ke hadapan di samping memberikan kekebalan kepada pelaku sedangkan mangsa terus menerus berhadapan dengan stigma masyarakat dan trauma.
Mengikut kajian, mangsa jenayah seksual terutamanya dalam kes sumbang mahram mengalami kesan psikologi yang mendalam seperti kemurungan, kecelaruan identiti, kehilangan kepercayaan terhadap orang dewasa, trauma jangka panjang, dan keinginan untuk membunuh diri.
Tambahan pula, stigma sosial menyebabkan mangsa terperangkap dalam persekitaran yang tidak menyokong proses pemulihan.
Dalam banyak kes, mangsa dipaksa untuk berdiam diri, malah dipersalahkan kerana mencemarkan nama baik keluarga.
Berdasarkan permasalahan di atas, terdapat beberapa cadangan yang mungkin dapat membantu untuk menangani dan mengurangkan masalah jenayah seksual.
Pertama, pendidikan seksual haruslah digarapkan kepada setiap individu sejak dari prasekolah lagi.
Pendidikan seksual tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada moral tetapi sebagai alat untuk memperkasakan individu.
Pendekatan ini perlu disesuaikan dengan budaya tempatan tetapi tetap tegas dalam menyampaikan mesej tentang hak tubuh, persetujuan (consent), dan perlindungan diri.
Kedua, institusi keagamaan dan sosial harus memainkan peranan aktif dalam menyampaikan mesej bahawa penderaan seksual tidak boleh ditoleransi atas nama maruah atau keharmonian keluarga.
Pendekatan agama yang menyantuni mangsa dan tidak melindungi pelaku sangat penting dalam memecahkan budaya senyap dan ‘in denial’.
Dalam konteks ini, adalah penting untuk menjelaskan bahawa alasan menjaga aib keluarga tidak harus disalah gunakan oleh mana – mana pihak.
Ketiga, polisi dan sistem kehakiman perlu diperkukuhkan agar tidak tunduk kepada tekanan sosial atau kekangan institusi keluarga.
Pelaku, tanpa mengira status, mesti dibawa ke muka pengadilan. Prosedur mesra mangsa juga perlu dilaksanakan sepenuhnya dan klausa – klausa berkenaan dengan perlindungan mangsa harus disemak semula dan diperkukuhkan.
Ahli keluarga, guru atau orang terdekat yang berdiam diri dan tidak melaporkan jenayah seksual yang berlaku terhadap mana – mana individu (termasuk kanak – kanak) harus diwujudkan dalam Kanun Kesiksaan untuk memberikan rasa tanggungjawab kepada masyarakat dan demi mengikis sifat ‘in denial’ atau malu.
Keempat, media harus memainkan peranan sebagai agen perubahan dengan mengetengahkan isu ini secara bertanggungjawab, membangkitkan kesedaran dan memberi ruang kepada suara mangsa tanpa sensasi.
Masyarakat pula perlu dididik untuk membantu dan mengasihani mangsa dan menjauhkan sifat menyalahkan mangsa (‘victim blaming’) atau menuding jari kepada mangsa atau orang – orang yang tidak berkenaan.
Kesimpulan
Peningkatan kes sumbang mahram dan jenayah seksual di Kelantan bukan semata-mata isu jenayah, tetapi cerminan kepada krisis nilai dalam masyarakat.
Selagi masyarakat terus memelihara hipokrasi dan menolak untuk mengakui reality jenayah seksual penderaan, selagi itulah jenayah ini akan terus berlaku dalam senyap.
Sudah tiba masanya untuk membuka mata, mendengar suara mangsa, dan melakukan reformasi menyeluruh demi memastikan setiap individu dapat hidup dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan bebas daripada keganasan seksual.
Dr Haezreena Begum Abdul Hamid ialah Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami