MUTAKHIR ini, rancak diperkatakan tentang keputusan Kerajaan untuk mengharamkan penggunaan aplikasi navigasi yang popular dalam kalangan pengguna Malaysia.
Keputusan ini dilihat tepat pada waktunya kerana kebergantungan yang tinggi terhadap aplikasi navigasi berteraskan sumber dan kepakaran luar mempunyai implikasi terhadap keselamatan negara, termasuk keselamatan pengguna dalam kalangan rakyat biasa.
Keperluan pemanduan dalam era teknologi digital kini banyak bergantung pada aplikasi navigasi untuk menuju ke sesuatu destinasi. Maklumat masa nyata yang disediakan diyakini mampu membantu pengguna bergerak dengan selamat dari satu lokasi ke lokasi yang lain, disertai maklumat tambahan seperti keadaan trafik, laluan alternatif serta pelbagai kemudahan lain yang mempermudah perjalanan.
Perkhidmatan navigasi digital ini semakin penting dan telah meresap ke dalam pelbagai aspek kehidupan. Pemetaan digital kini menjadi suatu keperluan yang merentas pelbagai sektor dan kegunaan harian. Justeru, kebergantungan terhadap teknologi ini sewajarnya disertai jaminan keselamatan data peribadi pengguna serta perlindungan yang tertakluk pada undang-undang Malaysia.
Sekiranya jaminan keselamatan data peribadi dan bidang kuasa perundangan mempunyai kaitan dengan negara ketiga, sebagai contoh Israel, sudah semestinya perkara ini menimbulkan implikasi keselamatan yang perlu diberikan perhatian serius.
Dunia telah menyaksikan konflik di rantau Asia Barat yang memperlihatkan kejadian serangan dan pembunuhan terancang yang dikaitkan dengan keupayaan agensi perisikan asing mengenal pasti kedudukan individu sasaran secara tepat. Perkembangan sedemikian merupakan suatu perkara yang amat membimbangkan.
Risiko keselamatan ini tidak semestinya terhad kepada individu yang berkaitan dengan agensi keselamatan sesebuah negara, malah berpotensi melibatkan individu dalam bidang kepakaran kritikal seperti pakar kejuruteraan, pakar ekonomi dan pakar kesihatan yang dianggap sebagai aset strategik kepada sesebuah negara.
Justeru, pengajaran yang perlu diambil daripada perkembangan ini ialah Malaysia harus terus memperkasakan keupayaan tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi serta kepakaran luar.
Benar, seperti yang diakui sendiri oleh Perdana Menteri, Malaysia masih belum bersedia sepenuhnya. Namun, pengakuan tersebut membawa mesej yang lebih besar, iaitu keperluan untuk memperjelas hala tuju negara dalam memelihara kedaulatan dan keselamatan digital demi melindungi kepentingan negara serta keselamatan rakyat.
Sehubungan itu, usaha membina kepakaran sendiri dalam bidang navigasi digital, walaupun berdepan dengan pelbagai hambatan, wajar diberikan perhatian dan sokongan. Usaha ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh kemandirian teknologi negara, malah membuka ruang untuk meningkatkan keupayaan tempatan dalam menghasilkan penyelesaian bertaraf dunia yang selamat, kredibel dan berintegriti.
- Oleh Khairil Hilmi Mokhtar, Penganalisis Geostrategik Keselamatan Negara.
- Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian dalam bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.