BERANI itu bagus jika kena pada tempatnya. Berani itu berbaloi jika apa yang diperjuangkan ada nilainya.

Berani itu perlu jika maruah diri dan keluarga dipijak sewenangnya. Berani itu bijak jika ia tidak disalah guna.

Berani itu nikmat jika berpadanan dengan ganjarannya. Berani itu didambakan jika ia menyenangkan jiwa. Berani itu disanjung jika ia memenangkan rakyat jelata.

Namun jika keberanian itu membawa lebih banyak kerosakan, maka ketakutan itu lebih diperlukan.

Jika keberanian membawa kepada kemudaratan, maka lebih baik berani itu tidak ditonjolkan.

Berani jangan disalah erti, jangan dinilai mengikut pandangan peribadi, takut kelak memakan diri dan muhasabah diri tidak lagi bererti.

Seorang bapa dengan "berani" memperkosa anak kandung tanpa rasa malu dan bersalah, sedangkan dia adalah wali kepada anaknya.

Seorang anak dengan "berani" memukul ibu bapa yang sudah tua apabila ketagihan dadah menguasai jiwa dan minda.

Seorang guru "berani" meliwat anak murid yang telah diamanahkan untuk dididik dan dijaga apabila nafsu menjadi raja.

Seorang suami dengan "berani" berkhalwat di alam maya atas alasan tiada sentuhan fizikal dan tidak dikira berdosa.

Seorang isteri dengan "berani" meniduri lelaki lain apabila mempunyai tugasan di luar atas alasan kesunyian tanpa pasangan di depan mata.

Seorang anak berusia 10 tahun dengan "berani" mencuri duit ibu bapa demi membeli komik kegemarannya.

Seorang mahasiswa dengan "berani" membelasah dan mendera rakannya sehingga meragut nyawa akibat tidak berpuas hati akan hal yang tidak sepatutnya.

Seorang suami dengan "berani" melacurkan isterinya demi untuk menyara keluarga.

Seorang ustaz dengan "berani" memutar belit Al-Quran dan As-sunah demi kepentingan peribadi dan kelangsungan perniagaannya.

Seorang penguatkuasa dengan "berani" menodai amanah dan kuasa yang dipertanggungjawab kepadanya apabila ganjaran yang diterima lebih menarik dari gaji bulanannya.

Seorang peniaga dengan "berani" menipu keaslian barang-barang yang dijualnya demi keuntungan berlipat ganda.

Seorang pengusaha kosmetik dengan "berani" memasukkan bahan-bahan terlarang dan merbahaya di dalam produk keluarannya asalkan dapat menjadi kaya.

Seorang selebriti dengan "berani" menjual produk 'over price' dan tidak berkualiti dengan menjajah minda peminat yang taksub akan dirinya demi melonjakkan saham syarikatnya.

Demikianlah antara contoh-contoh keberanian yang ada pada hari ini. Ia bukan di alam mimpi tetapi suatu realiti.

Sememangnya kita perlu menjadi berani tapi bukan untuk hal-hal sebegini terutama berkait hal di luar tabii.

Manusia yang sepatutnya menjadi pemegang amanah tidak lagi boleh dipercayai, manusia yang sepatutnya menjadi contoh sudah menunjukkan belangnya, manusia yang sepatutnya menjadi pelindung sudah mengkhianati apa yang patut dijaga dan dipelihara.

Perikemanusian semakin terhakis, kewarasan telah dibelakangi, rasa simpati tiada lagi dan integriti jauh sekali.

Punca kepada semua ini harus dicari, kerana ianya bukan isu peribadi. Ia adalah usaha semua pihak dan bermula dengan diri kita sendiri.

Dalam hal ini  tidak seharusnya sesiapa pun terkecuali, kerana jika bukan hari ini esok lusa mungkin kita yang terpaksa menghadapi.

Sekiranya "keberanian" ini  tidak bijak ditangani, khuatir ia akan sebati di dalam komuniti dan memberi petunjuk yang salah kepada beberapa generasi.

Didikan di rumah adalah kunci utama kepada keberanian dan ketakutan ini. Jika terambil kunci yang salah maka pintu yang tidak sepatutnya akan dibuka.

Ada kalanya pintu yang sudah dibuka tidak lagi boleh ditutupi kerana kunci telah patah dan tidak dapat dijumpai.

Tidak hilang kejantanan jika anak kita merasa "takut" untuk menerima ajakan kawan untuk mencuba bahan terlarang.

Tidak perlu dimarahi jika anak kita merasa "takut" untuk menipu di dalam peperiksaan dan tidak mendapat keputusan cemerlang.

Tidak pudar kecantikan jika anak perempuan kita merasa "takut" untuk bermesra berlebihan dengan kawan-kawan sampai hilang perawan.

Tidak ada salahnya jika anak kita "takut" untuk bergaduh dengan rakan demi hal-hal remeh dan tidak menguntungkan.

Tidak berdosa jika anak kita "takut" untuk melanggar peraturan dan digelar tidak mengikut peredaran zaman. 

Tidak hilang maruah diri jika anak kita "takut" untuk mengambil hak orang lain hatta hal sekecil memotong barisan.

Ada kalanya lebih baik menjadi "penakut" sekiranya menjadi berani itu akan membuatkan kita bertuhankan syaitan.

Sama-sama kita fikirkan.


* Penulis merupakan seorang pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik yang berkhidmat di salah sebuah agensi pusat di Putrajaya.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI