Ringkasan AI
- Penyelidik Monash University Australia mengenal pasti protein Granzyme K yang dikaitkan dengan kerosakan organ akibat penuaan pada jantung, hati dan buah pinggang.
- Paras Granzyme K meningkat seiring usia dan dikaitkan dengan penyakit keradangan serta fibrosis, termasuk nefritis lupus dan kegagalan jantung.
- Model tikus tanpa Granzyme K menunjukkan fungsi organ lebih baik, namun kajian lanjut diperlukan untuk pengesahan manfaat pada manusia.
MELBOURNE: Penyelidik di Australia berjaya mengenal pasti sejenis protein yang mendorong kerosakan organ penting akibat proses penuaan, sekali gus membuka potensi baharu bagi pembangunan rawatan yang dapat membantu individu kekal sihat apabila usia meningkat, lapor Xinhua.
Kajian oleh Monash University di Australia mendapati terdapat kaitan antara protein Granzyme K dengan tanda penuaan pada jantung, hati dan buah pinggang.
Granzyme K dihasilkan oleh sel imun dan parasnya diketahui meningkat dengan ketara seiring pertambahan usia dikesan pada manusia dan tikus, menurut kenyataan universiti itu yang dikeluarkan pada Jumaat.
Profesor Monash University Nicole La Gruta, yang merupakan penulis kanan kajian itu berkata Granzyme K menyumbang kepada kerosakan organ akibat penuaan, sekali gus meningkatkan risiko seseorang mengalami penyakit seperti penyakit jantung dan buah pinggang.
Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Immunity.
Menerusi penggunaan model tikus praklinikal, penyelidik mendapati tikus yang tidak mempunyai protein Granzyme K menunjukkan peningkatan ketara dalam fungsi jantung serta pengurangan fibrosis, iaitu sejenis parut tisu yang boleh menjejaskan tahap keberkesanan fungsi sesuatu organ.
Tikus berkenaan juga menunjukkan lebih sedikit tanda kerosakan akibat penuaan pada hati dan buah pinggang.
La Gruta berkata tikus itu menunjukkan lebih sedikit tanda penuaan organ walaupun mengalami penuaan sistem imun yang normal, sekali gus menunjukkan potensi pendekatan rawatan baharu yang dapat membantu mengekalkan kesihatan organ untuk tempoh lebih lama.
Analisis terhadap set data manusia turut mendapati paras Granzyme K yang tinggi dalam kalangan pesakit yang menghidap beberapa penyakit keradangan dan fibrosis, termasuk nefritis lupus dan kegagalan jantung.
Penyelidik kini sedang mengkaji kaedah untuk menyekat aktiviti Granzyme K secara terpilih bagi menentukan sama ada penyasaran protein itu pada peringkat usia lanjut mampu memberikan perlindungan yang sama.
Kajian lanjut, bagaimanapun masih diperlukan bagi memastikan sama ada manfaat yang sama turut boleh diperoleh dalam kalangan manusia.
-- BERNAMA-XINHUA