Ringkasan AI
- Multilingualisme dianggap sebagai kekuatan untuk memupuk perpaduan dan meningkatkan interaksi antara masyarakat pelbagai latar belakang di Malaysia.
- Pakar menegaskan kepelbagaian bahasa adalah kelebihan, dan generasi muda digalakkan mempelajari pelbagai bahasa demi persefahaman serta pembangunan negara.
- Think Big Summit 2026 anjuran Malaysian Philosophy Society dengan Kementerian Perpaduan Negara menarik lebih 1,000 peserta dan tiket habis dijual dua kali.
KUALA LUMPUR: Multilingualisme wajar dilihat sebagai satu kekuatan untuk memupuk perpaduan yang membolehkan rakyat daripada pelbagai latar belakang menggunakan bahasa masing-masing dalam mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
Profesor Kehormat di Institut Asia-Eropah Universiti Malaya (UM) Profesor Dr Maya Khemlani David berkata multilingualisme atau pelbagai bahasa ialah satu kelebihan, manakala perpaduan negara bergantung pada sejauh mana tahap dan kualiti interaksi antara masyarakat yang berbeza.
Beliau berkata kebolehan seseorang mengunakan pelbagai bahasa mengikut individu, topik dan keadaan menunjukkan keupayaan menyesuaikan diri, bukannya kelemahan, justeru amalan mencampuradukkan bahasa perlu dilihat dari sudut positif.
“Bahasa digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Lebih banyak peluang dan ruang perlu disediakan supaya rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama dapat bertemu serta berinteraksi,” katanya.
Pandangan itu dikongsikan dalam satu perbincangan panel bertajuk “Bahasa Kita: Are We Words Apart?”, yang turut menampilkan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan penyair serta penulis Malaysia Eddin Khoo, bersempena dengan Think Big Summit 2026 di sini semalam.
Sementara itu, Osman menyifatkan kepelbagaian bahasa di Malaysia sebagai satu rahmat dan sumber ilmu, dan generasi muda perlu mempelajari pelbagai bahasa bagi meningkatkan persefahaman serta membantu membina tamadun Malaysia baharu.
Khoo pula berpendapat bahawa perbincangan mengenai bahasa juga perlu mengambil kira kepentingan sejarah dan budayanya, termasuk pengaruh bahasa terhadap cara seseorang memahami dunia.
Beliau turut menyifatkan bahasa Melayu sebagai antara bahasa paling kosmopolitan, dan kepelbagaian pengaruh budaya serta linguistik yang membentuk bahasa itu wajar diiktiraf.
Think Big Summit 2026 dianjurkan oleh Malaysian Philosophy Society dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara.
Terdahulu, pengasas bersama Malaysian Philosophy Society Dr Tee Chen Giap berkata persidangan itu menarik lebih 1,000 peserta dan tiket habis dijual sebanyak dua kali.
-- BERNAMA