PERKEMBANGAN teknologi komunikasi dan maklumat telah membawa perubahan besar dalam kehidupan masyarakat Islam.

Bagaikan semuanya tersedia di hujung jari, lambakan maklumat yang beredar dalam dunia digital telah meninggalkan impak yang positif dan negatif terhadap kehidupan masyarakat.

Saban hari kita diuar-uarkan dengan maklumat palsu, salah dan fitnah yang sentiasa berulang siar di media sosial.

Jika sebelum ini, ketika menghadapi ancaman pandemik COVID-19, pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menyebarkan maklumat palsu plandemik.

Ia berjaya menimbulkan krisis keyakinan masyarakat terhadap pihak berwajib dalam menangani pandemik.

Kini, skrip drama yang sama diulang guna. Golongan yang menyebarkan maklumat palsu cuba untuk menimbulkan keraguan masyarakat terhadap pihak berautoriti agama tentang penetapan hari raya tahun 2022.

Kononnya ada konspirasi pihak-pihak dalam menetapkan tarikh awal bagi sambutan hari raya.

Isu ini tercetus ekoran polemik penetapan raya bagi tahun 2023. Ia disebabkan ada negara umat Islam yang akan menyambut Syawal lebih awal, iaitu pada hari Jumaat, 21 April 2023 (hari ini) dan ada yang akan menyambut pada hari Sabtu, 22 April.

Demam terkejut raya awal pada tahun 2022 dianggap sebagai “scam raya” kerana majoriti masyarakat Islam belum membuat persiapan yang mencukupi untuk menyambut hari raya. Mereka menjadi bimbang jika senario yang sama berulang pada tahun 2023.

Dalam kekalutan isu penetapan raya ini, ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan membuat naratif “raya terkhilaf” dengan dakwaan bahawa mereka turut terlibat dalam proses cerapan anak bulan pada hari tersebut dan tiada maklumat penampakan anak bulan.

Selari itu, mereka telah menyempurnakan puasa selama 30 hari berbanding majoriti umat Islam di Malaysia yang hanya berpuasa selama 29 hari sahaja.

Lantaran perkongsian naratif “raya terkhilaf” ini, masyarakat kembali terganggu akibat ia dikongsi oleh ramai pengguna media sosial. Situasi ini boleh menimbulkan krisis kepercayaan terhadap pihak berkuasa agama.

Jelasnya, ledakan teknologi komunikasi dan maklumat telah disalahgunakan oleh pelbagai pihak untuk menyebarkan maklumat palsu, salah dan fitnah di media sosial.

Lambakan maklumat yang diterima dan dikongsi secara berulang kali ini diterima tanpa sistem penapisan yang telus.

Ia menyebabkan maklumat palsu, fitnah dan tidak benar kemudiannya diyakini sebagai benar lagi dipercayai.

Golongan yang membuat naratif palsu telah berjaya menimbulkan percikan keraguan terhadap pihak berkuasa agama, sekali gus menyebabkan ada golongan yang akan memusuhi institusi agama dan meragui kewibawaan pihak berkuasa agama dalam urusan keagamaan umat Islam.

Tindakan golongan yang menimbulkan kepanikan dalam masyarakat ini memberi kesan buruk terhadap ekosistem dunia digital.

Sedangkan pelbagai pihak cuba untuk mewujudkan ekosistem kesalehan digital agar masyarakat dapat menjadi pengguna yang saleh dan mampu memanfaatkan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat secara benar.

Dalam hal ini, setiap pihak perlu tabayyun atau verifikasi maklumat yang diterima, disebar dan ditularkan secara berangkai.

Periksa dan selidiklah maklumat tentang siapakah yang menciptanya, sejauhmanakah kebenarannya dan apakah motif di sebalik penyebaran maklumat tersebut.

Sebagai pengguna media sosial, kita boleh melakukan rujukan silang kepada laporan rasmi penampakan anak bulan tahun 2022 dan rujuklah pihak berautoriti yang berkenaan.

Jika tidak mampu, maka dengarlah pandangan pihak berautoriti agama.

Tegasnya, pendekatan tabayyun ini adalah selari dengan firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Selaras dengan itu, bertanyalah kepada pakar untuk mendapatkan maklumat dengan jelas dan tepat. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Nahl ayat 7 dan al-Anbiya’ ayat 43: “Maka tanyakanlah kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui. Ini kerana autoriti dalam memberikan jawapan dan merungkaikan kemusykilan adalah golongan berilmu dan ulama. Sebaliknya, kejahilan atau kebodohan merupakan satu peluang dan ruang untuk dipergunakan pemikiran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.”

Dalam isu penyebaran maklumat palsu dan salah tentang proses penetapan hari raya dengan tujuan menimbulkan keraguan dan kepanikan beragama, kedua-dua pihak memikul tanggungjawab sama ada pihak yang menciptakan atau menyebarkan dan menularkan.

Bagi pihak yang mereka cipta dan menyebarkan, perbuatan ini termasuk dalam dosa jariah.

Kesannya, dosa sentiasa mengalir apabila maklumat itu disebar secara berterusan.

Sedangkan pihak yang menerima maklumat yang tidak tepat, salah dan palsu adalah dilarang untuk menularkannya jika maklumat tersebut dapat mencetuskan kepanikan dan menimbulkan keraguan terhadap pihak berautoriti agama.

Larangan menularkan ini selaras dengan sabda Nabi Muhammad SAW: “Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta apabila dia menceritakan semua apa yang didengari.” (HR Muslim dan Abu Dawud).

Hadis ini jelas melarang umat Islam untuk menyebarkan setiap maklumat yang diterima.

Konklusinya, dalam era pasca kebenaran (post truth), maklumat yang palsu dan salah yang disebar secara berulang boleh menimbulkan persepsi kepada para pengguna.

Akhirnya ia boleh membenihkan rasa kepercayaan terhadap maklumat berulang tersebut.

Situasi ini sangat berbahaya kepada kepada kelestarian masyarakat kerana berjaya menimbulkan kekeliruan dalam urusan beragama.

Apabila perkara yang palsu dan salah dianggap sebagai benar, ia turut menimbulkan krisis kepercayaan kepada pihak berwajib.

Sehubungan itu, semua pihak perlu menghentikan permainan halus ini bagi mewujudkan ekosistem kesalehan digital.

Verifikasi dan pilihlah maklumat yang sahih untuk diterima dan dikongsi dan jangan bermain emosi dan persepsi dalam urusan agama.

Di samping itu, pihak berwajib perlu mengambil tindakan pantas untuk klarifikasi isu yang berlaku kepada masyarakat dan dalam masa yang sama perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang menimbulkan keraguan dalam isu penetapan hari raya ini.

Dengan itu, pihak yang tidak bertanggungjawab tidak akan berani untuk mereka cipta dan menyebarkan maklumat salah dan palsu ke dalam masyarakat sekaligus dapat mengelakkan berlakunya kepanikan sosial dan dilema beragama.



* Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected].

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.