awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Haqimi Azim berhijrah ke Terengganu FC
CEO Apple Tim Cook akui kepenatan, mahu kurangkan tugas
Gmail kini integrasi Gemini dengan ciri AI baharu
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

[KOLUMNIS] CTP: Model pembangunan komuniti berasaskan data sebenar

Kolumnis AWANI
Kolumnis AWANI
08/01/2026
09:00 MYT
[KOLUMNIS] CTP: Model pembangunan komuniti berasaskan data sebenar
Projek pengumpulan data oleh mahasiswa Reka Bentuk Interaksi dan Analitik Media Sosial, SOC UUM ini diintegrasikan sebagai salah satu komponen aktiviti lapangan berasaskan pembelajaran khidmat masyakat iaitu SULAM. - Gambar UUM
BERAKHIRNYA tahun 2025, menandakan cukup setahun pelaksanaan pelbagai projek rintis bagi dijadikan program-program teras di bawah inisiatif Projek Transformasi Changloon (CTP) yang digerakkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bagi memastikan kesinambungan CTP dan keberkesanan pelaksanaan projek berimpak tinggi kepada komuniti sasaran, seramai 152 mahasiswa digerakkan untuk bertemu penduduk, mengumpul data dan mengenal pasti keperluan mereka dalam usaha memastikan CTP berjaya mencapai matlamat.
Kepentingan penyelidikan untuk kenal pasti keperluan komuniti
CTP merupakan usaha bersepadu selama 10 tahun untuk pembangunan sosioekonomi masyarakat Changloon menjadi komuniti berpengetahuan dan progresif.
Empat bidang diberi tumpuan iaitu transformasi sisa, transformasi pengetahuan, transformasi pelancongan dan transformasi sosial.
Ia dilaksana melalui kerjasama strategik pelbagai pihak iaitu pihak UUM, kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), masyarakat setempat, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakan industri.
Pelaksanaan program kepada komuniti di Changloon dibuat berdasarkan strategi-strategi yang telah digariskan dalam tempoh 10 tahun mengikut perancangan strategik CTP.
Bagi tahun pertama hingga lima, rangka kerja CTP memberi tumpuan kepada usaha membina asas yang fokus kepada pemerkasaan pendidikan, keterlibatan komuniti dan merintis pelbagai projek transformasi.
Manakala, bagi tahun keenam hingga 10 pula, CTP akan berusaha memanfaatkan asas-asas yang telah dibina untuk mengintegrasikan sepenuhnya teknologi moden dan amalan lestari dalam kalangan komuniti Changloon.
Bagi meningkatkan lagi keberkesanan projek dan program sosioekonomi penduduk Changloon, proses bancian dan soal selidik ini sangat penting dalam mengenal pasti keperluan komuniti.
Selain itu, projek pengumpulan data oleh mahasiswa kursus Reka Bentuk Interaksi dan Analitik Media Sosial, Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) UUM ini telah diintegrasikan sebagai salah satu komponen dalam aktiviti lapangan berasaskan pembelajaran khidmat masyarakat iaitu Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM).
Mereka digerakkan ke empat lokasi sekitar Changloon iaitu Kampung Tradisi, Kampung Lembah Keriang, Kampung Felda Laka Selatan dan Pasar Tani Kekal Changloon.
Mereka diketuai pensyarah sebagai ketua pembanci bagi memastikan proses pengumpulan data komuniti dilaksanakan secara tersusun dan beretika.
Di Kampung Tradisi, aktiviti diketuai oleh Prof. Madya Dr. Husniza Husni bersama 43 orang pelajar, manakala di Kampung Lembah Keriang pula melibatkan 42 pelajar di bawah pimpinan Dr. Noor Nabilah Abdullah.
Seramai 44 pelajar ditempatkan di Kampung Felda Laka Selatan dengan Dr. Idyawati Hussein sebagai Ketua, manakala Pasar Tani Kekal Changloon melibatkan 22 pelajar yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Juhaida Abu Bakar.
Kombinasi kaedah penyelidikan seperti temu bual, pemerhatian dan pembinaan persona berdasarkan pengalaman sebenar komuniti sasaran, digunakan bagi pengumpulan data ini.
Pendekatan ini membolehkan mahasiswa memahami realiti kehidupan komuniti sebelum mencadangkan sebarang idea, perkhidmatan atau penyelesaian berasaskan reka bentuk dan teknologi.
Empati jadi asas untuk penyelesaian digital masalah komuniti
Menerusi aktiviti penyelidikan ini, kira-kira 40 isi rumah berjaya ditemu bual dengan majoriti penghuni adalah warga emas.
Sepanjang sesi pengumpulan data, penyelidik didedahkan dengan isu-isu mikro dihadapi mereka seperti ada yang meluahkan masalah ketiadaan lampu jalan, isu perlumbaan haram, pusat pembuangan sampah yang jauh dari penempatan dan paling utama, mereka tidak mengetahui kaedah untuk mendapatkan bantuan jika berlaku sebarang kecemasan.
Sepanjang sesi ini, empati menjadi kunci asas kerana dengan memahami secara mendalam tentang permasalahan komuniti, satu penyelesaian secara digital dapat dicadangkan kepada penduduk.
Proses ini dari sudut penyelidikan reka bentuk pengalaman pengguna dinamakan sebagai pembinaan persona.
Ia bermaksud, cerita sebenar komuniti sasaran merupakan satu bentuk empati yang mempengaruhi keputusan dalam setiap keputusan reka bentuk.
Dalam konteks penyelidikan yang dilaksanakan di empat lokasi ini, penyelidik akan menghasilkan penyelesaian digital berdasarkan pengalaman komuniti sasaran itu sendiri.
Misalnya, bagi memudahkan warga emas mendapatkan bantuan kecemasan, penyelidik telah mengemukakan pembinaan satu aplikasi mudah alih dan laman web untuk dimanfaatkan oleh mereka.
Aplikasi dan laman web tersebut direka mesra warga emas dan berfungsi seperti “butang kecemasan” atau panic button iaitu hanya dengan menekan skrin, isyarat kecemasan akan terus sampai kepada pasukan penyelamat atau jawatankuasa komuniti kampung.
Inilah tujuan kaedah pembinaan persona dalam penyelidikan reka bentuk yang menitikberatkan penghasilan produk mesra pengguna mengikut keperluan mereka yang khusus.
Hasil dapatan lapangan kepada perancangan berimpak tinggi CTP
Apa yang membezakan usaha bancian keperluan komuniti ini dengan pendekatan konvensional ialah fokus terhadap menterjemah dapatan kajian kepada tindakan berimpak tinggi.
Data yang dikumpulkan bukan bertujuan untuk memenuhi keperluan akademik semata-mata, sebaliknya menjadi asas penting kepada perancangan projek di bawah kerangka CTP.
Pendekatan ini memastikan setiap cadangan intervensi yang bakal dilaksanakan tidak bersifat umum atau berasaskan andaian, tetapi berlandaskan keperluan sebenar komuniti setempat.
Dalam konteks pembangunan komuniti, kegagalan memahami realiti harian penduduk berisiko menghasilkan projek yang tidak lestari, tidak digunakan atau tidak memberi impak jangka panjang.
Melalui bancian ini, universiti berperanan sebagai pemudah cara yang menghubungkan suara komuniti dengan perancangan strategik.
Pendekatan ini juga membolehkan pihak berkepentingan seperti pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan rakan industri melihat gambaran mikro yang sering terlepas pandang dalam perancangan dasar di peringkat makro.
Mahasiswa dan pembelajaran berasaskan realiti masyarakat Changloon
Satu lagi dimensi penting dalam pelaksanaan bancian keperluan komuniti ini ialah pembangunan keupayaan mahasiswa.
Penglibatan pelajar dalam aktiviti lapangan berasaskan SULAM memberi pengalaman pembelajaran yang tidak dapat diperoleh sepenuhnya dalam bilik kuliah.
Mahasiswa bukan sahaja mempelajari kaedah penyelidikan dan pengumpulan data, malah diasah untuk berinteraksi dengan komuniti, membina empati, memahami konteks sosioekonomi serta menilai implikasi sebenar sesuatu masalah terhadap kehidupan seharian masyarakat.
Pengalaman ini membentuk kefahaman yang lebih holistik tentang peranan ilmu dan teknologi dalam menyelesaikan isu sebenar masyarakat.
Dalam jangka panjang, pendekatan ini menyumbang kepada pembentukan graduan yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga peka sosial dan bertanggungjawab.
Inilah nilai tambah universiti kepada masyarakat iaitu melahirkan modal insan yang bukan sekadar mahir secara teknikal, tetapi memahami realiti sebenar di lapangan.
Dalam konteks pembangunan digital dan reka bentuk perkhidmatan, empati bukan sekadar nilai moral, tetapi menjadi asas kepada inovasi lestari.
Keupayaan memahami pengalaman pengguna, khususnya golongan rentan seperti warga emas, membolehkan penyelesaian yang dicadangkan lebih inklusif dan praktikal.
Pendekatan pembinaan persona yang digunakan dalam bancian ini memastikan suara komuniti diterjemahkan secara sistematik ke dalam reka bentuk produk dan perkhidmatan.
Ini sekali gus mengurangkan jurang antara teknologi dan pengguna, serta meningkatkan kebarangkalian penyelesaian tersebut diterima dan digunakan oleh komuniti.
Pendekatan sebegini juga sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan yang menekankan kesejahteraan manusia sebagai teras kepada kemajuan teknologi.
CTP sebagai model pembangunan komuniti berasaskan data
Secara keseluruhan, pelaksanaan bancian keperluan komuniti di Changloon membuktikan bahawa pembangunan komuniti yang berkesan perlu bermula dengan pemahaman mendalam terhadap realiti setempat.
CTP tidak dibangunkan sebagai projek jangka pendek atau bersifat simbolik, sebaliknya dirangka sebagai inisiatif jangka panjang yang berfasa dan berasaskan data.
Pendekatan ini membolehkan universiti menilai keberkesanan setiap intervensi, membuat penambahbaikan berterusan dan memastikan kesinambungan projek yang memberi manfaat sebenar kepada masyarakat.
Pada masa sama, ia memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti sebagai rakan setara dalam pembangunan.
Kesimpulan
Usaha bancian keperluan komuniti yang dilaksanakan ini memperlihatkan peranan sebenar universiti awam dalam pembangunan masyarakat.
Universiti bukan sahaja pusat penyebaran ilmu, tetapi juga pemangkin kepada perubahan sosial yang berasaskan empati, data dan penglibatan komuniti.
Pendekatan bersepadu melalui CTP menunjukkan bahawa pembangunan komuniti yang lestari memerlukan perancangan jangka panjang, penyelidikan beretika serta kerjasama pelbagai pihak.
Dalam konteks ini, bancian keperluan komuniti bukan sekadar aktiviti lapangan, tetapi asas penting kepada pembentukan projek berimpak tinggi yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat Changlun secara berterusan.

* Dr. Idyawati Hussein@Hussen ialah Timbalan Pengarah (Teknikal) Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan mengetuai penyelidikan pengumpulan data untuk pembangunan projek komuniti di bawah Projek Transformasi Changloon (CTP).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Topic Berkaitan
#media sosial
#projek rintis
#warga emas
#pasukan penyelamat
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan