Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Cukupkah anak-anak kita hanya sekadar bijak?

Sistem pendidikan Malaysia menekankan pembangunan seimbang kognitif, afektif dan psikomotor, namun masyarakat masih cenderung meraikan pencapaian akademik. -Gambar hiasan
Sistem pendidikan Malaysia menekankan pembangunan seimbang kognitif, afektif dan psikomotor, namun masyarakat masih cenderung meraikan pencapaian akademik. -Gambar hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kes buli dan keganasan di sekolah menimbulkan kebimbangan, menyorot keperluan menilai semula keutamaan dalam pendidikan anak-anak.
  • Sistem pendidikan Malaysia menekankan pembangunan seimbang kognitif, afektif dan psikomotor, namun masyarakat masih cenderung meraikan pencapaian akademik.
  • Pembentukan nilai dan sahsiah pelajar memerlukan kerjasama sekolah, keluarga dan masyarakat, bukan hanya tertumpu kepada pencapaian peperiksaan.

KES buli, keganasan dan kehilangan nyawa melibatkan anak-anak sekolah kebelakangan ini sangat meresahkan.

Seperti lazimnya, setiap kali sesuatu berlaku, kita mula mencari punca. Sekolah dipersoalkan. Ibu bapa dipersoalkan. Pengaruh rakan sebaya dan media sosial dibincangkan. Soal disiplin, emosi dan keselamatan kembali menjadi perhatian.

Semuanya relevan. Dan tentunya tidak ada satu punca yang boleh menerangkan tingkah laku manusia yang begitu kompleks.

Namun, mungkin ada satu perkara yang wajar kita renungkan bersama. Apakah sebenarnya yang kita anggap sebagai kejayaan dalam mendidik seorang anak?

Dalam pendidikan, kita sudah lama mengenali tiga domain - kognitif, afektif dan psikomotor.

Bahasa mudahnya, pendidikan bukan hanya tentang apa yang anak tahu. Pendidikan juga tentang apa yang anak rasa dan hargai, serta bagaimana semuanya diterjemahkan kepada tindakan.

Kepala. Hati. Tindakan.

Ketiga-tiganya penting. Malah tidak tepat untuk mengatakan sistem pendidikan kita tidak memberikan perhatian kepada perkara ini.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan sendiri sejak sekian lama berbicara tentang perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Di sekolah ada pendidikan nilai, kokurikulum, sukan, pembangunan sahsiah dan pelbagai program yang cuba membangunkan murid melangkaui akademik.

Apabila melangkah ke pendidikan tinggi, kemahiran insaniah atau soft skills pula diberikan perhatian.

Kerangka kelayakan seperti MQF (Malaysian Qualification Framework) turut memasukkan komunikasi, kemahiran interpersonal, kepimpinan, etika, profesionalisme dan tanggungjawab.

Pendidikan Berteraskan Nilai atau Values-Based Education (VBE) juga semakin diberikan penekanan.

Jadi, kita sebenarnya tahu.

Di atas kertas, kita memang mahukan manusia yang seimbang. Tetapi adakah apa yang tertulis itu benar-benar selari dengan apa yang kita, sebagai masyarakat, tunjukkan sebagai penting?

Di sinilah kita perlu jujur dengan diri sendiri.

Dari dulu, kita memang sangat ghairah dengan pencapaian kognitif. Dahulu kita ada UPSR. Kemudian PT3. SPM pula kekal sebagai detik besar yang ditunggu-tunggu.

Setiap kali keputusan diumumkan, bilangan A menjadi perhatian. Anak yang mendapat keputusan cemerlang diraikan. Ibu bapa bangga. Sekolah bangga. Masyarakat turut meraikannya.

Image
51489913111_SPM.jpg

Apabila kita mula menyedari bahawa sistem pendidikan terlalu berorientasikan peperiksaan, UPSR dan PT3 dimansuhkan.

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) diberikan penekanan sebagai sebahagian daripada usaha melihat perkembangan dan pembelajaran murid secara lebih menyeluruh.

PBD seolah-olah memberikan sinar baharu kepada mereka yang mahu melihat pendidikan melangkaui peperiksaan.
Namun apabila dilaksanakan, kita masih mencari angka.

Tahap Penguasaan atau TP yang sepatutnya membantu menggambarkan perkembangan pembelajaran murid akhirnya turut ditanya, dipersoalkan dan dibandingkan.

“Anak saya TP berapa?” “Kenapa anak orang lain TP6, anak saya TP5?”

Sekali lagi, sesuatu yang sepatutnya membantu kita memahami pembelajaran seorang anak berisiko berubah menjadi satu lagi ukuran untuk membandingkan.

Sekarang diperkenalkan pula MPT4 yang tujuan asalnya adalah diagnostik - untuk mengenal pasti tahap penguasaan murid lebih awal supaya intervensi dan pengayaan boleh dibuat sebelum mereka melangkah lebih jauh dalam persekolahan.

Tujuannya baik. Tetapi persoalannya, mampukah kita membiarkannya kekal sebagai alat diagnostik?

Image
51611708530_TBMURIDPDPRx.jpg

Atau perlahan-lahan kita akan melakukan perkara yang sama - melihat markah, mengejar gred, membuat perbandingan, mencari teknik skor dan akhirnya menjadikan satu lagi bentuk pentaksiran sebagai ukuran kejayaan seorang anak?

Kita sudah cukup mengenali budaya kita sendiri. Kerana nampaknya, apa pun bentuk pentaksiran yang diperkenalkan, kecenderungan kita masih sama:

Yang boleh diukur, kita mahu bandingkan.
Yang boleh diberi markah, kita mahu kejar.
Yang boleh diranking, kita mahu raikan.

Buka sahaja media sosial. Iklan kelas persediaan untuk ujian kemasukan ke sekolah berasrama penuh muncul di sana sini. Anak-anak dipersiapkan, dibuat latih tubi dan diajar teknik menjawab sejak usia yang masih muda.

Tidak salah.

Tidak salah mahu anak pandai. Tidak salah menghantar anak ke kelas tambahan. Tidak salah meraikan straight A.

Malah kita memang mahu anak-anak kita mempunyai ilmu dan mencapai potensi akademik mereka.

Yang perlu kita renungkan ialah keghairahan kita.

Yang boleh diuji, kita latih.
Yang boleh diberi markah, kita kejar.
Yang boleh dibandingkan, kita raikan.

Tetapi adakah kita mempunyai keghairahan yang sama terhadap perkara yang tidak boleh dimasukkan ke dalam slip keputusan?

Apabila markah Matematik anak merosot, kita risau. Kalau perlu, kita cari guru tuisyen. Tetapi apabila anak cepat marah, adakah kita sama risau?

Apabila anak suka memperlekehkan orang lain?
Apabila dia tidak boleh menerima kekalahan?
Apabila dia mentertawakan kelemahan kawannya?
Apabila dia tidak tahu bagaimana mengurus kecewa dan penolakan?

Adakah kita mencari bantuan dengan kesungguhan yang sama? Dan berapa ramai antara kita yang bertanya kepada guru, “Bagaimana anak saya melayan kawan-kawannya?” sekerap kita bertanya, “Berapa markah dia?”

Di sinilah domain afektif menjadi sangat penting.

Tidak ada A+ untuk empati.
Tidak ada ranking untuk belas ihsan.
Tidak ada peratus untuk kejujuran.
Tidak ada sijil untuk seorang anak yang memilih untuk tidak menyertai kawan-kawannya membuli murid lain.
Tidak ada anugerah untuk seorang anak yang berani berkata, “Sudahlah. Jangan kacau dia.”

Anehnya, apabila berlaku buli, keganasan dan tragedi, perkara-perkara yang tidak pernah tercatat dalam slip keputusan inilah yang kita cari.

Kita bertanya: Di mana empati?
Di mana belas kasihan?
Di mana kawalan diri?
Di mana rasa hormat kepada manusia lain?

Mungkin masalahnya bukan anak-anak tidak tahu bahawa membuli itu salah.

Mereka tahu.

Tetapi tahu bahawa sesuatu itu salah tidak sama dengan mempunyai nilai dan kekuatan dalaman untuk tidak melakukannya.

Image
41725534576_KanakKanakGajet.jpg

Seorang anak boleh memberikan definisi empati dengan tepat tetapi belum tentu mampu berempati. Dia boleh menyenaraikan nilai hormat, kasih sayang dan tanggungjawab tetapi belum tentu menghayatinya apabila berhadapan dengan manusia sebenar.

Sebab itu nilai tidak boleh hidup di dalam buku teks sahaja.

Nilai perlu dialami. Dan nilai tidak dibentuk oleh sekolah sahaja.

Anak belajar tentang hormat daripada cara ibu bapanya bercakap dengan orang lain.

Dia belajar tentang kuasa daripada cara orang dewasa menggunakan kuasa.
Dia belajar tentang belas kasihan daripada cara kita melayan orang yang lemah.
Dia belajar bagaimana menghadapi perbezaan daripada cara kita bercakap tentang orang yang tidak bersetuju dengan kita.
Dan hari ini, dia belajar banyak perkara daripada media sosial.

Apa yang kita ketawakan.
Apa yang kita viralkan.
Apa yang kita tulis di ruangan komen.

Bagaimana kita menghukum seseorang secara beramai-ramai.
Bagaimana kita melayan orang yang berbeza pandangan.
 

Image
71694407905_MuridSekolah.jpg


Anak-anak mungkin tidak mendengar semua nasihat kita. Tetapi mereka sangat pandai membaca keutamaan kita. Sebab itu kita tidak boleh meletakkan seluruh tanggungjawab pembentukan nilai kepada sekolah.

Sekolah mendidik.
Tetapi rumah juga mendidik.
Media mendidik.
Masyarakat mendidik.
Apa yang kita lakukan di hadapan anak-anak juga mendidik.

Saya teringat satu pengalaman dalam sebuah bengkel. Saya bertanya kepada sekumpulan guru, “Apakah tiga domain yang perlu ada dalam pendidikan?”

Dewan senyap.

Saya tidak pasti sama ada mereka tidak tahu, sudah lupa atau sebenarnya tahu tetapi takut memberikan jawapan yang salah.

Dan sebenarnya fenomena ini bukan hanya berlaku kepada guru. Pelajar begitu. Orang dewasa pun begitu. Kalau tidak pasti, lebih selamat diam. Takut salah. Takut diketawakan. Takut dianggap tidak pandai.

Mungkin kita telah terlalu lama membina budaya bahawa semuanya mesti betul.

Yang betul diraikan. Yang salah dipangkah. Sedangkan melakukan kesilapan adalah sebahagian daripada pembelajaran.

Anak perlu belajar bahawa dia boleh tersilap, mengaku kesilapan, memperbaikinya dan mencuba semula.

Kita mahu anak yang berani berfikir. Tetapi lebih daripada itu, kita mahu anak yang mempunyai keberanian untuk bersuara apabila melihat sesuatu yang salah berlaku di hadapannya.

Apabila seorang rakannya dibuli, kita mahu dia tidak turut serta.

Tidak merakam untuk dijadikan kandungan.
Tidak menyebarkan.
Mendapatkan bantuan.
Melaporkan.
Membantu dengan cara yang selamat.

Di sinilah tiga domain tadi bertemu.

Kognitif: dia tahu perbuatan itu salah.
Afektif: dia mempunyai empati dan pertimbangan moral untuk merasakan bahawa manusia lain tidak sepatutnya diperlakukan begitu.
Tindakan: dia mampu melakukan sesuatu berdasarkan apa yang diketahui dan dirasainya.

Tahu. Rasa. Buat.

Itulah pendidikan.

Image
51768907713_MuridmuridSekolah.jpg

Kita tidak perlu memilih antara anak yang pandai dengan anak yang baik. Kita mahu kedua-duanya. Teruskan mengajar mereka membaca, mengira, berfikir, menganalisis dan mencapai kecemerlangan.

Tetapi dengan kesungguhan yang sama, ajarlah mereka mengurus marah, menerima kekalahan, menghadapi penolakan, menghormati perbezaan, mempunyai empati dan menggunakan kekuatan untuk melindungi, bukan menindas.

Kita sebenarnya sudah mempunyai banyak dasar, kurikulum dan aspirasi yang baik. Mungkin cabaran kita sekarang bukan menambah satu lagi slogan.

Cabaran kita ialah memastikan apa yang kita kata penting benar-benar sama dengan apa yang kita tunjukkan sebagai penting. Kerana anak-anak membaca keutamaan kita.

Mungkin selepas ini, selain bertanya, “Berapa A anak kita dapat?”, kita juga perlu lebih kerap bertanya, “Bagaimana anak kita melayan manusia lain?”

Kerana akhirnya, keputusan peperiksaan hanya menceritakan sebahagian daripada kejayaan seorang anak. Yang jauh lebih penting bukan sekadar sepandai mana anak-anak kita. Tetapi manusia bagaimana yang sedang kita bentuk?


Dr Satirah Ahmad ialah Pensyarah Cemerlang Gred Khas C di IPG Kampus Sultan Abdul Halim, aktif mempromosikan pembelajaran mendalam melalui pendekatan berasaskan konsep.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Apakah isu utama yang dibincangkan dalam artikel ini? 
    A: Artikel ini membincangkan isu buli, keganasan dan kehilangan nyawa melibatkan anak-anak sekolah serta keutamaan masyarakat terhadap pencapaian akademik berbanding pembentukan nilai dan sahsiah.
  • Q: Apakah tiga domain utama dalam pendidikan yang disebut dalam artikel? 
    A: Tiga domain utama dalam pendidikan yang disebut ialah kognitif (pengetahuan), afektif (emosi dan nilai), dan psikomotor (tindakan).
  • Q: Bagaimana sistem pendidikan Malaysia cuba membangunkan murid secara menyeluruh? 
    A: Sistem pendidikan Malaysia menekankan pembangunan potensi individu secara menyeluruh melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan nilai, kokurikulum, sukan, pembangunan sahsiah, serta penekanan kepada kemahiran insaniah dan nilai dalam pendidikan tinggi.
  • Q: Apakah cabaran utama dalam pelaksanaan pentaksiran baharu seperti PBD dan MPT4? 
    A: Cabaran utama ialah kecenderungan masyarakat untuk tetap membandingkan dan mengejar markah atau ranking, walaupun pentaksiran baharu bertujuan menilai perkembangan murid secara lebih menyeluruh dan diagnostik.
  • Q: Mengapa pembentukan nilai dan sahsiah tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada sekolah sahaja? 
    A: Pembentukan nilai dan sahsiah tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada sekolah kerana anak-anak juga belajar daripada keluarga, media, masyarakat dan apa yang ditunjukkan oleh orang dewasa di sekeliling mereka.

Must Watch Video

Advertisement