[KOLUMNIS] Graduan PUSPAHANAS aset negara: Kepimpinan, Iimu dan diplomasi pertahanan tunggak keamanan
![[KOLUMNIS] Graduan PUSPAHANAS aset negara: Kepimpinan, Iimu dan diplomasi pertahanan tunggak keamanan [KOLUMNIS] Graduan PUSPAHANAS aset negara: Kepimpinan, Iimu dan diplomasi pertahanan tunggak keamanan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/71765260735_tbPusatPengajianPe.jpg)
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan Majlis Graduasi Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) 2025 baru-baru ini. - Foto FB Pusat Pengajian Pertahanan Nasional
“TAMATNYA pengajian dan bergraduasi di PUSPAHANAS bukan sekadar menandakan tamatnya satu fasa pembelajaran tetapi membawa makna yang lebih lebih besar daripada itu.”
Pesanan dan amanat yang cukup jelas diberikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin semasa majlis graduasi yang berlangsung pada 6 Disember 2025 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS). Menurutnya lagi, tamat pembelajaran adalah simbol permulaan bab baharu dalam perjalanan kerjaya dan kehidupan para graduan khususnya untuk semua pegawai tentera. Dalam ucapan yang penuh makna dan sarat dengan pesanan penting, Menteri Pertahanan menekankan bahawa profesion ketenteraan bukanlah sekadar pekerjaan biasa. Ia adalah satu amanah yang menuntut komitmen tinggi tanpa kompromi untuk mempertahankan keamanan, kestabilan dan keselamatan negara serta dunia.
Menurut beliau, pembelajaran dan menuntut ilmu adalah satu proses yang tidak ada pengakhirannya. Sebaliknya, ia adalah titik mula kepada usaha menuntut ilmu sepanjang hayat. Anggota tentera bukan sahaja perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang mantap tetapi juga perlu memenuhkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mencakupi isu-isu semasa, serantau serta antarabangsa. Dalam era dunia yang sangat mencabar dimana aspek geostrategik dan geopolitik sentiasa berubah, teknologi terkini yang berkembang dengan pantas seperti Artificial Intelligent, Quantum Technologhy serta ancaman baharu muncul dengan lebih kompleks. Ketahanan mental dan fizikal sahaja tidak memadai. Justeru, para graduan digesa untuk terus menimba ilmu, berfikir secara kritis dan berinovasi agar kekal relevan dalam menghadapi cabaran global. Pembelajaran sepanjang hayat menjadi asas penting bagi setiap anggota tentera untuk memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi perubahan landskap keselamatan antarabangsa.
Selain itu, Datuk Seri Khaled Nordin juga menekankan tentang aspek kepimpinan yang merupakan tunggak utama dalam profesion ketenteraan. Nilai kepimpinan sebenar menuntut keberanian, pemimpin perlu mempunyai visi dan misi yang jelas, sentiasa menyatupadukan segala kekuatan agar usaha dapat digembelengkan di tahap optimum demi mencapai kejayaan bukan sahaja di dalam situasi kritikal seperti peperangan tetapi juga misi kemanusiaan, serta pengurusan bantua bencana. Beliau juga menegaskan nilai disiplin, profesionalisme, pemikiran strategik serta kritis dan integriti moral menjadi asas utama pembentukan pemimpin berwibawa kerana kepimpinan sebegini akan menentukan kejayaan misi, keselamatan nyawa dan serta hala tuju masa depan negara.
Menteri Pertahanan turut mengingatkan bahawa profesion ketenteraan bukanlah bertujuan semata-mata untuk peperangan, tetapi senario pada masa kini turut menuntut anggota tentera sebagai elemen penting untuk mengekalkan keamanan malah menjadi agen diplomasi di dalam banyak situasi. Anggota tentera digambarkan sebagai “diplomat yang berpakaian seragam” di mana tentera berperanan menggalakkan dialog keamanan, membina kerjasama dengan pelbagai pihak, membawa keamanan serta mencegah pencerobohan dan memelihara kedaulatan negara. Ancaman terhadap keamanan kini tidak lagi terbatas kepada peperangan konvensional malah turut merangkumi banyak perkara-perkara bukan konvensional seperti perubahan iklim, pandemik, penyebaran maklumat palsu, krisis kemanusiaan dan risiko rentas negara yang semakin kompleks. Oleh yang demikian, keamanan dan kestabilan mesti dipelihara bersama. Graduan digesa untuk memainkan peranan sebagai simbol keamanan serta memupuk kesatuan dan perpaduan di kalangan semua peringkat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa. Graduan juga turut berperanan sebagai salah satu pemangkin utama dalam merealisasikan aspirasi Whole of Government Whole of Society (WoGoS).
Dalam konteks ini, PUSPAHANAS dilihat sebagai institusi penting dan bertepatan untuk menghasilkan graduan yang mempunyai ciri-ciri yang telah dijelaskan menerusi platform Profesional Military Education (PME). Menteri Pertahanan turut menegaskan bahawa PME bukan sekadar modul akademik semata-mata tetapi ia mampu melahirkan anggota yang kompeten, cekap teknikal, taktikal dan mahir memanfaatkan teknologi dalam penugasan di pelbagai penempatan menerusi konsep pembelajaran, latihan serta pendidikan profesional yang berterusan. Kualiti sesebuah angkatan tentera, katanya, akan sentiasa mencerminkan kekuatan pendidikan dan pemikiran anggotanya. Impaknya, anggota tentera yang terlatih serta mempunyai pengetahuan dalam pelbagai aspek dapat menyumbang ke arah Diplomasi Pertahanan yang memupuk kefahaman dan tidak hanya bergantung mata-mata pada kekuatan senjata. Justeru, jaringan dan rangkaian kerjasama strategik yang terjalin di PUSPAHANAS antara penuntut-penuntut luar negara dan pegawai-pegawai ATM dianggap sebagai aset strategik yang mampu mencegah konflik, membina kerjasama masa depan dan memulihkan kepercayaan ketika berdepan ketidaktentuan.
Menteri Pertahanan juga turut menghargai dan memuji graduan PUPAHANAS yang digambarkan sebagai aset negara yang mampu bertindak sebagai pemikir, inovator dan pemimpin masa depan yang akan membentuk era baharu keselamatan dan pertahanan. Oleh yang demikian, mereka digesa untuk mencabar teori dan amalan- amalan lama, mencari penyelesaian baharu dan merangka strategi yang melangkaui sempadan pemikiran dan norma-norma tradisional. Graduan PUSPAHANAS diharapkan menjadi pemimpin strategik yang mampu menggabungkan kecekapan taktikal dengan kebijaksanaan diplomasi, kemahiran mediasi, serta keupayaan membina keamanan dan kerjasama antarabangsa.
Secara keseluruhannya, ucapan Menteri Pertahanan semasa majlis graduasi di PUSPAHANAS adalah amat bertepatan dengan situasi dan senario pertahanan dan keselamatan global pada masa kini. Menjadi anggota tentera di era ini bukan hanya bergantung kepada kecergasan tubuh badan dan mental serta kecekapan pengendalian senjata semata-mata namun era ini menuntut mana-mana negara mempunyai kekuatan anggota tenteranya yang berpengetahuan ilmu, mempunyai pemikiran strategik, kemahiran diplomasi serta pelbagai lagi agar dapat memelihara keamanan, membawa keamanan serta mempertahanan kedaulatan dan pertahanan negara.
*Kol Ts Dr Maimunah Omar adalah Pengarah Bahagian Teknologi Komparatif MiDAS
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


