awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Komuniti perundangan sokong kenaikan gaji hakim bagi perkukuh badan kehakiman
Pengakap Malaysia anjur program nasional dan antarabangsa pada 2026
Semangat kerjasama, kebersamaan bantu Malaysia mendepani pelbagai cabaran ekonomi - Fadillah
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

[KOLUMNIS] Implikasi penyakit akuakultur terhadap keselamatan makanan negara

Prof Dr Murni Marlina Abd Karim
Prof Dr Murni Marlina Abd Karim
31/12/2025
12:45 MYT
[KOLUMNIS] Implikasi penyakit akuakultur terhadap keselamatan makanan negara
Udang putih mendominasi ternakan udang negara ini. - Gambar Dr Murni Marlina
AKUAKULTUR kini menjadi antara tunggak utama dalam menjamin keselamatan makanan negara. Dalam situasi sumber perikanan tangkapan semakin terhad akibat penangkapan berlebihan dan perubahan iklim, sektor akuakultur muncul sebagai penyumbang utama kepada bekalan protein rakyat Malaysia. Namun di sebalik pertumbuhan pesat industri ini, wujud satu ancaman senyap yang sering dipandang ringan iaitu penyakit akuakultur.
Industri berkembang, risiko meningkat
Industri akuakultur global dianggarkan menyumbang lebih 50 peratus kepada bekalan ikan dunia. Namun, kejayaan ini turut disertai cabaran besar. Laporan antarabangsa menunjukkan bahawa kerugian akibat penyakit akuakultur mencecah puluhan bilion setahun, merangkumi kematian ternakan, penurunan produktiviti, kos rawatan dan gangguan rantaian bekalan makanan.
Di Malaysia, impak ini lebih ketara kepada penternak kecil dan sederhana yang bergantung sepenuhnya kepada hasil ternakan sebagai sumber pendapatan. Serangan penyakit bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah boleh mengakibatkan penutupan ladang secara kekal jika tidak ditangani dengan baik.
Jenis penyakit dan punca utama
Secara umum, penyakit akuakultur boleh dibahagikan kepada dua kategori utama. Pertama, penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria, virus, kulat dan parasit. Antara contoh yang sering dilaporkan ialah jangkitan bakteria Vibrio, penyakit viral seperti White Spot Syndrome Virus (WSSV) dan Acute Hepatopancreatic Necrosis Disease (AHPND) dalam udang.
Penyakit berjangkit lazimnya terjadi apabila tiga faktor utama hadir serentak, iaitu patogen yang berbahaya, sistem imun ternakan yang lemah dan persekitaran yang tidak kondusif.
Jika salah satu faktor ini dapat dikawal, risiko penyakit boleh dikurangkan. Oleh itu, amalan biosekuriti yang baik dan pengurusan ladang yang optimum amat penting bagi mencegah kedatangan penyakit. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, patogen yang sangat virulen masih berupaya menyebabkan penyakit walaupun pengurusan telah dilaksanakan dengan baik.
Kedua, penyakit tidak berjangkit yang berpunca daripada faktor persekitaran dan pengurusan seperti kualiti air yang rendah, ketidakseimbangan nutrien, tekanan suhu, serta kepadatan ternakan yang berlebihan. Dalam banyak kes, penyakit berlaku akibat gabungan beberapa faktor ini, bukan berpunca dari satu faktor sahaja.
Risiko pendedahan kepada penyakit dalam sistem akuakultur adalah tinggi kerana organisma akuatik sentiasa terdedah kepada patogen yang wujud secara semula jadi atau diperkenalkan ke dalam persekitaran air. Selain itu, perubahan mendadak kualiti air turut memberi kesan besar terhadap tahap kesihatan dan ketahanan penyakit haiwan ternakan.
Antara tanda klinikal penyakit pada ikan
Antara tanda klinikal penyakit pada ikan. - Gambar Dr Murni Marlina
Cabaran khusus industri ikan dan udang
Dalam penternakan ikan, masalah utama sering berkait dengan kualiti air dan pengurusan sisa. Lebihan makanan, pengumpulan bahan organik dan kadar oksigen yang tidak mencukupi boleh mencetuskan tekanan fisiologi kepada ikan. Akibatnya, kadar tumbesaran menjadi perlahan, penggunaan makanan meningkat dan kadar kematian bertambah.
Bagi industri udang pula, cabaran lebih kompleks. Penyakit seperti White Spot Syndrome Virus (WSSV), Enterocytozoon hepatopenaei (EHP) dan Acute Hepatopancreatic Necrosis Disease (AHPND) telah menyebabkan kerugian besar kepada pengusaha tempatan. Dalam banyak kes, kolam terpaksa dikosongkan sepenuhnya sebelum tempoh penuaian, sekali gus menjejaskan aliran tunai dan kestabilan bekalan.
Isu penggunaan antibiotik dan keselamatan makanan
Apabila penyakit melanda, penggunaan antibiotik sering menjadi jalan pintas untuk mengawal jangkitan. Di sesetengah negara, penggunaan antibiotik dikawal dengan ketat, manakala ada negara yang peraturan berkaitan penggunaannya masih longgar atau kurang jelas.
Namun begitu, penggunaan yang tidak terkawal membawa implikasi serius seperti peningkatkan risiko perkembangan rintangan antibiotik dalam kalangan patogen bakteria (antimicrobial resistance, AMR). Isu ini bukan sahaja menjejaskan keberkesanan rawatan penyakit haiwan, malah berpotensi memberi kesan kepada kesihatan manusia melalui rantaian makanan.
Selain itu, sisa antibiotik yang tertinggal dalam produk akuakultur boleh menjejaskan keyakinan pengguna dan menyukarkan akses pasaran eksport yang semakin ketat terhadap isu keselamatan makanan.
Ternakan tilapia antara spesis yang menjadi tumpuan penternak negara ini
Ternakan tilapia antara spesis yang menjadi tumpuan penternak negara ini. - Gambar Dr Murni Marlina
Keperluan pendekatan pencegahan bersepadu
Pengalaman industri menunjukkan bahawa pencegahan adalah jauh lebih berkesan dan menjimatkan berbanding rawatan. Amalan pengurusan ladang yang baik seperti kawalan kualiti air, pengurusan kepadatan ternakan, penggunaan benih berkualiti, pemakanan seimbang dan biosekuriti yang ketat perlu dijadikan keutamaan.
Di samping itu, penggunaan teknologi seperti sistem pemantauan kualiti air secara masa nyata, analisis data dan amalan penternakan berasaskan sains mampu mengurangkan risiko penyakit secara signifikan. Pendidikan dan latihan berterusan kepada penternak juga penting agar mereka memahami tanda awal penyakit serta langkah pencegahan yang berkesan.
Ke arah dasar nasional kesihatan akuakultur
Isu penyakit akuakultur wajar diberi perhatian sebagai agenda strategik negara. Pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan sistem amaran awal penyakit, serta pengukuhan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan industri perlu dipertingkatkan.
Keselamatan makanan negara tidak hanya bergantung kepada jumlah pengeluaran, tetapi juga kepada tahap kesihatan dan kelestarian sistem pengeluaran itu sendiri. Dengan pendekatan bersepadu dan berasaskan sains, Malaysia berpotensi memperkukuh sektor akuakultur sebagai sumber protein yang selamat, mampan dan berdaya saing di peringkat global.

* Prof Dr Murni Marlina Abd Karim ialah Timbalan Pengarah Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Setiausaha Persatuan Perikanan Asia (AFS).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
Topic Berkaitan
#penyakit berjangkit
#rantaian bekalan
#sistem amaran awal
#Organik
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan