KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi petunjuk bahawa Huawei, gergasi teknologi dari China, mungkin terlibat dalam pembinaan rangkaian 5G kedua Malaysia telah menimbulkan pelbagai persoalan dan kebimbangan.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memahami dan menghormati prinsip bebas dari politik asing, keputusan ini mungkin mempunyai kesan jangka panjang yang luas terhadap perkembangan teknologi dan hubungan geopolitik Malaysia.

Pertamanya, kita harus meraikan pandangan bahawa tindakan tersebut, melambangkan aspirasi Malaysia untuk memelihara kemerdekaan dalam penggunaan teknologi, tidak terikat kepada satu negara atau kumpulan negara tertentu.

Namun adakalanya tidak salah untuk kita berhenti sejenak dan berfikir, sama ada keputusan ini diteliti dari segenap dimensi, mengambil kira pertimbangan keselamatan dan kepentingan jangka panjang negara.

Tidak salah jika kita katakan, ada keperluan yang mendesak untuk memastikan bahawa keputusan ini adalah hasil daripada penilaian komprehensif mengenai risiko dan ganjaran yang berkaitan. Sementelahan pula, keputusan untuk melibatkan Huawei perlu mengingatkan janji bahawa projek dengan skala sebegini besar harus melalui tender dan dijamin dengan ketelusan. 

Apabila dibandingkan dengan pendekatan sebelumnya yang memilih Ericsson melalui proses tender yang telus, penggubalan semula pendekatan kepada Huawei menimbulkan persoalan tentang kesahihan janji ketelusan kerajaan.

Malah sering dilaungkan berkali-kali, bahawa ketelusan dalam proses tender adalah aspek penting dalam pembangunan projek, apatah lagi jika ia melibatkan sudut teknologi dan penjamin kualiti dalam perkhidmatan telekomunikasi.

Tidak salah jika kita utarakan kebimbangan global mengenai hubungan Huawei dengan kerajaan China, serta potensi risiko keselamatan siber adalah perkara yang tidak boleh diabaikan. Keputusan untuk melibatkan syarikat ini dalam infrastruktur teknologi kita menimbulkan persoalan keselamatan siber.

Adakah risiko ini telah dinilai dengan sewajarnya? Keselamatan siber adalah aspek yang semakin penting dalam dunia yang semakin terhubung, dan Malaysia perlu memastikan bahawa langkah-langkah yang betul diambil untuk melindungi data dan keselamatan negara.

Selain daripada risiko keselamatan, penglibatan Huawei juga membuka persoalan mengenai impak geopolitik. Dengan melibatkan Huawei, Malaysia mungkin dilihat sebagai negara yang lebih memihak kepada China dalam permainan kuasa global.

Ini boleh mengancam hubungan kita dengan negara-negara lain, terutamanya yang berwaspada terhadap pengaruh teknologi China. Malaysia harus bijak mengendalikan hubungan ini dan menimbang impaknya terhadap hubungan geopolitik serta ekonomi negara.

Sementara kepelbagaian dalam perkongsian teknologi boleh membawa manfaat kepada Malaysia, adalah penting untuk memastikan bahawa keputusan ini dibuat dengan teliti, mempertimbangkan risiko serta manfaat jangka panjang.

Penglibatan Huawei dalam rangkaian 5G Malaysia memerlukan penilaian menyeluruh dan pelaksanaan yang bijak untuk memastikan kepentingan jangka panjang Malaysia terjamin dalam era teknologi yang semakin canggih dan terhubung.


* Datuk Mohd Imran Tamrin merupakan peguam dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.