MALAYSIA
[KOLUMNIS] Kebodohan tidak bertebing: Jangan biarkan peristiwa Dr Morsi di Mesir terjadi di Malaysia
![[KOLUMNIS] Kebodohan tidak bertebing: Jangan biarkan peristiwa Dr Morsi di Mesir terjadi di Malaysia [KOLUMNIS] Kebodohan tidak bertebing: Jangan biarkan peristiwa Dr Morsi di Mesir terjadi di Malaysia](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2017-09/81505573084_MohamedMorsi.jpg)
Kritikan terhadap Morsi berubah jadi kudeta; kebebasan disalah guna, rakyat akhirnya hilang suara dan negara tenggelam dalam penindasan. - Foto fail/REUTERS
KETIKA seramai 31 juta rakyat Mesir memilih Presiden Muhammad Morsi rahimahullah sebagai pemimpin mereka, saya berada di Mesir. Saya melihat segalanya dari dekat.
Sejak hari pertama, satu gelombang "kritikan ganas" pun bermula - terhadap apa yang mereka gelar sebagai "kesilapan-kesilapan Morsi".
Kesilapan itu? Bermula dari ucapan "Bismillahirrahmanirrahim", hinggalah kepada penggerakan tentera ke Sinai.
Seorang penyampai TV menghina Islam - mereka kata "Di zaman Morsi, penyampai TV hina Islam". Seorang ulama Azhar menegurnya dengan keras – mereka kata "Di zaman Morsi, ulama mencarut di TV".Penyampai itu saman balik ulama - mereka pun kata "Di zaman Morsi, penyampai TV saman ulama!"
Morsi solat Subuh berjemaah di masjid - mereka bising: "Kenapa Presiden keluar malam tanpa pengiring? Dia cuai dengan keselamatan negara!"
Morsi hadir dalam majlis rasmi dengan pengiring - mereka bising juga: "Presiden guna sumber negara untuk jaga diri sendiri!"
Dan begitulah, setiap hela nafas Morsi dijadikan modal serangan.
Yang peliknya, bukan sekadar musuh politik yang menyerang. Bukan hanya sisa-sisa rejim Mubarak atau pengampu media Mesir seperti Lamis al-Hadidi, Ibrahim Issa, Amr Adib dan seangkatan.
Tidak. Sebahagian dari mereka yang kononnya pendukung kebebasan, pendokong Syariah, bahkan sebahagian orang soleh, mula sibuk memburu "kesilapan Morsi".
Semuanya demi satu retorik yang hipokrit: “Saya bukan penyokong buta. Saya akan bersuara walau terhadap Presiden yang solat Subuh di masjid!”
Buat pertama kali dalam hidup, mereka dengar hadis “Kalimah benar di hadapan pemimpin zalim” - lalu dengan semangat ‘baru belajar’, mereka latih hadis itu ke atas seorang pemimpin yang adil.
Orang ramai terus-terusan mengkritik Morsi, kabinetnya, dan seluruh pentadbirannya.
Tapi sepanjang satu tahun itu, beliau tetap terus bekerja untuk rakyat:
✔️ Nilai mata wang Mesir meningkat
✔️ Harga roti turun buat pertama kali dalam sejarah
✔️ Syarikat Terusan Suez dihidupkan semula
✔️ Barang keperluan asas kembali mampu dibeli
✔️ Ruang kebebasan mula dirasai rakyat
Beliau berikan rakyat kebebasan bersuara, dan rakyat gunakannya untuk menikam belakangnya.
Kesilapan tukang sapu jalan raya pun dikira "kesilapan Morsi", kerana…
"Umar bin al-Khattab pernah berkata, kalau kambing terjatuh di Iraq, aku takut Allah tanya aku tentangnya."
Akhirnya, selepas setahun, mereka menuduh kononnya Morsi berubah dari seorang pemimpin rakyat kepada ‘syaitan bertanduk’, dan rakyat menerima idea bahawa beliau patut digulingkan, dipenjarakan, dan dihukum.
Dan memang itu yang berlaku.
Morsi dijatuhkan. Dihumban ke penjara. Menteri-menteri yang bantu rakyat, dipenjarakan.
Anak-anak muda yang turun ke medan, dibantai dalam pembantaian Rabaa - di siaran langsung.
Mayat-mayat diseret dengan jentolak. Masjid penuh dengan jasad syuhada.
Yang masih hidup, digantung. Diseksa hingga berkata: "Kami dilanyak dengan elektrik sampai kami tak rasa tubuh kami lagi…"
Kemudian Morsi wafat - tanpa satu pun dari 31 juta pengundinya hadir untuk memandikannya atau mengkafankannya.
Tapi kisah ini belum tamat.
Kita belum melihat "hero sebenar" dalam kisah ini…
Hero yang dulu lantang bersuara:
"Saya hanya berkata benar!"
"Saya menegur dengan tanggungjawab!"
"Saya bukan taksub, saya tegas dengan prinsip!"
"Saya revolusioner, intelektual, Muslim yang sedar!"
Ya. Hero itulah yang lepas kudeta, bertukar menjadi arnab. Bertukar menjadi tikus, bersembunyi dalam saluran najis. Bisu. Kaku. Hilang dari medan.
Hari ini, Mesir lebih teruk dari zaman Mubarak. Lebih miskin, lebih ditekan, lebih kejam. Tapi “hero-hero mulia” itu diam membisu.
Mereka yang dulu mengutip hadis dan slogan revolusi, kini hanya tahu sebut: "Dengar dan taat kepada Wali al-Amr".
Negara kini hanya membina dua perkara: Penjara untuk rakyat, dan istana untuk presiden.
Media semua milik tentera. Tentera kini jadi penjual kek dan kasut.
Hak bersuara hanya diberikan sekali: “Apa permintaan terakhir kamu sebelum digantung?”
Dan lihatlah hasilnya - hari ini, tiada seorang pun rakyat Mesir daripada 100 juta penduduk berani berkata:
“Beri makanan kepada rakyat Gaʐa.”
Kalau ada, tempatnya sudah tersedia: Penjara Tora, Abū Zaʿbal, al-ʿAqrab... atau tali gantung.
Hari ini, Syria menuju jalan yang sama. Kita sedang berdiri di tebing api - sama ada kita padamkannya, atau kita akan jatuh ke dalamnya satu demi satu.
Amjad Yusuf dan rakan-rakannya masih bebas - senjata masih di tangan mereka, dan lubang kubur di Tadamon masih penuh tulang belulang anak muda kita.
Dan penjara Saidnaya belum ditutup.
Ia hanya tunggu giliran - untuk mengurung kita semua, jika kita terus leka.
Hari ini, kita bukan lagi bercakap tentang "kata-kata benar di hadapan pemimpin zalim". Kita sedang hadapi gelombang pemburuan salah yang sangat jijik.
Jika kita masih mahu percaya bahawa ini semua hanyalah “kritikan jujur”, “pendapat bebas”, “tanggungjawab moral” - maka kita hanya menunggu saat kita sendiri ditolak ke dalam lubang yang sama.
Sungguh, bukan setiap “kata benar” membawa kebenaran. Ada kata-kata yang menjatuhkan kita ke neraka.
Dan ada kata-kata yang mengheret seluruh negara ke neraka bersama-sama…
* Penulis merupakan Pengerusi NGO Green Project Malaysia ** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami