MALAYSIA
[KOLUMNIS] Kementerian Pengangkutan sudah lambat 11 tahun untuk membentuk Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia'
![[KOLUMNIS] Kementerian Pengangkutan sudah lambat 11 tahun untuk membentuk Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia' [KOLUMNIS] Kementerian Pengangkutan sudah lambat 11 tahun untuk membentuk Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia'](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/41749631729_lokasikejadiankema.jpg)
Cadangan penubuhan MTSB dikatakan berikutan tragedi jalan raya pelajar UPSI dan anggota FRU baru-baru ini. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook di Parlimen semalam bahawa Kementerian Pengangkutan kini sedang mempertimbangkan cadangan untuk membentuk Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) adalah satu isyarat yang membimbangkan.
Ia seolah-oleh memperlihatkan bahawa Menteri Pengangkutan, Timbalan Menteri Pengangkutan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan kakitangan Kementerian secara umum tidak menunjukkan kesungguhan perihal agenda keselamatan jalan raya.
Menurut laporan berita, pengumuman Loke mengenai cadangan penubuhan MTSB semalam adalah merupakan salah satu syor pasukan petugas khas berikutan tragedi jalan raya pelajar UPSI dan anggota FRU baru-baru ini.
Untuk makluman, cadangan untuk membentuk MTSB bukanlah sesuatu syor atau idea baharu memandangkan usaha pembentangan dan mekanisma untuk menjadikan MTSB sebagai satu realiti telah pun bermula sejak Januari 2014.Berikutan 51 syor panel penasihat bebas nahas bas Genting yang telah mengorbankan 37 orang, jumlah kehilangan nyawa tertinggi pernah direkodkan dalam satu tragedi jalan raya setakat ini di Malaysia,
Pemangku Menteri Pengangkutan pada masa itu Datuk Seri Hishamuddin Hussein telah pun membuat pengumuman pada 29 Januari 2014 bahawa MTSB akan ditubuhkan.
Pada 21 Februari 2014, Hishamuddin telah membuat kenyataan susulan bahawa skop MTSB akan diperluaskan kepada industri penerbangan bagi siasatan nahas udara.
Pada 18 Januari 2015, pengganti Hishamuddin iaitu Tan Sri Liow Tiong Lai berkata MTSB akan memantau semua aspek berkaitan jalan raya, rel, penerbangan dan maritim.
Tiong Lai juga mengesahkan 10 tahun lalu bahawa pembentukan badan berkanun itu telah berada di peringkat akhir.
"Cadangan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk dinilai sebelum dibawa ke Kabinet dan dibentangkan di Parlimen. Setakat ini, kita mempunyai rangka kerja dan garis panduan penubuhan badan itu selain soal perlantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah daripada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan selain para pemimpin tempatan," kata Tiong Lai, sepertimana yang dilaporkan Bernama pada 18 Januari 2015.
Sedekad lalu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah membuat penilaian mengenai cadangan penubuhan MTSB dan telah menyerahkan laporan kepada Kementerian Pengangkutan.
Sepanjang ingatan saya, sekitar sembilan tahun lalu beberapa kakitangan MIROS telah dimaklumkan agar bersedia untuk menjadi pelopor warga kerja MTSB apabila ditubuhkan kelak.
Malah, sekitar penghujung 2016, Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa, "Kementerian masih dalam proses memuktamadkan penubuhan badan berkanun itu."
"Kementerian, melalui MIROS, juga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan tahun lepas mengenai penubuhan lembaga ini. Rang undang-undang juga sedang dirangka untuk memenuhi penubuhan MTSB," kata kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan pada 30 Disember 2016.
SOALAN:
a) Apakah yang telah berlaku kepada semua kertas cadangan dan rangka kerja mengenai penubuhan MTSB dalam tempoh 11 tahun yang lalu oleh pelbagai panel bebas dan MIROS?
b) Mengapakah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan pada masa ini seolah-olah tidak cakna fail-fail perancangan MTSB sejak 10 tahun kebelakangan dan tidak menasihati Anthony Loke mengenai agenda MTSB sejak beliau menjadi Menteri buat kali kedua 33 bulan kebelakangan?
c) Mengapakah Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan nampaknya hanya bertindak selepas berlaku nahas besar baru-baru ini dan kini secara tiba-tiba kembali menyemak cadangan penubuhan MTSB?
Malah, Panel Semakan Syor (RRP) mengenai 51 syor oleh panel penasihat bebas tragedi bas Genting yang dibentuk pada 2018, telah memberi penekanan jelas kepada Anthony Loke bahawa MTSB harus menjadi salah satu agenda penting Kementerian Pengangkutan.
RRP tujuh tahun lalu telah dipengerusikan bersama oleh bekas pengerusi MIROS Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan pada ketika itu Datuk Seri Saripuddin Kasim.
Oleh itu, sebelum menubuhkan MTSB, di sini saya mencadangkan agar para pegawai Kementerian Pengangkutan mengkaji dengan teliti laporan nahas bas Genting serta laporan oleh RRP.
Saya di sini menggesa dan merayu kepada Menteri Pengangkutan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan agar bersikap serius dalam menyelamatkan nyawa di jalan raya dan tidak hanya pantas buat tindakan setiap kali berlaku nahas besar. Mereka perlu pro-aktif di dalam polisi dan perancangan.
Saya juga turut menyeru agar Menteri Pengangkutan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan agar tidak lagi berlengah untuk menubuhkan MTSB kerana sudah banyak masa dihabiskan selama ini untuk perbincangan, pembentangan dan kertas kerja telah pun didokumenkan oleh MIROS dan pakar-pakar berkaitan sejak 11 tahun lalu.
Untuk rekod, saya dilantik sebagai ahli RRP 2018 yang dibentuk oleh Anthony Loke dan saya juga merupakan ahli lembaga pengarah MIROS dari Januari 2019 hingga Januari 2022.
* Shahrim Tamrin merupakan aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan serta ahli Panel RRP
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami