PADA 13 Januari lalu, media melaporkan seorang pemandu lori sampah maut selepas dipercayai cuba mengelak lubang dalam kemalangan di Kampung Sentosa Jaya, Jalan Sandakan-Lahad Datu.

Seorang kerani pula dilapor maut digilis treler selepas terjatuh sebaik motosikal ditunggangnya terlanggar lubang di lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru, dalam kejadian pada 18 November 2023.

Ini baru dua kisah tragis yang dipetik berdasarkan laporan media dan pengesahan pihak berkuasa.

Kalau dibuat carian di Google, sudah tentu anda akan 'dihidang' dengan lebih banyak cerita kemalangan - yang antaranya berkait dengan jalan berlubang.

Fakta yang tidak boleh dinafikan juga ialah sekurang-kurangnya 80 peratus kemalangan di negara ini berpunca daripada sikap pengguna jalan raya.

Manakala, sebanyak 20 peratus lagi disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti kenderaan (teknikal, brek dan lain-lain) dan faktor luaran seperti keadaan jalan.

Walaupun faktor luaran berada dalam lingkungan purata 20 peratus, tetapi jalan berlubang tidak boleh sama sekali dianggap sebagai 'hiasan' atau 'penyeri'.

Jadi kalau jalan berlubang, apa perlu anda buat dan siapa kena 'hello'?


Jenis-jenis jalan

.

Tidak semua beban akibat jalan berlubang perlu diletakkan di bahu atau dituding jari kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Di Malaysia, terdapat lapan jenis jalan dan ia diuruskan oleh 'pemilik' masing-masing iaitu:

i. Jalan Persekutuan
ii. Jalan Persekutuan Bertol
iii.  Jalan Negeri
iv. Jalan Felda/Felcra/Industri/Lembaga Kemajuan Wilayah
v.  Jalan Kampung
vi. Jalan Bandaran
vii.  Jalan Pertanian
viii. Jalan Pelancongan

Mengikut laman sesawang KKR, sehingga kini terdapat lebih 18,117.1 kilometer (km) Jalan Persekutuan di seluruh negara.

Bidang kuasa Jalan Persekutuan adalah di bawah KKR dan ia diselia serta diselenggarakan oleh JKR.

Jalan-jalan Persekutuan dikategorikan kepada empat iaitu Jalan Persekutuan Utama; Jalan Persekutuan Felda; Jalan Persekutuan ke institusi; serta Jalan Persekutuan ke kawasan industri.

Bagi Jalan Persekutuan Bertol, pihak yang bertanggungjawab untuk menyelia dan menyenggara adalah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Sementara itu, JKR Negeri bertanggungjawab terhadap Jalan Negeri dan Jalan Pelancongan; Jalan Kampung (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah); Jalan Bandaran (Pihak Berkuasa Tempatan); serta Jalan Pertanian (Jabatan Pengairan dan Saliran).


Tanggungjawab bersama dan Kempen MYJalan

Walaupun tanggungjawab menyelia dan menyelenggara jalan menjadi tugas pihak-pihak berkaitan, tetapi sebagai pengguna jalan raya kita tidak boleh 'lepas tangan'.

Peranan itu perlu digerakkan bersama untuk memastikan masalah di peringkat akar umbi dapat diangkat dan diselesaikan segera.

Salah satu inisiatif yang wajar diberikan sokongan ialah Kempen MYJalan di bawah KKR yang dicetuskan oleh Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Aplikasi MYJalan turut dilancarkan merangkumi sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya atau perabot jalan dapat dibaik pulih.

Paling menarik, semua jenis aduan jalan akan diterima walaupun ia bukan diselenggara oleh KKR, selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy’ atau dasar menyalur penambahbaikan khususnya ketika berlaku kecemasan.

.

Sehingga 16 Februari 2024, KKR menerima sebanyak 11,657 aduan antaranya melibatkan kerosakan jalan raya, lampu isyarat dan lampu jalan, papan tanda, perabot jalan, serta kemudahan awam melalui aplikasi MYJalan.

Daripada jumlah keseluruhan, hanya 25.80 peratus atau 3,008 aduan membabitkan jalan di bawah seliaan agensi KKR.

Manakala 74.20 peratus atau 8,649 aduan adalah milik agensi lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan lain-lain jabatan.

.

Setakat ini, sebanyak 1,862 aduan telah diselesaikan oleh agensi KKR dengan 1,753 atau 94.15 peratus selesai dalam tempoh satu hingga 30 hari.

Sementara, 1,146 aduan dalam proses tindakan.


Jom buat aduan!

Melalui Belanjawan 2024, KKR menerima RM9.511 bilion iaitu kenaikan 12.7 peratus berbanding RM8.439 bilion yang diterima pada 2023.

KKR memaklumkan sebanyak RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan Persekutuan.

Bagi menambahbaik aspek kejuruteraan, RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus.

Malah, sebanyak RM50 juta turut disediakan untuk merawat kawasan kemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan, yang dijangka membantu mengurai kesesakan laluan trafik.

.

Jadi dengan segala komitmen, inisiatif serta sumber yang ada termasuk daripada KKR, apa lagi alasan yang boleh menyekat kita untuk turut sama memainkan peranan dan memantau kemudahan jalan raya?

Mungkin dengan tindakan pantas dan aduan kita, ia mampu menyelamatkan nyawa orang lain!



* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.