"DON'T try to cause me trouble”. “I won’t speak to reporters on the street”.

Antara dua ungkapan seorang menteri veteran pusat kepada penulis semasa mendekatinya untuk mendapatkan bahan berita. Masih segar dalam ingatan.

Ungkapan pertama kerana beliau tidak gembira dengan penulisan saya, manakala yang kedua pula, tidak tahu apa sebabnya. Ia bukan kali pertama saya menemu bual beliau di lobi premis yang menempatkan kementeriannya.

Amat memeranjatkan apabila saya dan seorang rakan wartawan, yang kemudiannya menjadi setiausaha akhbar beliau, cuba mendekati beliau di lobi pejabatnya memandangkan pegawainya tidak gemar wartawan hadir pejabat beliau kecuali ada jemputan media. Ini cara wartawan mendekati sumber apabila pegawai-pegawai menteri mengawal bos mereka ditemui wartawan.

Pun begitu, menteri dimaksudkan itu menjadi menteri ‘kesayangan’ wartawan, dan akan mendapat maklumat untuk dijadikan bahan berita setiap kali menghadiri persidangan media. Wartawan akan kembali ke pejabat dengan bahan berita dan akan disiarkan, tidak kira sama ada muka depan atau muka dalam.

Mereka ‘newsmakers’. Wartawan akan membuat persiapan yang mendalam apabila mahu menghadapi ‘newsmaker’.

Ramai menteri ketika itu akan menjawab apa jua soalan dengan tenang apabila berhadapan dengan wartawan. Hari ini, ada kedengaran ahli-ahli politik yang berjawatan sebagai menteri dan sebagainya kurang mesra media. Ramai wartawan berkongsi keluhan apabila sumber mereka, terutama menteri mengambil pendirian tidak mesra media; enggan melayan warwatan. Perkara ini kedengaran sejak sedekad lalu.

Tugas wartawan bertanya soalan dan mereka perlu kesabaran dalam melaksanakan tugas mereka. Sebagai wartawan, ada kalanya terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan satu dua perkataan, ungkapan. Mantan Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, antara personaliti menarik, yang perlu disebut di sini, yang menjadi sumber penting dalam menghasilkan berita-berita eksklusif ketika krisis Perlembagaan pada awal 1990-an.

Menanti untuk menemu bual beliau di lobi Menara Bank Rakyat, Jalan Tangsi tidak dapat dilupakan. Mendekati personaliti-personaliti yang ‘malu-malu’ untuk ditemu ramah, sehingga akhirnya menjadi rakan sehingga ke hari ini satu lagi pengalaman membina.

Dalam senarai ini termasuklah Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, ketika itu Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kemudiannya menjadi pengerusi badan pengurusan pilihan raya; kebanyakan wartawan mengatakan sukar untuk mendekati beliau.

Formula membina hubungan baik adalah sesuatu yang penting dalam menghasilkan berita eksklusif. Hari ini segala panduan yang diberikan oleh membolehkan saya bersama bersama beliau menghasilkan sebuah buku khusus mengenai pilihan raya, iaitu “Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir”. Ab. Rashid juga merupakan mantan Pengerusi Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), yang turut anggotai selama dua tahun sehingga akhir tahun lalu.

Ahad lalu genap 30 tahun menyertai komuniti industri media dan kewartawanan secara formal. Tanggal 4 Julai 1991 hari pertama saya memulakan kerjaya sebagai wartawan; sebagai pemberita kadet Utusan Malaysia.

Melangkah ke alam baharu dengan semangat untuk menterjemahkan teori-teori yang disajikan kepada pelajar pengajian media di universiti. Setahun sebelum itu, mengikuti latihan amali di Bernama manakala di RTM Johor Bahru, Johor untuk memperoleh latihan penyiaran pada tahun 1989.

Kedua-dua latihan itu menyediakan telah memperkasakan pengalaman sebelum menjadi pemberita formal. Tahun 1991 menjadi titik awal untuk melihat dunia sebenar dalam menterjemahkan teori kebebasan media dalam erti kata sebenar. Jauh berbeza daripada teori yang diikuti di menara gading.

Teori dan realiti kebebasan media

Meski pun berbekalkan asas penulisan dengan terlibat dalam akhbar makmal Nadi Bangi terbitan Pusah Pengajian Media, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), teori kewartawanan dan amalan sebenar di pasaran kerja jauh berbeza.

Prinsip kewartawanan kekal sama, cuma aplikasi di dunia sebenar jauh berbeza. Kita dapat membezakan prinsip penilaian, penulisan dan pemakaian satu-satu berita. Pengalaman sebenar memberikan panduan dalam menentukan ‘kebebasan sebenar’ seorang wartawan. Dari sudut mana kita menulis dan menyampaikan maklumat kepada kumpulan sasaran.

Saya menceburi bidang kewartawanan ketika jabatan editorial mula melalui perubahan dari segi teknologi secara besar-besaran. Era penggunaan mesin taip mula pudar, dan digantikan oleh komputer peribadi. Ia merupakan peringkat awal sebelum berubah secara keseluruhan sebagaimana disaksikan pada hari ini.

Sejak itu dunia kewartawanan secara kolektif telah mengalami tiga fasa peringkat evolusi teknologi maklumat dan komunikasi.

Dalam tiga dekad ini, sistem analog berubah kepada digital secara sepenuhnya. Wartawan pada hari ini sudah tidak lagi berpeluang untuk melihat penggunaan kertas pendua atau ‘carbon paper’, ‘cow gum’, timah dan pelbagai istilah yang digunakan di editorial, pra-percetakan dan percetakan. Istilah-istilah prinsip penyuntingan pun sudah berubah.

Pada pagi hari pertama, sebagai tanggungjawab staf baru, mengadap Pengarang Berita ketika itu, Datuk Khalid Mohd, yang kemudiannya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.

Utusan, penutupan

Saya berkongsi idea untuk penulisan berita. Satu isu yang besar. Bagaimanapun, oleh kerana ia hari pertama dan saya seorang pemberita kadet, idea tugasan itu diberikan kepada wartawan kanan.

Ia muncul sebagai tajuk utama Utusan beberapa hari kemudian – fenomena calon menolak tawaran masuk universiti, antara lain disebabkan kesukaran mendapatkan kerja susulan kemelesetan ekonomi akhir 1980-an.

Pada hari pertama, saya ditugaskan memproses satu kenyataan media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Berita empat para yang dihasilkan muncul di Utusan Malaysia keesokan hari. Berita sulung. Seperi ramai wartawan muda, saya gembira dengan hasil awal itu, yang masih disimpan sehingga ke hari ini.

Dengan gaji RM500 sebulan bagi seorang pemberita kadet, dibayar setiap dua minggu sekali secara tunai. Tiada transaksi dalam talian. Tiada 'byline' selagi belum disahkan dalam jawatan. Pengesahan biasanya mengambil masa minimum tiga bulan. Itu dasar sumber manusia ketika itu.

Setiap bulan Kumpulan Utusan akan mengadakan perhimpunan bulan; lagu Negaraku akan dinyanyikan oleh pekerja-pekerja Utusan. Satu kelainan yang disaksikan ketika itu. Ini kerana lagu Negaraku hanya akan dinyanyikan di sekolah. Di luar sekolah suasana seperti jarang disaksikan, malah sehingga ke hari ini.

Nama penulis kali pertama diperoleh hasil satu laporan khas pada bulan Oktober 1991 – penulisan mengenai “amalan muhibah di tempat kerja”, idea Ketua Pengarang ketika itu, Tan Sri Zainuddin Maidin, yang mesra dikenali sebagai Zam.

Banyak pengalaman diperoleh sepanjang 16 tahun berkhidmat di Utusan, sebelum mengakhiri kerjaya di Utusan berehat sementara untuk menamatkan kajian doktor falsafah, seterusnya meneruskan kerjaya di Kumpulan Star, The Malaysian Insider (kini The Malaysian Insight), dan Kumpulan Media Karangkraf, sebelum berkhidmat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tenaga profesional pengurusan media dan komunikasi. Membantu menerbitkan  “Panduan Ejaan dan Haya Penulisan Utusan”, satu-satu buku seumpama itu Malaysia, saya pasti telah banyak membantu wartawan syarikat itu.

Kita masih ada persekitaran kewartawanan bebas, yang masih segar di negara meskipun tidak dapat lari daripada pelbagai cabaran, ujian dan krisis, sama ada yang dibayangi oleh kerangka perundangan, tekanan pihak-pihak tertentu atau tafsiran di pihak pengamal media itu sendiri.

Masa telah berlalu dengan pantas. Tiga puluh tahun sudah berlalu. Banyak pengalaman. Ramai kenalan sebagai sumber berita.

Sebagaimana telah disebutkan di awal tadi, ada ramai kenalan yang berkekalan sehingga ke hari ini, mereka berkongsi pengalaman dan cerita untuk melihat negara akan menuju ke arah lebih baik berbanding – hampir setiap sudut komuniti – sosial, poltik, pekerja, kesatuan sekerja, penggua dan pelbagai aspek yang lain. Kewartawanan mempunyai peranan penting dalam membawa perubahan yang diharapkan dalam setiap segi.

Seperti kata pepatah, pena itu lebih tajam daripada pedang. Hari ini, ramai wartawan tidak menggunakan pen lagi untuk menulis atau mengambil nota, malah ada yang pergi ke medan tugasan tanpa pen. Mereka lebih selesa menggunakan papan kunci untuk menaip karya mereka, malah ada yang menggunakan pelbagai gadget untuk merakamkan kenyataan sumber mereka.

Perubahan hari ini jauh berbeza. Hasil kajian pengajian doktor falsafah saya mengenai “impak perubahan teknologi ke atas kewartawanan di Malaysia”, satu dekad lalu, sedikit sebanyak melihat kualiti kewartawanan akibat ledakan teknologi di negara ini sejak akhbar pertama muncul lebih 200 tahun lalu. Mutu dan kredibiliti kewartawanan mengalami turun naik. Beberapa akhbar yang dikaji telah ditutup.

Utusan Malaysia berjaya kembali muncul di bawa pemilikan baharu selepas ‘berehat’ hampir setahun. Beberapa akhbar lagi yang dikaji mengalami penurunan edaran dan pembaca.

Kebebasan media di Malaysia terus menjadi perhatian, sehingga ke hari walaupun kita sudah melangkah ke tahun 2021. Dari segi kaca mata umum kebebasan bertambah baik disebabkan oleh kemajuan teknologi yang menyediakan medium untuk menyampaikan berita dan citarasa khalayak yang sudah berubah, tetapi undang-undang dan aplikasi peruntukan perundangan sedia ada masih dilihat menjadi kekangan kepada kenikmatan kebebasan media yang sebenar. Ini antara cabaran yang masih wujud.

Masa depan kewartawanan

Dua tahun lalu seorang pengamal media bertanya sama ada kewartawanan akan berkubur pada satu hari. Jawapan saya, “tidak”. Kewartawanan tidak akan berkubur. Apabila inovasi TV muncul ramai beranggapan peranan radio sebagai sumber berita akan hilang.

Selepas 100 tahun, radio masih menjadi sumber penting untuk maklumat. Cuma dalam pakej dan format yang berbeza. Begitu juga akhbar. Selagi manusia memerlukan maklumat, berita dan bahan bacaan demi kelangsungan hidup, ia akan kekal dalam ekosistem kehidupan kita.

Kewartawanan umpama vitamin dan makanan untuk manusia. Cuma cara penyampaian akan berubah. Wartawan tidak harus takut untuk menghadapi perubahan sebagaimana sesetengah penyunting dan editor takut untuk berhadapan dengan sistem ‘desktop komputer’ lebih tiga dekad lalu apabila sistem komputer mula menguasai bilik berita apabila ada yang ambil cuti sakit dan terpaksa makan panadol.

Hari ini pandemik COVID-19 turut telah memberi tekanan dan mempengaruhi dunia kewartawanan. Para wartawan terpaksa menggunakan pendekatan yang berbeza untuk mencari maklumat, menulis berita dan menyajikan bahan mereka. Tiada pilihan. Tetapi kewartawanan kekal sebagai kewartawanan.

Pemilik media dan pengamal media perlu kreatif untuk memastikan kelangsungan akhbar dan kewartawanan yang bebas. Kita tidak wajar menyalahkan orang ramai jika mereka tidak mahu membaca akhbar atau berita dengan mendalam, sedangkan bahan yang kita sampaikan gagal memenuhi citarasa pengguna di alaf baru.

Pelaburan dalam bidang kewartawanan perlu ada kelainan. Secara tidak langsung ia berbeza berbanding bisnes yang lain. Pihak industri perlu menyediakan pelan strategik untuk melahirkan pembaca jangka panjang. Ia menjadi lebih penting ketika dunia berhadapan dalam krisis kesihatan paling serius dalam satu abad, pandemik COVID-19.

Perubahan akan terus berlaku dan menguasai setiap bidang dan sektor. Wartawan dan kewartawanan tidak dapat lari daripada cabaran perubahan itu. Kita perlu menghadapi dengan tenang, bertenaga dan berani bagi membolehkan kewartawanan kekal sebagai sumber utama penyampaian berita yang berwibawa, bertanggungjawab dan bebas.

Di sebalik perubahan teknologi, ekonomi dan politik, akan ada pihak-pihak tertentu yang akan cuba mengawal, menguasai dan mengekang peranan kewartawanan.

Wartawan perlu memainkan peranan mereka demi memenuhi prinsip kewartawanan yang jitu dan sebenar mengikut Kod Etika Kewartawanan – sama ada yang digubal oleh Institut Akhbar Malaysia, dan juga badan profesional global. Ia penting untuk menjamin kelangsungan kebebasan media sepanjang masa, dan menyediakan bahan berita yang kredibel.

Krisis berterusan

Kewartawanan dan krisis menjadi sebahagian daripada warna-warni. Sementara kewartawanan berhadapan krisis kekangan dan pelbagai kewalan serta memastikan ia kekal berwibawa.

Perkembangan sepanjang satu dekad lalu menjadi satu tempoh yang penting dalam menjadi kredibiliti media dan akhbar. Usaha perlu dilibatgandakan untuk memastikan kewartawanan dan wartanan kekal menjadi kredibel. Kewartawanan arus perdana yang menjadi teras media sehingga awal alaf ini kini berubah dan dalam sesetengah konteks telah diambil aih oleh media-media baharu. Sehingga muncul kewartawanan rakyat. Sehingga muncul keperluan untuk mendefinisikan semula kod profesionalisme kewartawanan.

Selain pandemik sekarang, kewartawanan juga telah diuji ekoran kemunculan siri krisis dalam negara. Dalam tiga dekad lalu kita telah menyaksikan siri krisis politik hampir selang setiap dekad. Negara pernah mengharungi krisis perlembagaan. Had kebebasan wartawan dan kewartawanan juga telah diuji.

Tidak kurang juga krisis ekonomi. Tidak dapat dinafikan bahawa krisis-krisis ini menambah naik pendekatan penulisan, tetapi ada sesetengah krisis terutama politik, kewibawaan jangka panjang kewartawan teruji dan menjadi ukuran kepada kebolehlangsungan atau turun naik sesebuah media.

Negara masih berhadapan dengan krisis politik sehingga ke hari ini. Media arus perdana memainkan peranan yang lebih signifikan dalam memikat khalayak dengan menyediakan bahan-bahan yang lebih bertenaga, sekali gus meredakan pergelutan politik.

Krisis politik dalaman parti dan nasional juga telah menjadi penentu kelangsungan akhbar dan organisasi media. Beberapa kes yang disaksikan sejak 1990-an adalah bukti.

Umumnya, masa depan media dan akhbar ditentukan oleh gaya pengurusan, kualiti laporan, kesan perubahan teknologi, sentimen politik dan kerangka perundangan negara. Wartawan dan editor mempunyai peranan yang amat penting dalam mengambil pendekatan relevan yang tepat untuk mengharungi survival jangka panjang.

Saya yakin industri media dan kewartawanan di Malaysia akan lebih kukuh dan akan menjadi lebih kredibel.




* Dr G Manimaran kini merupakan pengamal media dan komunikasi.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.