BANJIR berskala besar telah dilihat menjadi acara tahunan di Malaysia, menjejaskan kehidupan beribu-ribu orang.

Salah satu banjir besar yang pernah dicatatkan ialah pada 2014, melibatkan 3,390 orang di Kelantan dan 4,209 di Terengganu.

Pada 03 Januari 2021, dianggarkan banjir di Johor dan Pahang menjejaskan lebih 7,070 orang.

Terbaharu, banjir yang melanda sebahagian Selangor dan Kuala Lumpur memberi implikasi besar kepada ekonomi dan kehidupan Keluarga Malaysia.

Hal ini kerana kedua-dua negeri ini adalah tunjang utama kepada ekonomi Malaysia selain pemusatan penduduk yang tinggi di kedua-dua negeri ini.

Buletin “The Labour” edisi Disember 2020 terbitan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), Perkeso yang lalu telah mengutarakan pandangan berkenaan pentingnya satu pendekatan baharu yang lebih mampan diperkenalkan bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat banjir terutamanya aspek pekerjaan.

Beberapa isi kandungan utama buletin tersebut dikongsi pada artikel ini.

Impak banjir kepada ekonomi dan pekerjaan

Banjir adalah salah satu bencana alam yang memberi impak kepada ekonomi.

Mengikut salah satu kajian, banjir di Terengganu dianggarkan mengurangkan potensi keluaran dalam negari kasar (KDNK) sebanyak 1.5%.

Banjir juga memberi kesan kepada kedudukan fiskal kerajaan apabila bantuan langsung kepada isi rumah yang terjejas dan pembaikan aset awam perlu dilaksanakan.

Negara memerlukan pendekatan berbeza dalam menangani bencana banjir bagi mengurangkan risiko ekonomi dan melindungi pekerjaan. 

Bilangan orang yang terjejas dan kerosakan akibat banjir menunjukkan ketidakmampuan kita dalam menangani kejadian sedemikian dan memberi isyarat jelas bahawa kita mesti mencari kaedah baharu yang lebih mampan untuk mengurangkan beban ekonomi mereka yang terjejas.

Data menunjukkan bahawa isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang tinggal di kawasan berpadatan tinggi dan luar bandar lebih terdedah kepada risiko banjir.

Jika sebahagian besar daripada golongan ini adalah terdiri daripada mereka yang bergantung kepada pekerjaan tak formal dan kurang perlindungan sosial, keadaan ini berkemungkinan menyebabkan mereka terperangkap dalam kitaran kemiskinan bencana alam.

Ayuh kita telusuri beberapa soalan penting bagaimana bencana banjir mempengaruhi pekerjaan.

1. Adakah pekerja mempunyai alasan yang sah untuk tidak hadir bekerja? Terdapat banyak sebab yang sah mengapa pekerja tidak boleh hadir untuk bekerja sekiranya berlaku banjir. Contohnya mereka mungkin sakit, terputus hubungan dari tempat kerja dan berpindah dari rumah mereka yang telah musnah akibat banjir.

2. Apakah yang berlaku jika pekerja boleh hadir bekerja tetapi tidak dapat melaksanakan tugas mereka? Dalam sesetengah keadaan, pekerja masih boleh hadir bekerja semasa banjir tetapi mereka tidak dapat menjalankan tugas kerana operasi perniagaan terjejas. Dalam keadaan ini, majikan boleh meminta pekerja mengambil cuti tambahan. Cuti bukan sukarela ini pada asasnya perlu diberi imbuhan tetapi mungkin tidak diamalkan atas beberapa sebab seperti sifat perniagaan yang tidak formal dan ketiadaan terma dalam kontrak pekerjaan.

3. Bolehkah majikan mengurangkan gaji jika pekerja tidak dapat hadir bekerja? Majikan berkemungkinan mengambil dua tindakan yang tidak disenangi iaitu memotong gaji atau tidak membayar gaji semasa tempoh ketidakhadiran bekerja akibat banjir. Pekerja kontrak dengan bayaran gaji harian berkemungkinan paling terjejas jika pendekatan ini diambil oleh majikan.

4. Apakah yang perlu dilakukan oleh majikan berikutan banjir? Bencana banjir menuntut keperluan majikan untuk melaksanakan tindakan yang mencukupi. Contohnya, mengambil insurans khusus bencana alam yang bersesuaian (jika ada di pasaran) bagi memastikan risiko banjir ke atas perniagaan dapat dikurangkan.

Menjadikan banjir kurang malapetaka kepada pekerja

Banjir menjejaskan pekerjaan dalam dua cara iaitu kesan langsung atau akibat serta merta dan kesan tidak langsung yang dikaitkan melalui tindak balas sektor-sektor ekonomi.

Persoalan kepada kita adalah adakah kita mempunyai program jaringan keselamatan yang mencukupi untuk mengurangkan beban pekerja akibat banjir?

Kita tahu bahawa terdapat beberapa skim insurans banjir atau insurans bencana yang terdapat di pasaran.

Walau bagaimanapun, skim insurans tersebut direka bentuk untuk menampung kos kerosakan bangunan dan isi kandungannya (seperti perabot) yang terkesan akibat banjir.

Oleh itu, skim berkenaan hanya menyediakan bantuan separa kepada isi rumah kerana ianya tidak menampung dan membantu kelangsungan hidup mereka dari perspektif pekerjaan.

Ringkasnya, insurans banjir yang sedia ada di pasaran tidak dapat menampung kerugian ekonomi dan pendapatan akibat bencana banjir.

Pada pandangan penulis, terdapat keperluan untuk mengadakan program intervensi aktif, mungkin dalam bentuk insurans pekerjaan, yang mampu mengimbangi pendapatan dan kehilangan pekerjaan akibat banjir.

Sistem Insurans Pekerjaan telah wujud di Malaysia dan diuruskan oleh Perkeso.

Terdapat tiga kelebihan utama jika Sistem Insurans Pekerjaan sedia ada diperkasa dengan mengambil kira faktor bencana alam seperti banjir.

Pertama, ianya dapat mengurangkan beban fiskal kerajaan dan menyediakan mekanisme bantuan yang lebih mampan.

Kedua, memperkukuh campur tangan dasar pasaran buruh yang aktif dengan mengambil kira bencana banjir dan dan seterusnya menjadikannya lebih inklusif.

Ketiga, pendekatan ini dijangka dapat meningkatkan kadar formaliti perniagaan dan pekerjaan bagi tujuan pemantauan.

Sebagai pusat penyelidikan yang proaktif, EU-ERA sedang menjalankan tinjauan bagi mendapatkan maklumat berkenaan kedudukan jaringan keselamatan sosial serta kos kerosakan dan kehilangan harta benda mangsa banjir di Malaysia.

Hasil tinjauan ini kelak dapat memberi cadangan penambahbaikan dan mekanisma bersesuaian yang lebih mampan bagi melindungi ekonomi dan pekerjaan mangsa banjir.



* Prof. Madya Mohd Yusof Saari ialah Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA).

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.