MALAYSIA
[KOLUMNIS] Meneroka DSKP: Membimbing pelajar menyingkap makna, bukan sekadar menghafal
![[KOLUMNIS] Meneroka DSKP: Membimbing pelajar menyingkap makna, bukan sekadar menghafal [KOLUMNIS] Meneroka DSKP: Membimbing pelajar menyingkap makna, bukan sekadar menghafal](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2019-05/81557980318_Guru.jpg)
Pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan dapat membina sahsiah murid, mengurangkan gejala sosial seperti buli, serta menjadikan sekolah tempat membina jati diri dan harga diri. -Gambar hiasan/Bernama
“JANGAN sekadar menamatkan sukatan pelajaran. Bimbinglah murid untuk menyingkap maknanya.”
Ringkasan AI
- Prof Abd Karim Alias menekankan bahawa pendidikan bukan sekadar menamatkan sukatan pelajaran, tetapi membimbing murid memahami makna di sebaliknya.
- Pendekatan berasaskan konsep membantu murid mengaitkan ilmu dengan kehidupan sebenar, meningkatkan kefahaman dan kesediaan menghadapi peperiksaan.
- Pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan dapat membina sahsiah murid, mengurangkan gejala sosial seperti buli, serta menjadikan sekolah tempat membina jati diri dan harga diri.
Dalam realiti bilik darjah, guru sering dikejar masa. Selesai satu topik, topik lain segera menanti. Pada kertas, sukatan kelihatan lengkap, tetapi dalam jiwa murid, kefahaman masih goyah.
Pendidikan akhirnya menjadi ritual menamatkan halaman, bukan perjalanan mencari makna. Sudah tiba masanya kita beralih daripada menghabiskan sukatan kepada “membongkar” isi dan hikmahnya.

Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang menjadi tunjang pendidikan kita bukanlah naskhah yang kaku.
Di balik tajuk-tajuknya tersimpan konsep besar yang mampu menghubungkan pelbagai topik, andai guru mahu menyingkapnya.
Dalam Sains, misalnya, konsep perubahan jirim menyatukan penyejatan, pemeluwapan, dan hujan. Murid tidak lagi melihatnya sebagai istilah di buku, tetapi menemukannya pada wap nasi di dapur, embun pagi di cermin, atau lopak hujan selepas ribut petang.
Mereka belajar bertanya bukan sekadar “apa”, tetapi juga “mengapa” dan “bagaimana”.
Dalam Sejarah, kisah penjajahan, penentangan, dan kebangkitan bangsa dapat dipayungkan melalui konsep kuasa dan daya melawan.
Murid membandingkan strategi, memahami motif, dan merenung peranan mereka dalam menegakkan kebenaran.

Dalam Matematik pula, persamaan, corak, dan algebra tidak lagi abstrak apabila dipautkan kepada pengalaman harian.
Bayangkan seorang murid membantu ibunya berniaga di pasar malam. Sebakul mangga berharga RM20 untuk 10 biji.
Dari situ mereka belajar mengira harga sebiji, menentukan jumlah bayaran untuk 7 biji, atau menilai kesan diskaun 20%.
Matematik menjadi bahasa logik yang membimbing keputusan dalam urusan jual beli, bukan lagi sekadar simbol di papan putih.
Begitu juga dalam Pendidikan Islam, konsep tanggungjawab dapat dijelaskan melalui amanah ketika berjual beli.
Seorang peniaga yang tidak menipu timbangan, seorang pembeli yang membayar dengan wang halal—semuanya mengajar bahawa nilai tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan.
Dalam Bahasa Melayu pula, sastera, penulisan, dan pertuturan dapat dikaitkan dengan jati diri.
Murid belajar bahawa bahasa yang mereka gunakan, sama ada ketika menulis ulasan di platform jual beli dalam talian atau berinteraksi di media sosial, mencerminkan siapa mereka.
Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi cermin identiti dan budi.

Ada yang bimbang, pendekatan berasaskan konsep mungkin menjejaskan persediaan murid menghadapi peperiksaan. Namun, murid yang memahami konsep lebih bersedia dan yakin.
Mereka tidak sekadar menghafal jawapan, tetapi mampu menalar, menganalisis, dan menyesuaikan jawapan dengan soalan yang tidak dijangka.
Kefahaman yang mendalam itulah yang menjadi kekuatan sebenar ketika mereka diuji.
Memang benar, perubahan ini menuntut keberanian, kreativiti, dan kolaborasi daripada guru. Guru perlu berani melangkaui garis lurus buku teks, berganding bahu merancang bersama, serta yakin dengan kepakaran sendiri.
Namun, hasilnya berbaloi: kelas yang hidup dengan rasa ingin tahu, murid yang tekun merenung, dan pengalaman pembelajaran yang meninggalkan bekas dalam ingatan.
Lebih daripada itu, pembelajaran berasaskan konsep menjadikan sekolah tempat yang menyeronokkan. Apabila murid merasakan ilmu itu dekat dengan kehidupan, mereka hadir ke sekolah dengan semangat, bukan paksaan.

Budaya positif ini mampu mengekang gejala sosial termasuk isu buli. Murid yang terlibat aktif dalam meneroka ilmu, berdiskusi, dan berkreativiti akan kurang terdorong untuk mencari hiburan dalam menyakiti rakan lain.
Sekolah menjadi medan mereka membina sahsiah dan harga diri, bukan gelanggang menindas yang lemah.
Pendidikan negara kita mengimpikan lahirnya murid yang berfikir, beretika, dan resilien. Sukatan sudah menyediakan jalannya, dan guru ialah pemegang amanahnya.
Sudah tiba masanya kita tidak lagi terikat dengan budaya ‘cukup syarat’, sebaliknya melampaui kerja rutin yang hambar, lalu kembali kepada roh pendidikan yang sejati: membina manusia.
Apabila murid meneroka sukatan, mereka sebenarnya sedang membongkar potensi diri untuk belajar hari ini, esok, dan sepanjang hayat.
Dan apabila sekolah dipenuhi murid yang seronok belajar, di situlah hilang ruang untuk buli, kerana setiap jiwa sudah sibuk mencari makna.
Dr Satirah Ahmad ialah Pensyarah Cemerlang Gred Khas C di IPG Kampus Sultan Abdul Halim, aktif mempromosikan pembelajaran mendalam melalui pendekatan berasaskan konsep.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami