[KOLUMNIS] Menilai semula arah fiskal Malaysia
![[KOLUMNIS] Menilai semula arah fiskal Malaysia [KOLUMNIS] Menilai semula arah fiskal Malaysia](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/51762407262_belanjawanmal.jpg)
Penulis, Muhammad Iman Khidir (gambar) berpendapat, dalam era ketidaktentuan global dan persaingan serantau yang sengit, Malaysia memerlukan dasar fiskal yang bukan sahaja berdisiplin, tetapi juga berwawasan. - Gambar hiasan
BELANJAWAN 2026 yang dibentangkan baru-baru ini mencerminkan dasar fiskal yang berhati-hati, namun pada masa sama menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju sebenar ekonomi negara. Di sebalik retorik memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional (national rejuvenation) yang menyeluruh, belanjawan kali ini memperlihatkan ruang fiskal yang semakin menyempit.
Ringkasan AI
- Belanjawan 2026 mencerminkan dasar fiskal berhati-hati, tetapi menimbulkan persoalan tentang hala tuju ekonomi negara dengan ruang fiskal yang semakin sempit.
- Penurunan perbelanjaan pembangunan negara boleh menjejaskan pertumbuhan jangka panjang dan keterjaminan makanan negara yang kini kurang diberi keutamaan.
- Konsolidasi fiskal tanpa strategi pertumbuhan yang jelas mungkin mengakibatkan stagnasi ekonomi, merendahkan hasil negara, dan menjejaskan peranan entiti pelaburan kerajaan.
Bank Dunia turut mengingatkan bahawa penurunan nisbah perbelanjaan pembangunan daripada purata 4.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 3.3 peratus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) boleh menjejaskan pertumbuhan jangka panjang. Malaysia kini berdepan risiko menjadi ekonomi yang sekadar bertahan hidup tanpa pelaburan baharu yang mampu merangsang nilai tambah dan produktiviti masa depan.
Lebih membimbangkan, perbelanjaan pembangunan untuk sektor pertanian - tunjang kepada keterjaminan makanan negara - telah menjunam lebih 80 peratus, meninggalkan bahagiannya kepada kurang daripada satu peratus daripada keseluruhan bajet pembangunan.
Dalam erti kata lain, keterjaminan makanan bukan lagi keutamaan fiskal, meskipun Malaysia terus mengimport makanan bernilai RM78.7 bilion setahun. Ketika negara lain memperkukuh rantaian bekalan domestik pasca-pandemik, Malaysia pula memilih untuk mengetatkan tali pinggang pada sektor paling asas kepada kelangsungan rakyat.
Di sebalik penjimatan subsidi sebanyak RM8 bilion hasil penyasaran semula, perbelanjaan kerajaan bagi bayaran khidmat hutang terus meningkat, mencecah RM58.3 bilion - hampir 17.2 peratus daripada perbelanjaan mengurus (RM338.2 bilion). Ini bukan sekadar angka teknikal; ia menandakan bahawa bagi setiap RM1 pertambahan perbelanjaan, sebanyak 67 sen hasil kerajaan digunakan hanya untuk membayar faedah pinjaman, bukan untuk membangunkan negara. Lebih ironi, langkah penjimatan fiskal yang sepatutnya memperkukuh daya tahan jangka panjang nampaknya digunakan semata-mata untuk menampung beban hutang lama.
Dari segi hasil pula, kerajaan berdepan masalah struktural yang berpanjangan. Nisbah hasil kepada KDNK dijangka menurun kepada 16.1 peratus pada 2026, berbanding 17.5 peratus pada 2019. Walaupun peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan, ia masih gagal menampung kejatuhan hasil daripada sumber lain, termasuk penurunan Cukai Pendapatan Syarikat (−8.9 peratus) dan Cukai Pendapatan Petroleum (−18.5 peratus). Ini menunjukkan bahawa sistem hasil negara tidak berkembang seiring pertumbuhan ekonomi sebenar - satu kegagalan asas dalam tadbir urus fiskal.
Persoalannya, adakah Malaysia sedang mengorbankan masa depan ekonomi demi mengejar angka defisit yang kelihatan lebih baik di atas kertas? Konsolidasi fiskal yang berlebihan tanpa strategi pertumbuhan akan menghasilkan kitaran stagnasi - defisit mungkin menurun, tetapi ekonomi kehilangan momentum.
Ini bukan kali pertama Malaysia berdepan dilema sebegini; namun kali ini, ruang manuver semakin sempit. Hutang negara kini mencecah RM1.3 trilion, sementara kos pinjaman terus meningkat.
Lebih membimbangkan ialah peranan entiti pelaburan kerajaan seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang semakin kabur. Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memasukkan pelaburan GLIC sebanyak RM30 bilion dan pelaburan awam-swasta RM10 bilion sebagai sebahagian daripada komponen perbelanjaan keseluruhan.
Langkah ini, walaupun bertujuan menunjukkan “keupayaan fiskal yang lebih besar”, sebenarnya mengaburkan sempadan antara dasar awam dan pelaburan komersial. GLC dan GLIC yang sepatutnya bebas serta berorientasikan keuntungan kini berisiko menjadi “alat fiskal” kerajaan - satu perkembangan yang berbahaya bagi akauntabiliti dan ketelusan jangka panjang.
Belanjawan 2026 juga memperlihatkan struktur fiskal yang semakin tidak seimbang. Sementara emolumen penjawat awam meningkat hampir RM13.5 bilion dalam dua tahun, pelaburan dalam sektor produktif seperti perindustrian, perdagangan, dan inovasi hanya sekitar 3 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan - jauh ketinggalan berbanding Singapura (20 peratus). Ini menimbulkan persoalan keutamaan - adakah kerajaan lebih cenderung membayar gaji berbanding melabur untuk masa depan negara?
Dalam jangka pendek, disiplin fiskal memang penting untuk mengawal defisit dan mengekang risiko pasaran. Namun dalam jangka panjang, dasar fiskal seharusnya bersifat produktif, bukan defensif. Setiap ringgit yang dijimatkan perlu diterjemahkan kepada pelaburan strategik yang membawa pulangan ekonomi, bukannya digunakan semata-mata bagi menampung bayaran hutang.
Malaysia tidak boleh mengurus ekonomi seperti mengurus rumah tangga - menabung tanpa membina sumber pendapatan baharu.
Kekangan fiskal juga menuntut keberanian politik untuk memperluas asas cukai secara adil, bukan sekadar menambah beban pada kelompok pertengahan. Cukai keuntungan modal dan reformasi subsidi korporat, misalnya, boleh menjadi sumber hasil baharu tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat. Begitu juga, reformasi kecekapan perbelanjaan dengan menilai semula program bertindih serta mengurangkan ketirisan harus menjadi keutamaan sebenar.
Kesimpulannya, Belanjawan 2026 boleh disifatkan sebagai belanjawan tanpa arah yang jelas dalam aspek pertumbuhan. Ia berhati-hati tetapi terlalu berhati-hati hingga kehilangan keberanian untuk berinovasi.
Dalam era ketidaktentuan global dan persaingan serantau yang sengit, Malaysia memerlukan dasar fiskal yang bukan sahaja berdisiplin, tetapi juga berwawasan; dasar yang bukan sekadar menjaga imbangan akaun, tetapi juga menyalakan semula enjin pertumbuhan. Jika tidak, negara akan terus terperangkap dalam kitaran defisit rendah tetapi ekonomi perlahan - sebuah kejayaan yang hanya wujud di atas kertas.
* Penulis ialah Penganalisis Penyelidikan (Ekonomi), Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


