WALAU sepopular mana sesebuah kumpulan nasyid di Malaysia, peluang untuk mereka mendapat perhatian di luar negara masih dilihat sangat sukar.

Begitu juga nasib penganjuran konsert nasyid yang kadang kadang mendapat sambutan dan kadang kadang ibarat dipulau oleh masyarakat dan pengikut mereka sendiri.

Apa sebenarnya punca dan permasalahan yang timbul yang menyebabkan genre yang mempromosikan nilai positif dan keagamaan ini dipandang enteng.

“Kami sebagai NGO yang memperjuangkan nasib ahli kumpulan nasyid di Malaysia sering tertanya tanya dan hampir buntu untuk mencari solusi terhadap polimik ini”

“Pelbagai inisiatif telah diwujudkan termasuk forum, bengkel dan jelajah bagi memastikan senario Nasyid di Malaysia berada setanding dengan genre muzik lain,” luah Wan Syahrul Amry bin Wan Mansor, Pengarah Komunikasi Strategik, Munsyid Malaysia (Pertubuhan Majlis Usahawan Nasyid Malaysia).

Seperti Rock, Rap, Dangdut dan Hip Hop, Nasyid juga tergolong dalam genre popular dalam industri muzik di Malaysia. Namun begitu, genre ini sering dipandang sepi dan kurang mendapat liputan komersial.

Nasyid dilihat seperti tidak berkembang kerana hanya mampu mengagungkan nama nama besar lama yang kini hanya boleh digelar lagenda seperti Raihan, Hijjaz, Rabbani dan Brothers.

Adakah stereotaip nasyid yang syadid itu membuatkan genre ini tidak akan berani disuntik elemen kreatif dan mengongkong fungsi sebenar sebagai medium penyampai mesej positif, dakwah dan pengisian bermanfaat.

Cubaan kumpulan seperti UNIC, Inteam, Mestica Daqmie dan Rabithah melakukan pembaharuan dalam persembahan, karya dan promosi masih belum dapat mencuri perhatian masyarakat untuk menjadi hiburan utama.

Nasyid terus dikaitkan sebagai medium dakwah yang syadid dan berat sehingga terpinggir untuk dijadikan pilihan utama dalam kehidupan.

Penggiat nasyid Malaysia masih terkial kial mencari formula untuk berjaya seperti Maher Zain, Humood Al Khudder atau Mesut Kurtis.
Adakah imej yang harus dirombak atau naskah yang masih belum mencapai kualiti yang diidamkan.

Sokongan dari platform penyiaran seperti Astro Oasis melalui penerbitan rancangan seperti Gema Gegar Vaganza dan juga Radio ZAYAN yang mempromosikan tagline Destinasi Nasyid Anda sebenarnya sudah bertindak sebagai pencetus untuk genre nasyid dapat dirai dengan lebih meluas dan meriah.

“Bagi saya Nasyid Malaysia bukan tak kemana, ianya hanya masih belum dieksperimentasikan secara maksima,” ujar Wan Syahrul Amry.

Terkini Munsyid Malaysia baru selesai pelantikan Jawatankuasa untuk sesi 2022/2024 dan dalam rangka perancangan untuk gerak kerja memastikan genre Nasyid Malaysia lebih diterima meluas dalam dan luar negara.


** Wan Syahrul Amry Wan Mansor merupakan Pengarah Komunikasi Strategik, Munsyid Malaysia (Pertubuhan Majlis Usahawan Nasyid Malaysia)

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.