PADA tanggal 20 November tahun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekitar pukul 4 pagi.
Buat julung kali badan pengurusan pilihan raya membuat pengumuman rasmi keputusan pada awal pagi keesokan hari.
Rakyat menanti sehingga awal pagi keesokan hari bagi mendapatkan keputusan rasmi pengundian yang berlangsung pada 19 November.
Di sebalik pengumuman rasmi itu, sebagaimana telah diramalkan oleh banyak kajian dan pemerhatian, tiada parti atau gabungan yang berjaya memperoleh kemenangan mutlak yang diperlukan untuk membentuk kerajaan. Keadaan itu membawa Parlimen tergantung.
Kedua-dua keadaan itu merupakan antara lebih daripada satu dozen keunikan PRU15 yang berlangsung di sebalik pelbagai ketidaktentuan.
PRU15 diletakkan harapan yang tinggi bahawa akan membawa kestabilan yang dihasratkan susulan pasca-PRU14 yang jelas menunjukkan negara berhadapan dengan satu tempoh politik yang tidak stabil.
Sebuah kerajaan tumbang selepas 22 bulan memerintah selepas menumbangkan Barisan Nasional (dikenali sebagai Parti Perikatan sehingga 1973), dan disusuli dengan dua lagi kerajaan berubah tangan - kesemuanya tiga Perdana Menteri saling berganti dalam tempoh empat tahun sebelum kita diberikan Perdana Menteri ke-10 - Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 November - hampir satu minggu selepas PRU15.
PRU15 yang berlangsung pada 19 November merupakan pilihan raya fasa kedua.
Fasa pertama lebih bertumpu kepada pilihan raya negeri (PRN) mengejut Melaka (November 2021) dan Johor (Mac 2022).
PRU15 pada 19 November melibatkan pengundian peringkat Parlimen dan hanya tiga negeri, iaitu Perlis, Perak dan Pahang.
Enam negeri yang lain - Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang diperintah oleh PAS (salah satu komponen Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya serentak meskipun diharapkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri ketika itu.
Enam negeri terbabit mengadakan PRN serentak pada Ogos lalu, sekali gus menjadi PRU15 fasa ketiga.
Tempoh satu tahun pertama pasca-PRU15 menyaksikan negara terus berhadapan dengan ujian dan cabaran yang besar dalam mengecapi kestabilan yang berkekalan dan misi Kerajaan Perpaduan dalam memenuhi harapan rakyat dan para pengundi.
Pada pandangan saya, Perdana Menteri semasa merupakan Perdana Menteri pertama yang berhadapan dengan cabaran yang begitu besar sepanjang tahun pertama sejak dilantik sebagai Perdana Menteri dan membentuk kerajaan, mencabar disebabkan pelbagai perkembangan dalam negara dan peringkat global.
Tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar telah memperkenalkan sejumlah dasar, program dan inisiatif bagi meningkatkan taraf sosiekonomi rakyat, antaranya lebih 100 insentif dalam Belanjawan 2024 dan penambahbaikan Rancangan Malaysia Ke-12 serta pengumuman beberapa pembaharuan institusi, tetapi rakyat terus meletakkan harapan yang sangat tinggi.
Ketika negara menghampiri 365 hari pasca-PRU15 19 November, satu persoalan yang bermain di minda dalam kalangan kebanyakan rakyat ialah sama ada undi yang diberikan tempoh hari telah membawa manfaat dan hasil yang diharapkan.
Harapan rakyat dalam pelbagai sudut masih tinggi. Dalam kesemua segi - politik, ekonomi dan sosial.
Berbanding tempoh pasca-PRU masa-masa lalu, keputusan PRU tidak membawa kepada kepuasan tinggi dalam kalangan rakyat.
PRU15 telah dilangsungkan di sebalik harapan yang tinggi banyak pihak bahawa pilihan raya kali akan membawa kepada kestabilan berkekalan yang diharapkan susulan kemelut politik demi kemelut politik dan kekerapan perubahan kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri sepanjang tempoh pasca-PRU14.
Sebagaimana kita sedia maklum, Malaysia buat pertama kali telah dikurniakan tiga orang Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun menjelang PRU15, dan begitu juga ada negeri yang memiliki tiga orang Menteri Besar,iaitu Johor manakala Kedah, Perak dan Melaka turut menyaksikan perubahan pucuk kepimpinan sebanyak dua kali – menerima tempias Langkah Sheraton, sehingga membawa kepada teguran Sultan Perak yang memberi peringatan bahawa kekerapan menukar ketua kerajaan bukan sesuatu yang perlu dibanggakan.
Sebaliknya, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan bahawa perkembangan itu merupakan “cerminan kepada kegagalan sebuah pentadbiran”.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama Parlimen ke-15, pada 13 Februari lalu, menzahirkan harapan baginda agar pentadbiran Anwar selaku Perdana Menteri adalah yang terakhir sebelum baginda menamatkan tugas dan kembali ke Pahang pada 30 Januari ini.
Baginda menyifatkan peristiwa dan pengalaman yang berlaku sepanjang baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong sebagai bersejarah dan sukar untuk dilupakan.
Pandangan itu dizahirkan berikutan baginda menjadi satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri – Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri dan Anwar, serta empat jemaah menteri yang berlainan susulan kemelut politik berpanjangan sejak Februari 2020.
Menjelang PRU15 19 November, tiga negeri telah mengadakan PRN mengejut iaitu Sabah, Melaka dan Johor.
Selain perubahan kerajaan Pusat dan beberapa negeri, banyak peristiwa yang tidak dijangkakan dan di luar kawalan juga berlaku, sekali gus mencetuskan satu situasi apa yang pernah direkodkan di negara-negara demokrasi lain, juga berlaku dan disaksikan di Malaysia.
Keadaan itu sekali gus membawa kepada tanggapan sama ada ekosistem berpolitik menjadi semakin kompleks atau Malaysia berhadapan dengan krisis kepimpinan.
Polemik bahawa parti-parti politik mengambil pendekatan ke belakang dengan menyemai prinsip dan budaya berpolitik yang bertentangan nilai tatasusila Malaysia.
Pendekatan berkempen yang digunakan sejak awal pasca-PRU14 dan ketika tempoh berkempen PRU15 juga mencerminkan sentimen perkauman semakin menebal.
Persoalan sama ada Malaysia menuju ke arah sistem politik yang lebih matang memandangkan keputusan setiap PRU, bermula dari 2008 hingga 2018, telah memberikan satu anjakan baharu dalam landskap pilihan raya dan pentadbiran selepas itu, sama ada rakyat Malaysia terutama para pengundi semakin matang dalam membuat keputusan di peti undi.
Sebenarnya kitaran ini telah bermula semasa PRU 1990 dan sekali lagi disaksikan sembilan tahun kemudian ketika PRU 1999, dan seterusnya pada tahun 2008 apabila lima negeri jatuh ke tangan gabungan pembangkang tidak formal iaitu Pakatan Rakyat (PR), yang dibentuk oleh DAP, PAS dan PKR.
Keberanian dan kematangan pengundi untuk mengambil keputusan lebih berani telah disaksikan pada tahun 2018 apabila Barisan Nasional (BN) disingkirkan daripada “mahkota pentadbiran” kerajaan Pusat.
Sehingga pertengahan 1990-an wujud persoalan sama ada rakyat akan membuat keputusan berani yang pernah dialami di Thailand, Indonesia, India dan Jepun, apatah lagi di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
Perkembangan di Malaysia juga menjadi bahan kajian di negara-negara jiran rantau Asia Tenggara termasuk di Singapura, yang keluar dari Malaysia selepas dua tahun menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.
Pendek kata, sistem politik dan pilihan raya menuju arah aliran yang lebih matang selepas PRU yang pertama pada tahun 1959, dua tahun selepas negara merdeka. Ini satu kemajuan yang wajar dibanggakan.
Kematangan berfikir, membuat analisis, membuat keputusan di peti undi dan berani membuat keputusan semakin mantap, yang harus dianggap sebagai baik untuk negara.
Kesetiaan kepada satu-satu parti tidak boleh kekal memandangkan cita rasa pengundi dan masyarakat pada amnya terus berubah dan akan jauh berubah selepas ini.
Pada masa yang sama, PRU15 telah diletakkan harapan yang tinggi agar akan membuahkan kestabilan politik untuk menikmati manfaat dan kelebihan pelbagai perspektif – keyakinan ke atas sosioekonomi negara, pertumbuhan dan kemakmuran, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.
Keputusan PRU15 19 November tidak membawa Malaysia ke arah kestabilan yang bulat dan kukuh.
Disebabkan situasi Parlimen dan DUN tergantung (di Perak dan Pahang), kerajaan perpaduan terpaksa dibentuk. Perkembangan di peringkat pusat turut dicerminkan di kedua-dua negeri Perak dan Pahang.
Impak peringkat Pusat sudah mula dilihat di beberapa negeri yang telah mengadakan PRN sebelum PRU15 dan juga di negeri-negeri yang mengadakan PRN pada tahun 2023. Beberapa kerajaan negeri turut mengambil langkah ke arah itu.
Pilihan raya, sama ada peringkat nasional mahupun negeri, seharusnya membawa kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan lebih baik untuk rakyat dan negara.
Pada realitinya ia tidak menjadi. Ia tidak dirasai sepenuhnya dan tidak dapati dinikmati langsung oleh rakyat jelata.
Politiking keterlaluan masih berterusan. Kuasa politik menjadi keutamaan aktor-aktor politik. Kepentingan rakyat yang mengundi tidak menjadi keutamaan. Rakyat kekal dihimpit pelbagai ujian dan cabaran. Ini termasuklah kos sara hidup yang terus mengalami peningkatan, walaupun kita bertenang dengan alasan ia di luar kawalan negara.
Tindak-tanduk menggugat keharmonian kaum dan agama lebih mendapat tempat berbanding usaha meningkatkan uniti dan perpaduan rakyat.
Sedang negara menghampiri genap satu tahun pasca-PRU15, banyak persoalan memerlukan jawapan jelas mengenai hala tuju negara dan usaha memperkasakan pelbagai sudut kehidupan rakyat di semua fasa termasuk di peringkat negeri.
Pilihan raya di semua peringkat telah selesai. Setiap negeri dan Pusat sudah ada mandat rakyat yang inginkan pembaharuan dan penambahbaikan berterusan.
Diharap kerajaan Pusat akan dan wajar memperkenalkan lebih banyak tindakan mudah dilaksana bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan meringankan bebanan yang dilalui rakyat pada hari ini. Pendekatan berpolitik parti-parti politik perlu berubah.
Perlu lebih bersifat membina, progresif dan profesional demi kepentingan pengundi dan rakyat jelata.
Jangan sampai manafaat pilihan raya yang diharapkan tidak dirasai. Para pengundi pula kekal kecewa selama-lamanya.
Tempoh enam bulan akan datang akan menjadi lebih mencabar bagi negara dan kerajaan. Pendekatan meningkatkan kesejahteraan rakyat perlu diutamakan.
Saya percaya aspek itu akan diberi keutamaan menerusi pelbagai kementerian. Juga, saya yakin Kerajaan Perpaduan akan menggunakan strategi dan pendekatan yang lebih konstruktif dalam mengemudi pentadbiran negara, sekali gus memenuhi keperluan rakyat menjelang PRU16.
KRONOLOGI PASCA-PILIHAN RAYA UMUM KE-15 (PRU15)
• 19 Nov 2022: Hari pengundian PRU15 - kerusi Parlimen dan DUN tiga negeri.
• 24 Nov 2022: Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan.
• 16 Dis 2022: Empat gabungan politik memeterai perjanjian bersama PH bagi memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan. Gabungan itu diwakili oleh pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal; Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor manakala PH diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.
• 19 Dis 2022: Sidang khas Parlimen diadakan susulan PRU15.
• 10 Dis 2022: Hajiji mengumumkan kesemua pimpinan tinggi Bersatu Sabah keluar parti, termasuk empat Ahli Parlimennya iaitu Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).
• 10 Feb 2023: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama 12 pemimpin lain mengumumkan keluar Pejuang selepas parti yang ditubuhkan bersama anaknya itu mengambil keputusan bertindak keluar dari Gerakan Tanah Air (GTA).
• 13 Feb 2023: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh Ahli Parlimen kerana menjadikan saranan Seri Paduka mewujudkan Kerajaan Perpaduan sebagai hala tuju bagi menjamin kestabilan politik dalam negara.
• 19 Mac 2023: Dr Mahathir mengumumkan kandungan 12 item Proklamasi Orang Melayu di Kuala Lumpur.
• 6 Mei 2023: Anwar mencabar pemimpin Perikatan Nasional (PN) membawa usul di parlimen bagi membuktikan dakwaan bahawa kerajaan pusat goyah dan bakal tumbang.
• 21 Julai 2023: Dr Mahathir membuat kemunculan pertama di pentas Perikatan Nasional (PN) di Kota Bharu, Kelantan, sekali gus memecahkan tradisi permusuhan politik antara beliau dan Pas. Bekas Perdana Menteri itu menyeru pengundi agar memberi kemenangan kepada gabungan itu dalam PRN di enam negeri 12 Ogos.
• 12 Ogos 2023: PRN melibatkan enam negeri berlangsung. Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal di tangan PN manakala Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dipertahankan oleh PH. Buat julung kali, PH dan BN berganding menghadapi PRN susulan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
• 15 Ogos 2023: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Pengerusi PN dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
• 4 Sept 2023: Selepas 77 hari dibicarakan, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
• 6 Sept 2023: Polis Diraja Malaysia mengumumkan menjalankan siasatan berhubung isu "fatwa" politik yang didakwa dikeluarkan oleh Muhyiddin ketika berkempen pada PRK kerusi Pulai, Johor.
• 10 Sept 2023: MUDA mengumumkan keluar kerajaan pimpinan PH sebagai tanda protes terhadap tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah.
• 14 Nov 2023: Empat Ahli Parlimen Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) menyatakan sokongan ke atas kepimpinan Anwar.
* Dr G Manimaran ialah penganalisis pilihan raya serta penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.
** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
G Manimaran
Mon Nov 20 2023
Gambar fail menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022 di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Meta sumbang AS$1 juta untuk majlis angkat sumpah Donald Trump
Derma ini merupakan langkah terkini oleh CEO Meta, Mark Zuckerberg yang menunjukkan hasratnya untuk bekerjasama dengan Trump.
Francois Bayrou dilantik PM baharu Perancis
Presiden Emmanuel Macron lantik sekutunya dalam usaha untuk meredakan krisis politik yang semakin melemahkan pengaruhnya.
KL City nafi bekalan selesa JDT
JDT akan meneruskan saingan aksi kedua suku akhir dengan bertemu KL City pada 21 Dis ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Skuasy Berpasukan Dunia 2024: Malaysia raih gangsa
Skuad wanita kebangsaan membawa pulang pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada Amerika Syarikat pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia 2024 di Hong Kong, malam tadi.
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus pada November 2024 - MAA
Jualan kenderaan baharu Malaysia turun lapan peratus tahun ke tahun kepada 67,523 unit pada November 2024, susut daripada 73,262 unit pada bulan yang sama tahun lepas.
Prospek sektor korporat neutral pada 2025 - Fitch Ratings
Fitch Ratings berpandangan neutral terhadap sektor korporat Asia Pasifik (APAC) pada 2025.
MCMC peruntuk RM13.7 juta baik pulih WiFi di UM, USIM, UniMAP - Fahmi
MCMC peruntuk RM13.7 juta bagi tingkatkan akses internet di tiga universiti awam Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
IPT di negara ini sedia kuasa AI sepenuhnya
Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sudah bersedia menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya.
Sembilan siri latihan polis bantuan dirancang tahun depan
Sebanyak sembilan siri latihan polis bantuan dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara tahun hadapan berikutan permintaan yang semakin meningkat.
Pesaka sasar tujuh pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024
Pesaka meletakkan sasaran tujuh emas sama seperti edisi lepas bagi kontinjen pesilat negara yang akan membawa cabaran ke Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi.
[KOLUMNIS] Fungsi Malbatt dalam misi pengaman di Lubnan
Dari menjaga keamanan dan kestabilan hingga melaksanakan tugas kemanusiaan, pasukan ini memainkan peranan yang kritikal dalam membantu memulihkan kawasan yang terjejas oleh konflik.
[KOLUMNIS] Kerjasama pertahanan Malaysia-Kuwait perkukuh hubungan strategik
Lawatan Menteri Pertahanan ke Kuwait Oktober lalu tawar Malaysia peluang belajar pengalaman dan strategi pertahanan negara itu.
[KOLUMNIS] Akses kepada maklumat: Keperluan kritikal melengkapkan ekosistem kebajikan warga ATM
Akses Internet yang lebih baik akan membuka lebih banyak ruang untuk perkembangan diri dan peningkatan motivasi anggota tentera.
[KOLUMNIS] Gagasan idea, kepemimpinan, prestasi dan kerjasama jayakan Kerajaan Perpaduan
Kekuatan Kerajaan Perpaduan sangat bergantung kepada gagasan idea dalam kepemimpinan Perdana Menteri.
[KOLUMNIS] Kezaliman Zionis di bumi Palestin dan tindakan kita
Pengusiran orang-orang Arab Palestin dari tanah air mereka adalah perancangan utama Zionis Israel dan telah mengakibatkan orang Arab Palestin kekal menjadi pelarian sehingga hari ini.
[KOLUMNIS] Menginsafi 106 tahun Deklarasi Anglo-Perancis (7 Nov 1918 - 7 Nov 2024)
Sempena 106 tahun Deklarasi Anglo-Perancis, GPM Malaysia menyeru seluruh umat Islam agar mengambil ibrah daripada sejarah yang berlaku.
[KOLUMNIS] Abad Turkiye, hubungan lebih erat dengan Malaysia
Turkiye dan Malaysia, berkongsi hubungan dua hala yang berakar umbi, dengan sejarah persaudaraan sejak hubungan antara Empayar Uthmaniyyah dan Kepulauan Melayu pada abad ke-16.
[KOLUMNIS] Mengemudi bisnes di era digital: Adaptasi atau ketinggalan?
Walaupun teknologi digital menawarkan banyak peluang, tidak dinafikan ia juga datang dengan cabaran.
[KOLUMNIS] Kenaikan gaji minimum RM1,700: Peluang atau cabaran untuk syarikat?
Walaupun kenaikan gaji minimum sering dianggap sebagai beban oleh majikan, ia sebenarnya boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti.
[KOLUMNIS] Mentransformasi seni digital serlah kreativiti universiti
Kombinasi ilmu dan seni dalam kehidupan adalah seimbang - ilmu memberikan ketertiban dan kejelasan, manakala seni membawa kedamaian dan kegembiraan.