PROGRAM RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu (30 Julai-2 Ogos 2026) mencatatkan 46 nahas jalan raya termasuk 11 kematian - peningkatan mendadak berbanding 5 kematian pada 2025 dan 2 kematian pada 2024.
PDRM turut menyita 222 motosikal sepanjang tempoh acara atas kesalahan termasuk ekzos diubah suai, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, tiada lesen memandu sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans, dan menunggang bawah umur.
Trend tiga tahun ini - 2 kematian (2024) - 5 (2025) - 11 (2026) - menunjukkan masalah ini bukan insiden terpencil, tetapi corak yang semakin buruk setiap kali acara ini dianjurkan.
Program RXZ Members kini telah berkembang menjadi antara perhimpunan motosikal terbesar di Malaysia, melibatkan ratusan ribu peserta dari seluruh negara.
Skala ini bermakna pendekatan pengurusan keselamatannya tidak lagi boleh bergantung kepada penguatkuasaan biasa semata-mata, sebaliknya perlu dirancang sebagai pengurusan risiko bagi acara berskala besar.
CADANGAN
a) Pendaftaran dan kelayakan jalan (roadworthiness) — bukan pemutihan menyeluruh
Data pihak berkuasa sendiri menunjukkan sebahagian besar motosikal yang disita bermasalah dari segi keselamatan teknikal, bukan sekadar dokumentasi. JPJ perlu membezakan dua kategori:
• Motosikal yang secara mekanikal masih standard tetapi kehilangan geran akibat rantaian pemilikan yang panjang atau rekod lapuk — ini boleh dipertimbangkan untuk proses pemutihan pentadbiran yang dipermudahkan, tertakluk kepada pemeriksaan Puspakom penuh.
• Motosikal yang telah diubah suai secara struktur (ekzos, casis, sistem brek) sehingga tidak lagi menepati spesifikasi keselamatan asal — ini TIDAK sepatutnya menerima pemutihan tanpa syarat. Sebaliknya, ia perlu menjalani pemeriksaan wajib Puspakom dengan pilihan sama ada dipulihkan kepada spesifikasi asal, atau dibatalkan pendaftaran.
Latar belakang: Kebanyakan Yamaha RXZ yang masih digunakan hari ini telah berusia sekitar 20 hingga 35 tahun. Sebahagiannya telah melalui beberapa kali pertukaran pemilik, pemulihan (restoration), atau pengubahsuaian, menyebabkan terdapat kes yang menghadapi masalah dokumentasi dan sejarah pemilikan.
Tanpa geran sah, tiada cukai jalan dan tiada perlindungan insurans — jika berlaku nahas, mangsa atau keluarga tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah.
b) Piawaian bunyi dan pelepasan asap — perlu penjelasan dan penguatkuasaan rasmi
Penduduk Kuala Terengganu telah mengadu bunyi bising melampau dan asap enjin 2-strok (2T) yang tebal sepanjang konvoi RXZ.
Piawaian antarabangsa bagi enjin 2-strok 135cc adalah antara 85 hingga 115 dB; JPJ mengamalkan had lebih kurang 105 dB. Sebagai perbandingan, had UNECE untuk kategori motosikal adalah lebih rendah — julat 73 hingga 80 dB — walaupun perbandingan langsung perlu berhati-hati kerana kaedah ujian dan kategori kenderaan UNECE mungkin berbeza daripada piawaian JPJ.
Justeru:
• JPJ dan Puspakom perlu menjalankan ujian bunyi rawak semasa program sedemikian, bukan hanya semasa pemeriksaan tahunan.
• Piawaian pelepasan asap bagi enjin 2T tidak jelas didokumenkan di Malaysia untuk kenderaan lama seperti ini. Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta mengkaji semula dan mengemas kini had yang dibenarkan bagi kategori kenderaan berusia ini, khususnya untuk acara berkumpulan besar-besaran yang memberi kesan langsung kepada kualiti udara kawasan kejiranan.
c) Latihan marshal dan konvoi selamat — mula sekarang, bukan sebulan sebelum acara
PDRM dan JPJ perlu bekerjasama dengan kelab dan penganjur RXZ untuk melatih marshal serta ketua kumpulan mengenai pergerakan konvoi yang selamat — jarak ikutan, had kelajuan kumpulan, dan protokol respons kecemasan. Usaha ini mesti bermula sekarang, memandangkan penganjuran akan datang, bukan menjelang minggu-minggu terakhir sebelum acara.
d) Nasihat Perancangan Perjalanan (Travel Time Advisory)
Mengadakan TTA sepertimana amalan lebuhraya semasa musim perayaan — memaklumkan peserta tentang waktu puncak, laluan alternatif, dan tempat rehat yang disyorkan bagi mengurangkan tunggangan berterusan tanpa rehat, satu punca nahas jalan raya yang telah dikenal pasti dalam beberapa kes kematian sepanjang perjalanan ke dan dari acara ini.
TTA perlu dikeluarkan sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum acara melalui media sosial, media utama, dan papan tanda elektronik lebuh raya, bagi mengagihkan masa perjalanan peserta dan mengurangkan pergerakan serentak.
e) Kehadiran penguatkuasaan di lokasi strategik
Penguatkuasa JPJ dan PDRM perlu hadir di pintu masuk utama lebuhraya dan sekitar Kuala Terengganu sepanjang tempoh acara. Tiada tolak ansur terhadap peserta tanpa lesen memandu sah atau tanpa cukai jalan. Ini perlu disokong dengan peruntukan kakitangan yang mencukupi merentasi semua lokasi kemasukan utama — bukan sekadar simbolik di satu atau dua titik.
Penguatkuasaan hendaklah memberi keutamaan kepada kesalahan berisiko tinggi seperti:
• tiada lesen memandu;
• tiada insurans;
• tiada cukai jalan;
• nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi;
• pengubahsuaian yang menjejaskan keselamatan.
f) Ketelusan data selepas acara
PDRM dan JPJ digalakkan menerbitkan pecahan terperinci bagi setiap nahas jalan raya dan kenderaan yang disita — motosikal tidak berdaftar, berdaftar tetapi diubah suai, dan yang mematuhi spesifikasi sepenuhnya.
Data sedemikian, jika dikongsi secara telus, akan menyokong perbincangan dasar yang lebih tepat untuk penganjuran akan datang, dan mengelakkan cadangan tambah baik dibuat berasaskan anggaran semata-mata.
g) Pelan Pengurusan Risiko Acara (Event Risk Management Plan)
Penganjur, PDRM, JPJ, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar dan konsesi lebuh raya perlu menyediakan Pelan Pengurusan Risiko bagi setiap edisi RXZ Members yang merangkumi:
• unjuran jumlah peserta;
• laluan utama masuk dan keluar;
• lokasi rehat;
• lokasi ambulans;
• pusat respons kecemasan;
• pelan komunikasi;
• analisis risiko sebelum acara.
Dengan trend kematian yang meningkat setiap tahun, pendekatan pengurusan risiko perlu menjadi sebahagian daripada syarat kelulusan penganjuran — bukan langkah pilihan yang diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara penganjur.
h) Audit keselamatan selepas acara
Setiap edisi RXZ Members perlu disusuli audit keselamatan yang melibatkan:
• jumlah nahas jalan raya;
• lokasi;
• masa;
• punca;
• profil penunggang;
• faktor motosikal;
• keberkesanan penguatkuasaan.
Laporan audit perlu diterbitkan sebelum penganjuran tahun berikutnya, supaya penambahbaikan dibuat berdasarkan bukti — bukan andaian atau reaksi selepas tragedi berulang.
i) Pendekatan berperingkat: libat urus diikuti penguatkuasaan tegas
Penguatkuasaan tidak seharusnya bermula dengan tindakan menghukum semata-mata. Dalam tempoh beberapa bulan sebelum penganjuran, JPJ, PDRM, dan penganjur perlu melaksanakan sesi libat urus secara aktif bersama kelab-kelab RXZ, ketua konvoi (ride leaders), dan komuniti pemilik, bagi meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta piawaian keselamatan.
Walau bagaimanapun, sekiranya selepas tempoh libat urus tersebut masih tiada peningkatan ketara dalam tahap pematuhan, agensi penguat kuasa perlu bersedia meningkatkan tahap penguatkuasaan secara berperingkat — termasuk operasi bersepadu berskala besar di laluan utama menuju Kuala Terengganu serta di lokasi acara, bagi mengesan kesalahan berisiko tinggi seperti tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, LKM tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, serta pengubahsuaian yang menjejaskan keselamatan.
Pendekatan ini memberi peluang kepada komuniti RXZ memperbaiki tahap pematuhan melalui kerjasama terlebih dahulu, namun pada masa yang sama menegaskan bahawa keselamatan awam tidak boleh dikompromi sekiranya usaha tersebut gagal. Agensi penguatkuasa harus bertegas apabila tiba masanya.
j) Perlu pindaan & wartakan Doktrin Liabiliti Bersama (Vicarious Liability) kepada Penganjur Acara
Menetapkan Seksyen khas liabiliti undang-undang terhadap entiti komersial yang menganjurkan perhimpunan mega (melebihi 10,000 peserta).
k) Kewajipan TRMP
Penganjur wajib mengemukakan Traffic Risk Mitigation Plan (TRMP) yang mengandungi jadual Pelepasan Berperingkat (Staggered Release) mengikut zon negeri bagi mengelakkan limpahan jentera (traffic choking).
PENUTUP
Trend kematian yang meningkat daripada 2 (2024), kepada 5 (2025), dan 11 (2026) menunjukkan pendekatan sedia ada belum memadai. Fokus tidak seharusnya tertumpu hanya kepada tindakan penguatkuasaan selepas nahas jalan raya berlaku, tetapi kepada pengurusan risiko secara menyeluruh — sebelum, semasa, dan selepas acara.
Cadangan ini bertujuan membantu kerajaan, penganjur, dan komuniti RXZ mewujudkan satu model penganjuran yang lebih selamat, tanpa menjejaskan semangat dan nilai persaudaraan yang menjadi identiti program ini.
JPJ telah menyatakan komitmen awal untuk "tindakan tegas" terhadap kesalahan ubah suai kenderaan susulan RXZ Members 8.0.
Cadangan di atas bertujuan menyokong dan mempercepatkan komitmen tersebut dengan langkah konkrit dan berjadual, bukan sekadar beri komen atau tindakan mendadak (knee jerk) selepas kejadian.
*Artikel ini adalah tulisan Shahrim Tamrin, aktivis keselamatan jalan raya yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah MIROS.
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.