KITA sedia maklum negara akan menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini.  

Tarikh 16 September 1963 telah melakar sejarah pengisytiharan pembentukan Malaysia yang diisytiharkan Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Peristiwa ini sangat relevan, signifikan dan dikenang selain menyambut Hari Merdeka kerana peristiwa bersejarah itu disaksikan seramai 30,000 rakyat di Stadium Merdeka.

Inilah peristiwa yang termaktub bagi pemimpin serta rakyat dari tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak apabila bersetuju untuk hidup bersatu sebagai sebuah negara juga bangsa.  

Pepatah Melayu ada mengatakan, 'Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.'  Sesungguhnya, rahmat keamanan dan kesejahteraan perlu dirasai seluruh rakyat yang merangkumi seramai 31 juta ini bagi menyemai semangat kebangsaan, nasionalisme dan patriotisme dengan mengekalkan perpaduan serta kestabilan agar negara tidak goyah malah terus berkekalan demi memenuhi harapan semua.  

Wahai rakyat Malaysia, suburkan semangat cintakan tanah air dan nyalakan obor kemerdekaan di hati agar negara Malaysia tetap berdiri megah di mata dunia dengan masyarakat majmuk yang mengamalkan sikap toleransi meskipun mempunyai pelbagai fahaman, warna-warna kehidupan, etnik, budaya, agama dan bangsa berbeza namun tetap teguh sama-sama memelihara kemakmuran negara.  

Itulah definisi perpaduan, membentuk negara persekutuan yang damai, permai tanpa sengketa.  

Hari Malaysia diraikan megah pada setiap tahun bagi menyemarakkan perpaduan di negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak.  

Kemajuan pembangunan dan ledakan teknologi sama-sama dinikmati bukan sahaja di Semenanjung bahkan di Sabah dan Sarawak.

Oleh yang demikian, jauhkan pemikiran etnosentrik yang jumud atau sifat kenegerian kerana ia bukan sahaja merugikan malah boleh mencetus implikasi perbalahan dan pertumpahan darah.  

Hentikan menghina, mempersenda atau memperlekeh sesama sendiri bagi membentuk dan mengekalkan persefahaman yang baik dan sudah tercipta selama ini.  

Justeru itu, selain Rukun Negara, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan di dalam menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia demi keharmonian dan kedaulatan negara.




Malaysia MADANI teras kerajaan perpaduan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menekankan konsep Malaysia MADANI yang berteraskan kepada enam nilai utama iaitu keMampanan, keSejahteraan, Daya cipta, Hormat, keYakinan dan Ihsan.  

Gagasan Malaysia MADANI ialah konsep yang berteraskan nilai-nilai murni dan kemanusiaan yang harus didukung serta diamalkan bukan hanya pada pemimpin negara tetapi juga disemai dalam setiap sanubari rakyat Malaysia.

Umumnya, dasar Malaysia MADANI telah dilancarkan secara rasminya pada 19 Januari di Putrajaya.

Gagasan ini juga menterjemahkan niat dan hasrat Perdana Menteri di dalam mentadbir urus negara ke arah keadilan, kebaikan, bersatu-padu, maju dan sejahtera di dalam memacu pembangunan negara Malaysia.

Konsep Malaysia MADANI memupuk perpaduan demi kemaslahatan rakyat dengan manifestasi Kerajaan Perpaduan di dalam membentuk rakyat Malaysia yang bukan sahaja berilmu, progresif, berdaya cipta tetapi juga bermoral, berintegriti dan beretika.  

Daya cipta yang dimaksudkan ialah mengalakkan rakyat untuk berinovasi dengan menggembleng minda, tenaga serta pelajari menggunakan teknologi demi mencipta sesuatu pembaharuan bagi melengkapkan dasar pembangunan seiring dengan kemajuan teknologi yang terkini.

Contohnya, aplikasi teknologi pintar seperti AI (artificial intelligence) digunakan secara berhemah tanpa mengabaikan integriti.

Integriti yang dimaksudkan ialah melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, beretika dan menjauhi amalan rasuah.

Malaysia MADANI bukan sahaja meningkatkan keinsafan dan cakna kepada kesusahan orang lain malah mengurangkan kadar jenayah di Malaysia.

Ihsan yang dimaksudkan bersifat prihatin, saling bantu membantu dan tidak mementingkan diri sendiri demi menjalinkan hubungan yang aman, memelihara perhubungan yang tulus, bersatu hati dan mengeratkan ukhwah walaupun berlainan agama, bangsa dan budaya.

Ini bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa mempunyai hala tuju yang sama dengan bermuafakat demi membina negara Malaysia yang maju, berjaya seiring dengan pembangunan yang mampan serta terpelihara alam sekitarnya.

Bak kata pepatah Melayu, 'Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.'




Tingkat perpaduan, pupuk integrasi nasional

Malaysia sememangnya istimewa kerana kita mempunyai pelbagai bahasa, bangsa, kaum, agama, etnik dan pelbagai budaya yang berbeza.

Ia merangkumi seluruh rakyat dari Semenanjung hinggalah kepada Orang Asli dari Sabah dan Sarawak yang mempunyai harapan serta masa depan yang sama, membina negara Malaysia yang aman sejahtera, saling berganding bahu memupuk kebersamaan, bersatu, harmoni serta berdaulat.  

Usaha memupuk integrasi nasional perlu berpanjangan demi meningkatkan persefahaman yang baik, jitu dan meningkatkan kesepaduan dengan meraikan perbezaan serta kepelbagaian namun tetap bersatu dan harmoni di bawah naungan dan pegangan yang sama iaitu berpaksi kepada gagasan Malaysia MADANI.  

Ketepikan perbezaan pendapat, ideologi dan elakkan bermain dengan sentimen 3R iaitu mempersoalkan kedaulatan raja, kaum dan agama yang sememangnya akan mencetuskan ketegangan kaum, pertelingkahan serta mengancam keamanan juga perpaduan rakyat.

Bahkan, perlu dipastikan maruah negara terpelihara, bukan sahaja dipandang mulia oleh negara luar tetapi juga sebagai pemangkin ekonomi dan melestarikan perhubungan antarabangsa.

Sifat saling hormat menghormati seperti yang digariskan di dalam Malaysia MADANI perlu diterapkan oleh rakyat Malaysia demi membina keyakinan dan kesejahteraan bukan sahaja di kalangan penduduk di negara ini malah juga di mata pelabur serta pelancong asing yang memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan.  

Langkah ini sekali gus memelihara kestabilan politik, sosial, ekonomi dan menjana pendapatan negara.

Tuntasnya, seluruh rakyat Malaysia seharusnya mensyukuri nikmat kesejahteraan dan keharmonian yang tidak dirasai oleh segelintir penduduk di negara yang berperang.

Jati diri harus diperkukuh demi melawan bahaya pengaruh luar di era globalisasi yang mencabar dan boleh merosakkan identiti diri kita sebagai 'Saya anak Malaysia.'

Pastikan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, Malaysia MADANI kerana dengan gagasan ini membantu memperkasa perpaduan, membina negara bangsa yang perkasa, harmoni dan berdaulat.

Pembangunan bertamadun dengan sahsiah akhlak yang terpuji menjanjikan keseimbangan, kestabilan dan terpelihara daripada ancaman dalaman atau luar.

Dengan erti kata lain, ia harus dipikul oleh seluruh warganegara Malaysia bagi meningkatkan solidariti dan memenuhi aspirasi harapan negara yang tercinta agar terus membangun, harum, aman, makmur, berkarisma, mantap selain unggul di persada antarabangsa.

Ia juga memastikan Malaysia bukan sahaja berjaya mencapai negara bangsa yang cemerlang tetapi membangun dengan baik, terpelihara dari anasir-anasir negatif sejajar pembangunan holistik dan membina warisan demi harapan negara untuk generasi masa hadapan.



* Norazlinda Mohammad merupakan Pensyarah Kanan Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.