Skip to main content

Sukan

Undian positif beri laluan terbaik buat Malaysia di Horsens - Jonassen

KUALA LUMPUR, 20 Feb -- Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen ketika ditemui media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jonassen menyifatkan hasil undian peringkat kumpulan itu sebagai positif kerana ia memberikan petunjuk yang jelas mengenai laluan pasukan ke peringkat kalah mati, nanti. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Undian yang disifatkan menguntungkan buat skuad negara pada saingan Piala Thomas dan Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark, memberikan panduan dan hala tuju jelas kepada Malaysia dalam persiapan menghadapi kejohanan berpasukan paling berprestij di dunia itu.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen menyifatkan hasil undian peringkat kumpulan itu sebagai positif kerana ia memberikan petunjuk yang jelas mengenai laluan pasukan ke peringkat kalah mati, nanti.

Advertisement

Dengan pihak lawan kini sudah ditentukan, Jonassen berkata fokus akan beralih kepada memperhalusi persiapan, terutamanya dalam menyesuaikan strategi mengikut setiap perlawanan.

“Ya, bagi kedua-dua pasukan saya teruja dan yang paling penting sekarang kami boleh mula memuktamadkan sebahagian persiapan kami untuk menyesuaikan strategi mengikut pihak lawan yang akan kami hadapi.

“Salah satu maklumat terakhir yang masih kami perlukan ialah jadual perlawanan,” katanya kepada Bernama.

Walaupun undian itu memberikan kelebihan, pengendali kelahiran Denmark berusia 51 tahun itu berkata skuad negara perlu sentiasa rendah diri dan bersedia menghadapi sebarang cabaran yang mungkin ada sepanjang kejohanan berkenaan.

“Bersikap rendah diri, sedar dan yakin. Untuk mencapai kejayaan dalam kejohanan utama, anda mesti mampu mengatasi sebarang cabaran dan halangan di hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky, yang berpuas hati dengan hasil undian, menggesa barisan pemain fokus kepada persiapan di sini dan kemudian di Denmark.

Dilaporkan bahawa kedua-dua skuad lelaki dan wanita akan menjalani latihan intensif selama 10 hari di Herning, Denmark sebelum bergerak ke Horsens.

Skuad lelaki kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama juara 2014, Jepun serta dua wakil Eropah iaitu England dan Finland pada Piala Thomas 2026.

Undian Piala Uber 2026 pula menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama juara enam kali, Jepun serta Turkiye dan Afrika Selatan. 

Hanya dua pasukan teratas dari setiap kumpulan bagi kedua-dua kejohanan akan mara ke peringkat suku akhir

Malaysia pernah memenangi Piala Thomas sebanyak lima kali pada 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.

Skuad wanita kebangsaan, yang masih belum pernah memenangi Piala Uber, hanya berjaya mara ke suku akhir sebanyak tiga kali pada 2004, 2008 dan 2010.

Saingan Piala Thomas dan Piala Uber 2026 akan berlangsung di Forum Horsens dari 24 April hingga 3 Mei.

-- BERNAMA

Must Watch Video