KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan Aidilfitri yang dijangka esok atau lusa, warga kota dilihat mula membuat persiapan akhir bagi memastikan keperluan harian, khususnya stok bahan basah tersedia secukupnya untuk menyambut hari lebaran itu.
Tinjauan Bernama di Pasar Chow Kit hari ini mendapati warga kota berpusu-pusu mendapatkan barangan keperluan, dengan kebanyakan peniaga memaklumkan stok mencukupi bagi menghadapi permintaan tinggi menjelang Aidilfitri.
Advertisement
Pengusaha santan Aspalila Mohamed Razali yang telah berniaga lebih 35 tahun berkata jualan meningkat sepanjang minggu ini namun beliau membuat perancangan rapi bagi memastikan bekalan mencukupi.
“Bekalan tiada masalah buat masa ini, semuanya mencukupi. Sekiranya permintaan meningkat, pembekal akan menghantar stok mengikut pesanan. Kami juga mematuhi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan,” katanya yang turut menjalankan perniagaan ayam dan daging.
Pemerhatian turut mendapati peniaga kekal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang berkuat kuasa dari 14 hingga 28 Mac, dengan harga ikan kembung dijual antara RM10 hingga RM14 sekilogram (harga maksimum RM15), bawang merah besar RM4 sekilogram, santan asli RM10 hingga RM18 (harga kawalan RM16) dan kelapa parut putih RM10 dan RM12 berbanding harga maksimum RM11.50.
Kebanyakan peniaga bagaimanapun didapati tidak mempamerkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi barangan di bawah skim kawalan itu, walaupun majoriti memaparkan tanda harga biasa.
Bagi pengunjung, Pasar Chow Kit menjadi lokasi pilihan kerana pelbagai barangan basah dan segar boleh didapati di satu tempat, selain dapat membandingkan harga.
Alice Suriati Mazlan, 54, berkata harga barangan di pasar itu masih berpatutan dengan hanya sedikit perubahan berbanding awal Ramadan.
“Saya mendapati harga masih terkawal, ada sedikit kenaikan tetapi tidak banyak memberi kesan. Bekalan juga mencukupi dan tiada pembelian panik. Saya lihat kebanyakan peniaga meletakkan tanda harga,” katanya.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik dan Bitara Institut Integriti Malaysia itu berkata lazimnya beliau membeli barangan basah seperti daging, ayam dan sayur-sayuran di pasar berkenaan manakala barangan seperti bawang dibeli di pasar raya kerana lebih murah.
Pasangan warga emas Ramli Yusof, 76, dan Shopiah Bakri, 68, berkata harga barangan masih berpatutan dengan bekalan daging serta keperluan lain mencukupi.
Mereka menekankan persiapan awal dan stok stabil di pasar amat penting, terutama bagi mereka yang bergantung kepada pencen bulanan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyenaraikan 27 jenis barangan keperluan di bawah SHMMP, termasuk bahan asas seperti bawang, cili, daging, ikan, sayur-sayuran dan santan bagi memastikan harga kekal stabil sepanjang musim perayaan.
-- BERNAMA