KUALA LUMPUR: Komitmen bekalan tenaga jangka panjang selama sekurang-kurangnya 20 tahun, berpotensi meningkatkan keselamatan tenaga Malaysia, memperbaiki pengurusan kos dan menyokong daya saing industri secara berterusan.
Pengerusi BRICS International Malaysia, Jaziri Alkaf Abdillah Sufian berkata demikian ketika mengulas perkembangan hasil lawatan rasmi Perdana Menteri ke Rusia dan Turkmenistan yang dilihat mampu memperkukuh keselamatan tenaga negara serta memperluas kerjasama strategik dalam sektor minyak dan gas.
Beliau berkata jaminan Rusia untuk menyokong keperluan bekalan minyak, gas dan diesel jangka panjang Malaysia merupakan satu perkembangan positif dan tepat pada masanya.
“Dalam landskap tenaga global yang semakin kompleks dan tidak menentu, Malaysia perlu terus mempelbagaikan rakan kerjasama, memperkukuh daya tahan bekalan serta memastikan saluran tenaga yang stabil demi melindungi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jaziri yang juga bekas Senator Parlimen Malaysia berkata, pihaknya turut mengalu-alukan hasil positif lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkmenistan yang dilihat memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor tenaga global.
Menurutnya, kerjasama strategik melibatkan PETRONAS dan Turkmenistan merupakan satu pencapaian penting dalam hubungan dua hala yang telah terjalin lebih tiga dekad dalam industri minyak dan gas.
“Keberadaan berterusan PETRONAS di Turkmenistan mencerminkan kepakaran Malaysia dalam operasi huluan tenaga, pemindahan teknologi, pembangunan bakat serta pengurusan sumber secara bertanggungjawab.
“Perkembangan melibatkan salah satu medan gas terbesar dunia turut mencerminkan keupayaan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata hubungan dengan Rusia dan Turkmenistan secara kolektif menunjukkan komitmen Malaysia terhadap strategi diplomasi tenaga yang pelbagai, sekali gus membuka peluang komersial baharu serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai penghubung antara ASEAN, Asia Tengah, Eurasia dan Global South.
Jaziri berkata perkembangan itu juga selaras dengan dasar luar Malaysia yang bebas, pragmatik dan tidak berpihak, di samping memperkukuh kerjasama Selatan-Selatan serta meningkatkan keanjalan ekonomi negara dalam landskap global yang semakin berbilang kutub.
“Keselamatan tenaga kekal sebagai tonggak penting ketahanan nasional. Kerjasama jangka panjang dengan Rusia serta pengukuhan kerjasama huluan dengan Turkmenistan mampu menyokong objektif ekonomi jangka panjang Malaysia.
“Ia juga berpotensi membuka peluang kepada syarikat Malaysia dalam sektor perdagangan, penapisan, logistik, teknologi, latihan, infrastruktur dan pelaburan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan sebarang perjanjian masa depan perlu disokong oleh usaha wajar yang ketat, tadbir urus telus serta perlindungan komersial dan kewangan yang kukuh.
Beliau turut menyifatkan pertemuan Perdana Menteri dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov sebagai bukti keupayaan Malaysia mengekalkan hubungan konstruktif merentasi blok global utama sambil memajukan kepentingan ekonomi berdaulat.
Menurutnya, perkembangan itu boleh menjadi asas kukuh untuk kerjasama lebih luas bukan sahaja dalam minyak dan gas, tetapi turut merangkumi peralihan tenaga, teknologi, keselamatan makanan, industri halal, kewangan Islam, pembangunan industri, ekonomi digital, pendidikan dan kesalinghubungan serantau.
Jaziri berkata BRICS International Malaysia menggalakkan semua pihak termasuk pembuat dasar, komuniti perniagaan dan pemegang taruh untuk memanfaatkan momentum ini secara strategik dan bertanggungjawab.
Tambah beliau, BRICS International Malaysia kekal komited untuk menyokong dialog, penggubalan dasar dan kerjasama perniagaan yang dapat memajukan kepentingan nasional negara.