GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan mengambil bertindak tegas ke atas mereka yang membuang sampah dan sisa makanan merata-rata termasuk pemberi makanan kepada burung merpati atau haiwan lain di negeri ini.

MBPP dalam kenyataannya berkata, perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab ini telah menjejaskan kebersihan di kawasan-kawasan tertentu serta imej pulau ini sekiranya tidak dibendung dan dikawal.

Menurut MBPP, tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang membuang sampah termasuk membuang sisa makanan akan diambil di bawah Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Tambah MBPP, pesalah tegar selain yang tidak membayar kompaun untuk kesalahan tersebut akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan undang-undang.

"Majlis tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun berjumlah RM250 kepada sesiapa sahaja yang didapati bersalah dalam operasi 'anti-litter' ini.

"Pelbagai amaran dan peringatan telah dilaksanakan untuk menyedarkan orang awam mengenai larangan membuang sampah dan sisa makanan di tempat awam termasuk kepada pemberi makan kepada burung atau haiwan lain.

"Bagaimanapun, masih ada yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang serta tidak mempunyai tanggungjawab sosial dengan mengotorkan kawasan awam. Oleh itu, selepas ini, kita akan mengambil tindakan tegas terhadap golongan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

MBPP menambah, sepanjang Januari hingga 19 Mac lalu, sebanyak 93 notis tawaran kompaun kesalahan 'anti-litter' telah dikeluarkan termasuk lima kompaun kepada individu yang membuang sisa makanan kepada burung merpati.

"Jumlah burung merpati yang ditangkap pada tahun tahun sahaja adalah 6,606 ekor. Ini kerana kehadiran burung merpati di tempat awam menimbulkan kacau ganggu kepada orang ramai dan kawasan persekitaran.

"Majlis juga terpaksa membelanjakan kos tambahan untuk mencuci tempat awam seperti siar kaki yang penuh dengan najis burung yang bersifat asidik, menghakis, boleh menjejaskan kesihatan manusia dan merosakkan harta awam," katanya.

Oleh demikian, MBPP berharap orang ramai mempunyai kesedaran sivik dan menghentikan perbuatan ini segera supaya impak negatif yang berpunca daripada pembuangan sampah tersebut dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Menurut MBPP lagi, bekas plastik dan sisa makanan akan menyebabkan haiwan perosak seperti tikus dan gagak yang mana ia akan mendatangkan penyakit kepada manusia.

"Pembuangan bekas terbiar yang boleh menakung air akan membawa kepada risiko penyakit demam denggi dan penyakit lain.

"MBPP perlu membelanjakan duit rakyat dan menyediakan kakitangan yang lebih di samping kelengkapan dan pengangkutan untuk memastikan kebersihan pulau ini sentiasa dijaga dan dipelihara," katanya. - Sinar Harian