KOTA KINABALU: Tindakan kompaun RM50,000 yang dikeluarkan terhadap peniaga gerai ‘Sinalau Bakas’ di Jalan Sulaman, pada Isnin lalu, adalah tindakan wajar dan bukan dibuat sesuka hati tanpa budi bicara.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi yang dijalankan terhadap gerai berkenaan adalah berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam.

Katanya, berdasarkan aduan yang diterima, pengadu mendakwa gerai berkenaan sering memainkan muzik serta karaoke sehingga lewat malam dan mengganggu ketenteraman awam di kawasan sekitar.

"Siasatan awal mendapati, gerai berkenaan beroperasi menjual daging babi hutan panggang selain menjual minuman keras kepada pengunjungnya.

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati, gerai berkenaan tidak memiliki lesen perniagaan, lesen menjual minuman keras dan lesen hiburan awam," katanya pada sidang media yang dijalankan di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Selain itu, Hazani berkata, gerai berkenaan turut tidak mempunyai permit jual beli daging buruan daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS).

Katanya, polis mengesan banyak kesalahan yang  telah dilakukan selain mempunyai bukti bergambar berhubung perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) di gerai berkenaan.

"Mengikut kesalahan Seksyen 48 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, peniaga terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

"Tindakan yang diambil pihak polis amat jelas berlandaskan undang-undang dan menggunakan kuasa budi bicara yang amat tinggi," katanya.

Bagaimanapun Hazani berkata, penularan kisah ini menerusi kenyataan sebelah pihak yang ditularkan di media sosial adalah satu bentuk provokasi kepada pasukan keselamatan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan media sosial untuk menegakkan benang yang basah sehingga memberi gambaran seolah-olah polis adalah zalim dan tidak menjalankan amanah dipertanggungjawabkan.

"Setiap laporan, setiap tohmahan, kita akan siasat secara telus dan tidak akan berselindung, serta tidak akan bertindak zalim.

"Bermula hari ini juga, Polis Sabah akan memastikan semua Ketua Polis Daerah mengambil tindakan tegas tanpa kompromi bagi individu yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan," katanya lagi.