IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib berharap supaya kerajaan negeri dapat memberikan peruntukan secara berperingkat bagi membaik pulih Kompleks Sejarah Pasir Salak yang dikhuatiri kian usang.

Ramli berkata, beliau memahami kekangan dan kos membaik pulih kompleks itu yang memakan belanja tinggi, namun jelasnya ia dapat dibaik pulih sedikit demi sedikit sehingga meliputi keseluruhannya.

"Pihak kerajaan negeri pun sedia maklum tentang hal ini, dari masa ke semasa. Saya pun sudah beritahu pihak terbabit khususnya dari bahagian pelancongan.

"Kita tahu kerajaan negeri pun tidaklah mempunyai kedudukan kewangan yang begitu baik untuk membaiki (kompleks) secara keseluruhan.

"Tapi saya berharap dapat diperuntuk sedikit demi sedikit pun jadilah, akhirnya dapat dibaiki semua secara berperingkat. Ini memang hasrat semua pihak termasuk saya, agar kerajaan negeri dapat memberi sedikit peruntukan.

"Kalau tidak semua, sebahagian daripadanya pun boleh untuk membolehkan chalet yang ada di tepi Sungai Perak itu dibaik pulih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bicara Tokoh Peristiwa Pembunuhan J.W.W Birch dari perspektif waris Datuk Sagor, di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah IPG Kampus Ipoh, Dr Yahya Osman dan Timbalannya, Mohd Khadri Fazil Rahman.

Ramli yang juga merupakan waris keturunan Datuk Sagor dengan gelaran Orang Kaya Kaya Seri Agar DiRaja (Orang Besar Delapan) turut menyambut baik cadangan untuk mengalu-alukan pihak swasta yang berminat untuk membaik pulih bangunan bersejarah itu.

"Kalau mereka mempunyai dasar sedemikian, maka saya sambut baik. Sebab apa yang mustahak ialah kesan masa panjang dari segi pelancongan, pengetahuan tentang sejarah dan sebagainya.

"Saya alu-alukan tindakan kerajaan negeri kalau mereka mahu menswastakan kompleks itu... tiada masalah. Asalkan ia diperbaiki dan orang dapat menikmati apa yang ada di situ," katanya lagi.

Kata Ramli lagi, lokasi unik itu dapat memberi manfaat kepada ramai pihak khususnya pada pencinta sejarah dan para pelajar bagi menyelami erti kemerdekaan yang diperjuangkan orang terdahulu.

Untuk makluman, Kompleks Sejarah Pasir Salak ialah sebuah kompleks sejarah di Pasir Salak, Perak Tengah.

Ia dibina tahun 1990 atas inisiatif Ramli yang merupakan Menteri Besar Perak ketika itu.

Sebelum ini media melaporkan, pembaikan serta pemulihan kompleks itu dijangka menelan belanja yang tinggi ekoran kerosakan bangunan bersejarah tersebut terlalu banyak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, meskipun belum menerima jumlah sebenar kos membaiki serta memulihkan kompleks tersebut, pihaknya sedia maklum ia memerlukan belanja yang tinggi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan pihak swasta yang berminat untuk mengurus atau mengambil alih kompleks tersebut bagi membolehkannya kembali beroperasi seperti sebelum ini.