KUALA LUMPUR: Dakwaan wujudnya komplot menjatuhkan kerajaan selain mensabotaj kestabilan negara dengan menyasarkan tekanan kepada Perdana Menteri serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu disiasat terperinci dan profesional.
Gerakan itu dipercayai membabitkan seorang tokoh tempatan berpengaruh serta sebuah agensi media antarabangsa.
Advertisement
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihak polis telah menerima satu laporan daripada individu sebelum kenyataan dikeluarkan Ketua Polis Negara serta Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Saya serah kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci, telus dan profesional.
"Pada saya, bila bercakap tentang kedaulatan negara ia adalah satu isu serius yang perlu disiasat sedalam-dalamnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Apabila ditanya adakah kes yang sedang disiasat pihak polis itu berkait dengan kes SPRM, Azam berkata, perkara itu biar disiasat terlebih dahulu oleh polis kerana dan ia masih di peringkat awal.
Ujar beliau, apa-apa siasatan yang dijalankan kepada sesiapa merupakan tanggungjawab SPRM berdasarkan maklumat dan aduan diterima.
Pada Jumaat, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, polis sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan isu terbabit selepas menerima laporan pada Khamis.
Mohd Khalid dilaporkan berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Berikutan itu, AGC dalam kenyataan memaklumkan bahawa mana-mana pihak yang didapati terlibat, sekiranya ada, hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.
Menurut AGC, jabatan itu juga memandang serius isu berkenaan kerana sebarang tindakan atau perancangan berunsur menggugat ketenteraman awam, kestabilan politik dan keselamatan negara merupakan perkara yang menyentuh asas sistem demokrasi berparlimen serta prinsip kedaulatan undang-undang. - Sinar Harian