Skip to main content

Malaysia

Komunikasi jelik terhadap Raja Permaisuri Agong, Mahkamah Rayuan perintah peniaga bela diri

71743102937_courtgavel.jpg
Panel hakim membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang telah melepas dan membebaskan Sharil Mohd Sarif di akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya untuk membela diri. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang peniaga untuk dipanggil membela diri atas dua tuduhan menghantar komunikasi jelik terhadap Raja Permaisuri Agong ketika itu pada 2023.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang telah melepas dan membebaskan Sharil Mohd Sarif di akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya untuk membela diri.

Advertisement

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Mohd Radzi berkata hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen niat berdasarkan keterangan pakar perunding Forensik Psikiatri yang menyatakan bahawa responden tidak waras dan tidak memahami kesan akibat perbuatannya.

Mahkamah memerintahkan supaya kes Sharil dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen untuk beliau membela diri di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang sama, dan menetapkan 15 Mei untuk sebutan semula kes tersebut di mahkamah berkenaan. 

Hakim Mohd Radzi berkata memandangkan responden telah mengemukakan pembelaan ketidakwarasan, dia boleh memanggil semula pakar perunding Forensik Psikiatri untuk mengemukakan keterangan yang sama.

Pada 16 Okt 2023, Mahkamah Sesyen telah membebaskan dan melepaskan Sharil, 43, di akhir kes pendakwaan tanpa memanggilnya untuk membela diri. Mahkamah Tinggi kemudiannya mengekalkan keputusan pembebasan tersebut pada 27 Jun 2024, yang membawa kepada pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Sharil menghadapi dua pertuduhan dengan sengaja membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat menghina melalui akaun Twitter @SharilSarif39 antara 5.28 pagi hingga 5.30 pagi pada 12 Mac 2023, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Sharil mempunyai sabitan terdahulu bagi kesalahan yang sama. Pada 2021, dia dijatuhi hukuman penjara satu tahun dan didenda RM20,000, dengan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Dia juga pernah dijatuhi hukuman penjara dua bulan pada 2019 dan 10 bulan pada 2020 bagi kesalahan yang sama, kesemuanya oleh Mahkamah Sesyen.

Pada prosiding di Mahkamah Rayuan, Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini mewakili pihak pendakwaan dan peguam Pang Tek Kit mewakili Sharil.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video