Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata sudah tiba masa untuk masyarakat ASEAN untuk menjadi lebih berpaksikan rakyat dan bukan terus memberi tumpuan kepada hubungan diplomatik.

Beliau berkata peralihan itu penting kerana ia bukan sahaja membolehkan masyarakat lebih memahami tentang ASEAN tetapi pada masa yang sama akan menentukan hala tuju dalam membentuk hubungan dua hala yang lebih baik antara negara-negara anggota ASEAN.

"Adalah penting bagi ASEAN dikaitkan dengan masyarakat kerana rantau ini adalah tempat tinggal mereka di mana perlu wujud semangat kekitaan dalam diri mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani surat pertukaran antara Kementerian Belia dan Sukan bagi program kesukarelaan 'MyCorps' dan program kesukarelaan terkenal Amerika Syarikat 'Peace Corps' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mengenai pertukaran surat tersebut, katanya ia menandakan bermulanya hubungan secara rasmi dan kesinambungan kerjasama antara kedua-dua pihak sejak Jun lepas.

Khairy berkata program MyCorps akan membantu melahirkan lebih banyak sukarelawan muda dan memupuk rasa empati dalam kalangan belia dan membantu membangunkan kemahiran kepimpinan di samping membantu memberi khidmat kepada masyarakat.

"Kami mahu memberikan perspektif yang lebih besar kepada belia kita. Ketika dunia bergelut dengan cabaran ekstremisme dan insiden-insiden dunia menunjukkan kita berpaut secara bahaya dalam jurang keganasan," katanya.

Beliau berkata setakat ini, lebih 1,000 sukarelawan telah berdaftar dengan MyCorps sejak pelancarannya minggu lepas dan 40 daripada mereka akan memulakan projek perintis di Kemboja bulan depan.

Insiatif MyCorps diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan tujuan menyediakan tenaga sukarelawan yang bertindak sebagai model contoh dan tenaga elit kesukarelaan bagi mendorong sukarela dalam kalangan generasi Y berusia 21 hingga 30 tahun.