KUALA LUMPUR: Komuniti diplomatik di Malaysia memuji negara ini kerana melakukan tugas dengan baik dalam menentang pandemik COVID-19.

Dekan Kor Diplomatik Vanu Gopala Menon yang juga Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia berkata dengan nasihat dan panduan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam mengawal penularan virus COVID-19.

Beliau berkata ini berikutan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang pantas dan efisien.

"Kita dapat berkumpul hari ini bagi meraikan hari keputeraan Seri Paduka adalah bukti pencapaian ini," katanya dalam ucapan pada istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara di sini semalam.

Diplomat itu berkata walaupun Malaysia dan dunia bangkit daripada cabaran akibat COVID-19 sepanjang tahun lepas, akan ada cabaran lain yang menanti.

"Saya yakin dengan kepimpinan Seri Paduka, Malaysia akan dapat mengatasi cabaran ini serta terus maju dan makmur," kata Menon.

Beliau berkata di bawah pimpinan Al-Sultan Abdullah, Malaysia merupakan ahli dalam komuniti antarabangsa yang aktif dan bertanggungjawab.

"Ia telah menjalin perdagangan dan hubungan antara rakyat dengan rakyat bersama banyak rakan kongsi antarabangsa.

"Hubungan ini akan menjadi penting kerana Malaysia dan kita semua berusaha untuk muncul lebih kukuh pada bulan-bulan dan tahun-tahun akan datang," katanya.

Menon menegaskan bahawa komuniti diplomatik di Malaysia dan rakan kongsi antarabangsa negara ini bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Seri Paduka, kerajaan Malaysia dan rakyatnya.

Kor diplomatik itu katanya, berdoa agar Malaysia terus mencapai kejayaan dan kemakmuran serta mengucapkan agar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memperoleh kesihatan yang baik dan kebahagiaan pada istiadat yang mulia ini.

-- BERNAMA