Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Bekalan makanan cukup hingga pertengahan tahun - Mohamad Sabu

PUTRAJAYA, 13 Mac -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas di Menara Komunikasi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad (foto) berkata kebanyakan sumber import makanan negara tidak melalui laluan perkapalan utama yang terjejas, termasuk kawasan sekitar Selat Hormuz, sekali gus memastikan rantaian bekalan kekal stabil. -Foto Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia tidak dijangka berdepan gangguan besar bekalan makanan meskipun konflik di Asia Barat terus memuncak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kebanyakan sumber import makanan negara tidak melalui laluan perkapalan utama yang terjejas, termasuk kawasan sekitar Selat Hormuz, sekali gus memastikan rantaian bekalan kekal stabil.

Advertisement

“Selalunya apabila keadaan tidak menentu, terutama apabila harga minyak meningkat, orang akan bertanya tentang kedudukan makanan.

"Untuk pengetahuan semua, import makanan kita kurang melalui Selat Hormuz.

"Banyak terlibat dengan India, Pakistan, ASEAN, Brazil, Argentina, New Zealand dan Australia semuanya berada di sebelah sini," katanya.

Tambahnya, jika situasi berlarutan, ia mungkin memberi kesan dari sudut pengangkutan dan seterusnya mempengaruhi harga.

“Buat masa ini, kita tidak perlu bimbang. Kita sambut Hari Raya Aidilfitri dengan tenang dan berjimat-cermat.

"Semua bahan seperti beras, daging, ayam dan telur mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei dan Jun,” ujarnya.

Beliau berkata kerajaan terus memantau perkembangan global, terutama kos pengangkutan dan logistik, namun setakat ini bekalan makanan menjelang Aidilfitri berada pada tahap mencukupi.

"Masalahnya (di Asia Barat) kalau (konflik) berpanjangan, ia akan (beri) impak dari sudut pengangkutan dan sebagainya, barangkali ketika itu akan berlaku perubahan pada aspek harga dan sebagainya," katanya lagi. 

 

Must Watch Video