PUTRAJAYA: Kesan rantaian konflik dan serangan berterusan di Asia Barat menyebabkan kerajaan menanggung tambahan subsidi petrol kira-kira RM2 bilion setiap bulan bagi mengekalkan harga bahan api semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketegangan geopolitik yang berlarutan memberi implikasi kepada harga petroleum global, sekali gus meningkatkan beban fiskal kerajaan dalam usaha mengawal kos sara hidup rakyat.
Advertisement
Menurutnya, kerajaan sebelum ini menetapkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter, antara yang terendah di dunia, dengan hanya Brunei mencatatkan harga yang sedikit lebih rendah.
Anwar berkata keputusan itu dibuat tahun lalu bersama anggota pentadbiran kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat.
“Namun dengan konflik dan serangan yang berterusan, kesannya dirasai di seluruh dunia dan kini kerajaan perlu menanggung tambahan subsidi sekitar RM2 bilion setiap bulan,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Mushaf Malaysia Madani di Kompleks Darul Nasyrul Quran, pada Isnin.
Beliau berkata sekiranya keadaan tersebut berlarutan, kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan boleh mencecah kira-kira RM24 bilion setahun.
Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan Persekutuan turut meningkatkan subsidi sebanyak RM4.6 bilion bagi Sabah dan Sarawak bagi membantu rakyat di kedua-dua negeri berdepan peningkatan kos bahan api.
Dalam pada itu, beliau menegur pihak pembangkang dan segelintir pihak di media sosial yang menurutnya terus mengkritik kerajaan walaupun negara berdepan cabaran besar akibat krisis global.
Anwar berkata tindakan mengeksploitasi isu berkenaan sebagai senjata politik adalah tidak bertanggungjawab, terutama ketika rakyat di rantau ini turut terkesan dengan konflik yang melanda beberapa negara termasuk Iran.
"Masih ada yang menyalahkan kita di media sosial, sedangkan itulah realitinya. Kita menyaksikan penderitaan saudara-saudari kita, bukan sahaja di Iran, malah seluruh rantau turut terkesan, terutamanya golongan miskin.
"Namun, masih ada pihak tidak bertanggungjawab yang mengeksploitasi situasi ini sebagai senjata politik. Kita harus belajar bahawa tanpa perpaduan dan kerjasama, kita tidak akan dapat mengekalkan keamanan mahu pun kemakmuran," katanya lagi.