KUALA LUMPUR: Malaysia pada Rabu menzahirkan sokongan terhadap usaha rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran yang dicadangkan oleh Pakistan, sambil menggesa semua pihak mengambil peluang diplomatik itu dengan penuh tanggungjawab demi meredakan ketegangan yang kian memuncak di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tawaran Pakistan untuk menjadi tuan rumah kepada dialog berkenaan adalah tepat pada masanya dan bersifat konstruktif, khususnya ketika rantau berkenaan berdepan risiko konflik yang semakin serius.
Advertisement
Beliau turut memuji kepimpinan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, serta peranan negara-negara sahabat lain yang tampil menggalakkan usaha damai, termasuk inisiatif terdahulu oleh Oman.
“Hubungan rapat Pakistan dengan pihak berkaitan serta kedudukannya sebagai suara berwibawa dalam dunia Islam meletakkan negara itu pada posisi strategik untuk membantu mewujudkan syarat-syarat bagi rundingan yang bermakna.
“Malaysia menyokong inisiatif ini dan menggalakkan khususnya Amerika Syarikat dan Iran agar memberi respon dalam semangat yang sama seperti mana ia ditawarkan,” katanya dalam kenyataan.
Perdana Menteri menegaskan, sebarang rundingan mesti berlandaskan niat yang tulen untuk menamatkan konflik, bukan sekadar mengawal tempo peperangan demi kelebihan taktikal.
Menurut beliau, masyarakat antarabangsa telah terlalu kerap menyaksikan gencatan senjata yang hanya berfungsi sebagai jeda sementara, bukan penyelesaian muktamad.
“Wilayah ini berhak mendapat sesuatu yang lebih mampan dan berkekalan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengulangi pendirian Malaysia yang mengiktiraf hak Iran mempertahankan kedaulatannya seperti diperuntukkan di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya susulan serangan berterusan Israel di Iran dan Lubnan.
Namun, beliau pada masa sama menggesa semua pihak agar menunjukkan tahap kekangan maksimum, dan memastikan keselamatan orang awam serta infrastruktur negara jiran, khususnya negara-negara Teluk, tidak terus terheret ke dalam konflik yang tidak mereka pilih.
Menurut Anwar, negara-negara Teluk, rantau berkenaan dan dunia secara keseluruhan mempunyai kepentingan besar, termasuk dari sudut ekonomi, sosial dan kestabilan jangka panjang, yang tidak wajar dikorbankan akibat keputusan pihak lain.
Perdana Menteri turut menyuarakan kebimbangan terhadap amalan tidak seimbang dalam penerapan undang-undang antarabangsa, khususnya apabila prinsip aturan berasaskan peraturan digunakan secara terpilih.
“Undang-undang antarabangsa tidak boleh digunakan secara selektif. Ia tidak boleh melindungi satu pihak daripada pertanggungjawaban, sambil menafikan hak mempertahankan diri pihak lain,” katanya.
Menurut beliau, kredibiliti undang-undang antarabangsa bergantung kepada konsistensi dan keadilan dalam pelaksanaannya.
Anwar memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Türkiye, Mesir, Indonesia, Jepun, Pakistan serta rakan-rakan lain bagi memahami situasi semasa dan menggalakkan usaha penyah-eskalasi.
Malaysia, katanya, akan terus menyokong setiap usaha yang kredibel ke arah mencapai keamanan yang adil dan berpanjangan.