Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: Rakyat Malaysia terkandas bersyukur proses evakuasi berjalan lancar

EVAKUASI RAKYAT MALAYSIA
Suasana penuh emosi menyelubungi balai ketibaan apabila 163 rakyat Malaysia daripada keseluruhan 170 penumpang selamat kembali ke tanah air dari Jeddah, Arab Saudi. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

SEPANG: Suasana penuh emosi menyelubungi balai ketibaan apabila 170 penumpang selamat kembali ke tanah air dari Jeddah, Arab Saudi susulan ketegangan yang tercetus di rantau Asia Barat.

Tinjauan Astro AWANI di balai ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah mendapati penumpang dan keluarga yang menunggu melahirkan rasa syukur apabila operasi evakuasi rakyat Malaysia dapat dilaksanakan dengan lancar. 

Advertisement

Mervin Gomes, 61, yang bekerja sebagai konsultan berkata, dia berada di Doha, Qatar sejak 23 Februari lalu dan dijadualkan meneruskan tugasan ke Abu Dhabi serta Dubai sehingga Mei.

Bagaimanapun, majikannya mengambil keputusan untuk membawanya dan rakan sekerja pulang lebih awal berikutan keadaan geopolitik yang semakin tidak menentu di rantau berkenaan.

“Pada 28 Februari lalu bermulanya konfik di Iran, tapi keadaan kami di Doha memang tenang pada masa di situ cuma memang kita dapat melihat keadaan sebenar berlaku di langit Doha.

"Kami juga boleh dengar bunyi letupan dan bedilan yang agak kuat dari hotel yang saya duduk, gegarannya apatah lagi, kalau nak kata risau itu ada, cuma kami tidak duduk di kawasan berdekatan.

"Namun, kami dimaklumkan kesan lebih banyak di Abu Dhabi dan disebabkan keadaan itu kami mengambil keputusan untuk berhubung dengan Kedutaan Malaysia untuk membuat perancangan pulang ke tanah air,” katanya.

Sementara itu, Hanizan Haron, 54, dari Kuala Terengganu berkata, dia bersama adiknya, Aznita Haron, 51, terkandas hampir seminggu di Tanah Suci selepas penerbangan pulang mereka dibatalkan.

Menurut Hanizan, mereka sepatutnya kembali ke Malaysia pada 4 Mac lalu selepas selesai menunaikan umrah secara kendiri, namun konflik di rantau itu menimbulkan kebimbangan untuk pulang lebih awal bagi menyambut Aidilfitri.

“Bila penerbangan dibatalkan, kami kami tidak dapat penerbangan baharu dan terpaksa tinggal di sana (Madinah) hampir seminggu.

"Walaupun ada penerbangan lain dijadualkan pada malam berikutnya, saya rasa lebih selamat naik pesawat disediakan kerajaan keranan kerajaan kita berusaha membantu rakyat yang terkandas,” katanya, dengan nada penuh kesyukuran.

Aznita pula berkata, dia merasa lega apabila akhirnya dapat kembali ke tanah air selepas penerbangan asal mereka ditangguhkan, malah pada awalnya mereka menyangka akan menyambut Aidilfitri di Arab Saudi.

“Sepatutnya kami balik minggu lepas, jadi tertangguh kira-kira seminggu. Pada mulanya, kami fikir mungkin terpaksa beraya di sana namun dengan adanya kerajaan keseluruhan proses yang diselaraskan berjalan lancar dan teratur.

"Memang ada rasa takut dan tertanya-tanya sama ada boleh pulang atau tidak, lebih-lebih lagi memikirkan anak-anak namun saya cuba bertenang dan yakin dengan kerajaan Malaysia,**” ujarnya.

Untuk rekod, mereka merupakan sebahagian daripada 170 penumpang yang menaiki penerbangan khas Malaysia Airlines MH8503 dari Jeddah yang tiba di Terminal 1, KLIA kira-kira jam 12.32 tengah hari Rabu.

Daripada jumlah tersebut, 163 merupakan warganegara Malaysia manakala tujuh lagi ialah ahli keluarga bukan warganegara Malaysia terdiri daripada lima rakyat Thailand serta masing-masing seorang rakyat Indonesia dan Maghribi.

Operasi penerbangan khas itu diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara dengan sokongan Kementerian Luar Negeri Malaysia serta perwakilan Malaysia di beberapa negara Asia Barat bagi memastikan rakyat Malaysia yang terjejas dapat pulang dengan selamat.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memantau secara peribadi proses pemindahan rakyat Malaysia dari kawasan konflik tersebut.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata pemindahan itu dilaksanakan selepas mendapat pengesahan daripada Majlis Keselamatan Negara.

Beliau menambah, Pejabat Perdana Menteri Malaysia turut memantau perkembangan konflik di Asia Barat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa diberi keutamaan.

Must Watch Video