KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar untuk memperoleh maklumat terkini mengenai situasi yang berlaku di Asia Barat dalam memastikan urusan menunaikan haji tahun ini berjalan lancar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar menjelaskan, keselamatan dan kebajikan jemaah haji menjadi keutamaan kerajaan dan TH.

Mohd Na'im berkata, kerajaan Arab Saudi juga berusaha memastikan urusan menunaikan rukun Islam kelima itu berjalan lancar.

"Tabung Haji dan saya sendiri bekerjasama rapat dengan kementerian luar untuk mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan disebabkan konflik antara Iran dan Israel.

"Maklumat yang kita terima keadaan adalah terkawal dan saya beri jaminan kebajikan dan keselamatan jemaah haji itu keutamaan kita sama ada di peringkat kerajaan Arab Saudi, kerajaan Malaysia dan sudah tentu Tabung Haji.

"Kita mahu pastikan keselamatan jemaah haji terjamin dan kalau itulah prinsipnya, maka Tabung Haji akan mengikuti secara rapat suasana di Asia Barat, dan kita akan memaklumkan kepada jemaah haji perkembangan dari semasa ke semasa," kata selepas merasmikan kursus perdana haji peringkat Wilayah Persekutuan pada Sabtu malam.

Beliau menasihatkan bakal jemaah haji di seluruh negara agar terus mengikuti kursus haji yang disediakan bagi memastikan urusan menunaikan haji berjalan lancar.

Dalam masa yang sama, Mohd Na'im berkata, kerajaan dan tabung haji bekerjasama rapat dengan kerajaan Arab Saudi untuk segala kemungkinan cuaca di Mekah bila tiba musim haji.

Menurut Mohd Na'im, tindakan-tindakan alternatif telah disediakan oleh kerajaan Arab Saudi jika berlaku sebarang bencana.

Seramai 1,700 bakal jemaah haji di Wilayah Persekutuan mengikuti kursus perdana haji yang diadakan selama dua hari.