MALAYSIA
Konflik Myanmar 'duri dalam daging' buat ASEAN, perlu diselesaikan - Mohamad

Mohamad berkata, konflik di Myanmar merupakan tugas berat buat ASEAN dan memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua negara anggota dalam mengembalikan keamanan di negara tersebut. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN dalam usaha menyelesaikan kemelut di Myanmar, yang disifatkan sebagai "duri dalam daging" kepada blok serantau tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN tidak boleh mendabik dada sebagai juara keamanan dan hak asasi manusia selagi konflik di Myanmar masih gagal ditangani secara tuntas.
Jelas beliau, konflik di Myanmar merupakan tugas berat buat ASEAN dan memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua negara anggota dalam mengembalikan keamanan di negara tersebut.
"Alhamdulillah Malaysia telah menjalankan tugas Kepengerusian ASEAN. Kita telah mengadakan perbincangan dan berjumpa dengan Junta Tentera, kerajaan yang digelar buangan, serta pemegang taruh," katanya.Beliau menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta menjelaskan mengenai usaha mengukuhkan perpaduan dan pemusatan berkaitan ASEAN menghadapi cabaran geopolitik semasa pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Hasil rundingan itu, Mohamad berkata, 70 peratus daripada permintaan meliputi pembebasan semua tahanan politik, pelaksanaan gencatan senjata menyeluruh, dan memastikan bantuan kemanusiaan dari ASEAN serta rakan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sampai ke sasaran.
"Sekarang ini banyak tersekat, dan itu menjadi keutamaan kita. Ini terkandung dalam Konsensus Lima Perkara yang telah dipersetujui oleh ASEAN," tambah beliau.
Mohamad (BN-Rembau) turut menjelaskan, tumpuan utama bukanlah kepada pelaksanaan pilihan raya seperti yang ditekankan oleh Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar.
Ini kerana, jelas beliau, pilihan raya yang dilaksanakan dalam keadaan tidak stabil hanya akan memburukkan lagi keadaan di Myanmar.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan, semakin banyak negara luar kini menunjukkan minat untuk menjadi rakan dialog ASEAN, sejajar dengan peranan dan pengaruh yang semakin kukuh dimiliki blok serantau itu di peringkat global.
Setakat ini, ASEAN mempunyai 11 rakan dialog rasmi termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, China dan Rusia.
"Mereka ini perlu menandatangani perjanjian atau triti kemanan dan persahabatan. Itu pun banyak baru-baru ini kita telah menandatangani, antaranya Algeria dan Uruguay.
"Pada sesi Sidang Kemuncak ke-47 ini, ada tiga buah lagi iaitu Itali, Sweden dan Lithuania akan menandatangani perjanjian ini," ujar beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami