PUTRAJAYA: Memikirkan ada orang yang teringin merasa air tebu, namun harganya di luar kemampuan membuatkan pesara kerajaan berkongsi rezeki dengan menjual minuman itu pada harga 'Rahmah' iaitu RM4 bagi satu jag dan RM8 untuk botol 1.5 liter.

Adrus Wahab, 69, berkata lazimnya, harga pasaran air tebu kira-kira RM14 hingga RM15 bagi botol 1.5 liter dan RM7 ke RM8 bagi satu jag, namun dia dapat menjual pada harga mampu milik kerana memanfaatkan tebu yang ditanam sendiri.

"Keadaan sekarang (kos hidup tinggi) dan saya sendiri daripada keluarga susah, kadang-kadang ada orang yang teringin minum air tebu tetapi tiada kemampuan. Satu jag sahaja berharga RM8, kalau anak tiga hingga empat orang cukupkah? Jadi, orang hanya tengok sahaja tetapi tidak dapat rasa," katanya kepada Bernama ketika ditemui di gerainya di Kampung Jenderam Hilir di sini hari ini.

Mesra dengan panggilan "Ham", katanya botol dengan isi padu 1.5 liter diperkenalkan pada Ramadan kali ini bagi memudahkan keluarga besar yang kurang berkemampuan menikmati air tebu ketika berbuka puasa, selain penggunaan botol dapat mengekalkan kesegaran dan mudah untuk disimpan jika tidak dihabiskan.

"Harga (jualan) saya tidak ikut orang lain, ikut sendiri dan fikir kemampuan manusia. Saya berpegang kepada peribahasa 'hidup tidak kerana kaul, mati tidak kerana sumpah' (hidup dan mati, rezeki atau sakit terletak di tangan tuhan)," katanya.

Adrus yang mula menjual air tebu hampir lima tahun lepas sambil dibantu empat anaknya, bersyukur kerana jualan air tebu 'Rahmah' diperkenalkannya itu mendapat sambutan hangat bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat, malah juga pelanggan dari Kedah dan Terengganu.

Seawal 8 pagi setiap hari, dia mula bekerja untuk menebang 100 batang tebu di kebun berdekatan rumahnya sebelum dihantar ke gerai untuk diraut kulit tebu, dicuci dan diperah menggunakan mesin tanpa campuran air, kemudian ditapis dua kali bagi memastikan kualiti minuman itu tahan lebih lama.

Adrus berkata setiap hari dia mampu menjual 40 botol dan mencecah 60 botol pada hari minggu, selain tidak menang tangan ketika cuaca panas pada masa ini kerana orang ramai memilih air tebu sebagai penyejuk badan pada Ramadan ini.

Bermula dengan mengurus dan menanam tebu ketika berusia 52 tahun, Adrus berkata pada masa itu dia hanya menjual hasil kepada pembeli, namun apabila modal dan keperluan lain semakin meningkat harganya, dia berhasrat untuk menjual sendiri air tebu setelah berbincang dengan anak-anaknya.

"Saya juga mengelak menyimpan tebu kerana aspek kebersihan amat dititiberatkan, jika tebu tidak disimpan dengan baik akan terdedah kepada tikus atau siput babi," katanya.

-- BERNAMA