KUALA KANGSAR: Deretan arca besi di Galeri Seni Raja Shahriman di Bukit Chandan menyimpan kisah tiga dekad pengorbanan, ketekunan dan kecintaan seorang anak seni yang cekal mengangkat warisan tanah air ke persada dunia melalui kehalusan dan kekuatan seni arca.
Bagi Raja Shahriman Raja Aziddin, 59, pembukaan galeri itu baru-baru ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga sebuah ruang untuk masyarakat mendekati seni arca sebagai medium komunikasi visual yang sarat dengan nilai, budaya dan makna warisan tempatan.
Advertisement
Dibuka kepada umum secara percuma, artis itu berkata galeri tersebut menempatkan lebih 20 karya unik beliau dengan masing-masing membawa cerita tersendiri, termasuk berkaitan budaya Melayu dan warisan tempatan.
“Galeri ini adalah manifestasi perjalanan seni saya selama lebih 30 tahun. Ia bukan sahaja tentang keindahan rupa bentuk, tetapi juga mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat tentang nilai seni dan warisan.
“Saya juga mahu masyarakat tahu bahawa seni arca ini istimewa dan merupakan satu daripada kaedah komunikasi yang disampaikan secara visual kepada umum,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Perasmian Galeri Seni Raja Shahriman itu, di sini baru-baru ini.
Raja Shahriman yang merupakan satu-satunya pengarca tempa besi di Malaysia, pernah menerima pengiktirafan antarabangsa melalui dua kerja tangan beliau yang ditempatkan di Fukuoka Art Museum, Jepun pada 1996.
Anak kelahiran Kuala Kangsar itu berkata kewujudan galeri berkenaan juga bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda dan masyarakat untuk mengenali keistimewaan seni arca tempatan dan seterusnya membantu menyumbang kepada perkembangan positif seni kreativiti tempatan, sekali gus memastikan warisan budaya terus dipelihara dan dihargai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya akui bidang ini kurang peminat atau pengikutnya, namun ia mempunyai nilai estetika dan mesej yang mendalam. Kita mahu masyarakat terutamanya generasi muda, menghargai seni arca bukan sekadar sebagai hobi tetapi sebagai medium komunikasi dan warisan budaya yang berharga,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Think City Faeedz Saidi Othman berkata sebanyak RM90,000 diperuntukkan bagi pembinaan galeri hasil kerjasama Yayasan Hasanah dan Think City di bawah program Kuala Kangsar Sustainable Community Development (KKSED).
Beliau berkata pemilihan Raja Shahriman di bawah program KKSED mampu memberi nilai tambah dalam pemerkasaan warisan budaya, mewujudkan komuniti setempat yang lebih berdaya tahan dari segi kualiti hidup, ekonomi dan budaya berdasarkan kemampuan dan potensi dimiliknya.
“Kita juga berharap usaha ini akan membuka ruang kepada pembangunan ekonomi melalui aktiviti kreatif dan pelancongan berasaskan seni dan budaya,” katanya.
-- BERNAMA