Skip to main content

Politik

Rehatkan sementara Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga siasatan selesai – Akmal Saleh

https://www.sinarharian.com.my/article/768489/berita/semasa/rehatkan-sementara-ketua-pesuruhjaya-sprm-sehingga-siasatan-selesai-ndash-akmal-saleh
Muhamad Akmal menegaskan, berehat sementara adalah langkah paling bertanggungjawab yang perlu diambil ketika siasatan sedang berjalan bagi menjaga integriti dan kredibiliti SPRM. - Gambar fail

SHAH ALAM: Pemuda UMNO berpandangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu direhatkan sementara sehingga siasatan mengenai isu pegangan sahamnya selesai.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, itu adalah langkah paling bertanggungjawab yang perlu diambil ketika siasatan sedang berjalan bagi menjaga integriti dan kredibiliti SPRM sebagai agensi utama membanteras rasuah.

Advertisement

“Ini adalah amalan standard dalam mana-mana institusi yang mementingkan integriti. Perlu diingat, ini bukan hukuman, tetapi langkah pentadbiran bagi mengelakkan persepsi campur tangan atau konflik kepentingan.

“Kepada Tan Sri Azam prinsipnya mudah, berani kerana benar. Jika tidak bersalah, rehat sementara bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. Malah, ia memberi ruang kepada siasatan dijalankan dengan lebih bebas serta telus dan sekiranya didapati tidak bersalah, beliau boleh kembali menjalankan tugas dengan mandat moral yang jauh lebih kuat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Isnin memberi amaran tegas bahawa lebih ramai pihak kini berada dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan termasuk SPRM.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Sultan Ibrahim bertitah, kegiatan rasuah adalah suatu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan rakyat, justeru ia tidak boleh diterima sama sekali.

Sebelum itu, Jurucakap Kerajaan MADANI yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menyerahkan kepada Jawatankuasa Khas untuk melaksanakan siasatan berhubung isu pemilikan saham Azam.

Katanya, Jemaah Menteri telah memberikan maklum balas berhubung isu itu melalui keputusan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan yang akan melakukan siasatan penuh selain Azam juga sangat terbuka mengatakan beliau sedia untuk disiasat.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal menegaskan, jika sebaliknya berlaku iaitu Azam didapati bersalah maka proses undang-undang mesti berjalan tanpa kompromi.

“Rakyat hari ini bukan sekadar mahu melihat rasuah dibanteras, tetapi mahu melihat bagaimana ia dibanteras. Ketelusan bukan pilihan, ia adalah keperluan.

“Kepercayaan rakyat tidak akan datang melalui kenyataan semata-mata, tetapi melalui tindakan berani yang menunjukkan bahawa institusi lebih besar daripada mana-mana individu,” ujarnya.

Dr Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO turut mencadangkan supaya jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kerajaan dipantau oleh badan bebas, sama ada melalui Jawatankuasa Parlimen dwipartisan atau tribunal bebas yang mempunyai kredibiliti tinggi.

Beliau menjelaskan, saranan tersebut bukan soal mempertikaikan mana-mana pihak, tetapi soal memastikan keputusan siasatan tidak dipandang sebagai keputusan ‘kerajaan menyiasat kerajaan’.

Tambahnya lagi, SPRM adalah institusi yang berdiri atas satu asas paling penting yakni kepercayaan rakyat dan tanpa kepercayaan itu, apa juga siasatan, pendakwaan dan usaha memerangi rasuah akan sentiasa dipersoalkan, malah boleh dilihat sebagai tidak mempunyai legitimasi moral di mata rakyat.

“Sebab itu, dalam mana-mana negara yang serius memerangi rasuah, integriti institusi adalah lebih penting daripada mempertahankan individu.

“Hari ini, apabila wujud siasatan terhadap kepimpinan tertinggi SPRM, persoalan pokok yang perlu dijawab bukan sekadar ‘apa keputusan siasatan’, tetapi sejauh mana proses siasatan itu diyakini bebas, telus dan tidak mempunyai konflik kepentingan. Jika prosesnya sendiri diragui, maka apa juga hasilnya nanti tetap akan dipersoalkan,” kata beliau. -- Sinar Harian

 

Must Watch Video