KOTA KINABALU: Konsep Malaysia Madani dalam konteks wilayah Sabah perlu diterjemahkan berdasarkan ekosistem masyarakat tempatan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata,  gagasan membangun Malaysia Madani amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di Sabah, termasuk dalam landskap serta ekosistem tempatan negeri ini.

“Kita mengakui bahawa konsep Malaysia Madani sememangnya sudah pun berciri menyeluruh dan inklusif. Namun begitu, kita perlu juga sedar bahawa Malaysia Madani adalah sebuah kerangka kebangsaan yang bersifat sejagat dan terbuka.

“Justeru, adalah penting proses “localisation”, atau menterjemah gagasanbesarkebangsaan kepada konteks tempatan secara lebih spesifik.

Sebagai satu acuan besar nasional, Malaysia Madani perlukan pengisian-pengisian terbaik yang lebih khusus sifatnya, mengikut konteks tempatan,” katanya ketika merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Selasa.

Hajiji berkata, Sabah mempunyai keunikan tersendiri dari segi sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik, selain aspirasi lokal yang masih belum mendapat tempat yang cukup kukuh dalam citra kebangsaan.

"Justeru, kita sudah tentu mempunyai keperluan yang unik dalam kerangka nasional Malaysia Madani. Kesedaran inilah yang perlu digarap dalam seminar ini, supaya hasilnya nanti mencerminkan semangat nasional Malaysia Madani yang ditunjangi dengan ciri lokal.

"Dalam bahasa mudah, kita perlu memetakan dengan tepat konsep Malaysia Madani kepada lanskap dan ekosistem negeri Sabah.

"Saya percaya, dalam mewujudkan sebuah negara yang benar-benar Madani, proses itu haruslah dipacu oleh prinsip keadilan sosial, pemerkasaan ekonomi serta budaya, yang memperjuangkan hak asasi manusia, kebebasan bersuara,” katanya.