Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tidak terdapat konspirasi menggulingkan Perdana Menteri. Sebaliknya; gesaannya ke arah ini dibuat secara terbuka tanpa gerakan bawah tanah.

Dr Mahathir menjelaskan: "Apa yang kita tahu sekarang adalah bahawa saya telah secara terbuka menggesa beliau meletak jawatan. Tiada konspirasi.

"Hanya pengakuan terbuka kepada seluruh negara bahawa saya ingin melihat Najib terhenti menjadi Perdana Menteri," kata beliau dalam entri terbaru blognya, chedet.cc.

Katanya desakan itu sudah diketahui umum dan tidak perlu lagi ada pihak yang ingin menjalankan apa-apa penyiasatan mengenai dakwaan 'konspirasi' tersebut.

"Jadi sekali lagi, di mana konspirasinya!! Ini adalah semua terbuka. Tidak ada keperluan untuk bersubahat. Terdapat kempen terbuka untuk beliau berhenti daripada menjadi Perdana Menteri," tegas Mahathir.

Dr Mahathir juga menyelar pihak yang merasakan bahawa tidak ada siapa pun mempunyai hak untuk menuntut supaya Najib berundur.

Katanya bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga telah dipilih oleh rakyat, namun apabila beliau diminta untuk berundur, beliau melakukannya.

"Di seluruh dunia Presiden yang dipilih dan Perdana Menteri telah diminta atau terpaksa berundur dan mereka semua melakukannya. Malah di sesetengah negara, jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, Menteri-menteri, Perdana-Perdana Menteri akan meletak jawatan," katanya.