Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Konstabel didakwa curi beg galas rakan sekerja

Seorang anggota polis berpangkat konstabel dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa atas pertuduhan cuba mencuri barangan milik rakan sekerjanya, awal bulan ini.
Ahmad Fahmi Ahmad Hasbullah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Yan, hari ini, atas pertuduhan cuba mencuri barangan milik rakan sekerjanya, awal bulan ini. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

YAN: Seorang anggota polis berpangkat konstabel dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa atas pertuduhan cuba mencuri barangan milik rakan sekerjanya, awal bulan ini.

Bagaiamanapun tertuduh, Ahmad Fahmi Ahmad Hasbullah, 29, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa cuba mencuri beg galas yang mengandungi dompet, kunci dan jaket milik mangsa berusia 32 tahun, pada pukul 7.20 petang, 2 September lalu di Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 511 kanun sama.

Seksyen 379 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi kesalahan di bawah Seksyen 511, hukuman penjara yang dikenakan tidak melebihi separuh daripada tempoh hukuman maksimum bagi kesalahan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 kepada tertuduh, manakala peguam Nurul Nur Hidayah Roslin memohon kadar minima dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

Nurul Nur Hidayah juga menyatakan tertuduh yang bergaji kira-kira RM3,000 menanggung dua anak berusia dua dan tiga tahun, sementara isterinya tidak bekerja.

Majistret Anis Suraya menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 20 Oktober depan untuk sebutan semula kes.


 

Must Watch Video

Advertisement