Kerajaan negeri Pahang diminta mempertimbangkan segera pengeluaran lesen melombong bauksit kepada 32 kontraktor di Felda Bukit Goh untuk kepentingan peneroka di kawasan tanah rancangan itu selain mengelak lebih banyak masalah timbul.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bauksit Bukit Goh, Datuk Dr Abd Wahid Abd Manaf berkata, kegagalan kerajaan negeri berbuat demikian boleh menimbulkan pelbagai masalah lain terutama terhadap peneroka yang telahpun menandatangani perjanjian dengan kontraktor untuk tujuan itu.

"Rata-rata peneroka telah menebang pokok-pokok sawit dan mengorek ladang mereka bagi tujuan tersebut.
Jika dihentikan dan tidak diberikan lesen, sumber pendapatan mereka sama sekali akan terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dialog tertutup bersama pengusaha bauksit dan peneroka Felda Bukit Goh di Balai Raya Felda Bukit Goh di sini pada Sabtu.

Dialog itu turut dihadiri oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Abd Wahid mendakwa peneroka yang terlibat mampu hidup selama tiga tahun dengan hasil penjualan bauksit sebelum kawasan tanah mereka dapat ditanam dengan tanaman sawit.

BACA: Penduduk Kuantan mengeluh pencemaran bauksit, apa tindakan?

Sehubungan itu, Abd Wahid berkata beliau sendiri akan mewakili peneroka untuk menyerahkan memorandum berhubung hal itu kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau turut memberi jaminan, jika diberikan lesen 159 peneroka yang terlibat akan mematuhi peraturan dan semua arahan yang ditetapkan berhubung pengeluaran bauksit untuk mengelakkan pelbagai masalah pencemaran yang timbul seperti yang berlaku kini.

"Kita akan pastikan semuanya berjalan dengan lancar mengikut peraturan. Masalah sebelum ini timbul kerana operasi pengeluaran bauksit dilakukan secara haram.

Sebab tiada lesen dan kontraktor yang tidak bertanggungjawab tidak peduli mengenai pencemaran alam sekitar serta keselamatan penduduk," dakwanya.