AYER KEROH: Usahawan berketurunan Kemboja dan anak lelakinya yang terbabit dalam kontroversi kenyataan mendakwa orang Melayu malas menerusi aplikasi TikTok baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Mariyah Yaakob, 47, yang dikenali sebagai 'Mak Cik Kemboja' dan anaknya Ezuan Hafsyam Mohd Hisyam, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, Mariyah yang juga pemilik syarikat jahitan pukal, Mariyah Holdings Sdn. Bhd didakwa membuat satu penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu.

Kesalahan itu dilakukan menerusi rakaman video di aplikasi TikTok yang telah ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 6 petang, 16 November lalu.

Justeru, tertuduh yang juga ibu tunggal didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, anaknya turut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) akta sama kerana didakwa secara sedar menggunakan aplikasi TikTok, memulakan penghantaran komunikasi jelik dikeluarkan ibunya dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu dilakukan antara 14 hingga 16 November 2023 lalu menerusi aplikasi TikTok dan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM 50,000 atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM 1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar tidak mencadangkan sebarang jaminan, bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jaminan minimum RM30,000 bagi setiap tertuduh.

Pihak pendakwaan turut mencadangkan pasport dua beranak itu diserahkan kepada mahkamah selain memohon perintah untuk menghalang kedua-dua tertuduh mengeluarkan kenyataan berkaitan kes bagi mengelakkan gangguan sepanjang proses perbicaraan.

Peguam mewakili dua beranak itu, Kamal Hisham Ja'afar bagaimanapun merayu jumlah jaminan rendah dikenakan memandangkan perniagaan tekstil yang dijalankan oleh tertuduh terjejas selepas diboikot oleh pengguna susulan video yang tular berkenaan.

Beliau turut memohon mahkamah untuk tidak menahan pasport dua beranak itu memandangkan Mariyah perlu berulang alik ke luar negara bagi urusan perniagaan manakala anaknya juga sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berpangkalan di luar negara.

Mohd Sabri kemudian membenarkan Mariyah diikat jamin RM15,000 manakala anaknya (RM10,000). Beliau turut membenarkan semua permohonan yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 12 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen bagi kedua-dua kes berkenaan.

Sebelum ini, dua beranak itu terbabit kontroversi susulan kejadian mengeluarkan kata-kata ‘orang Melayu malas’ ketika membuat pentstriman langsung di TikTok, bulan lalu sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat.

Rentetan itu, polis Melaka menerima sebanyak 14 laporan dan seramai lapan individu dipanggil bagi membantu siasatan sejak 19 November lalu.


Untuk berita terkini, ikuti kami di WhatsApp Astro AWANI